Oleh pada 19 Jul 2019 kategori

Zaman penjajahan dan kolonialisme merupakan satu era yang layak dikatakan gelap, kerana berlakunya pencerobohan kuasa-kuasa besar dunia ketika itu ke atas tamadun dan masyarakat lain secara paksa.

Kuasa-kuasa besar ketika zaman kegemilangan mereka saling berlumba untuk menguasai lokasi-lokasi strategik seperti pelabuhan dan jalan perdagangan bagi memantapkan kegiatan ekonomi mereka, seterusnya membolehkan mereka ini menguasai dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dalam sejarah, banyak sebenarnya empayar yang muncul, tetapi setiap yang naik pasti akan tiba waktu jatuhnya juga. Begitulah yang berlaku kepada empayar-empayar besar ini. Dapatkah anda sebutkan lima empayar paling besar pernah wujud dalam dunia serta zamannya?

5. Dinasti Ching

qing military askar dinasti qing ching china

Diasaskan pada tahun 1636, Dinasti Ching atau Qing merupakan dinasti terakhir maharaja China yang memerintah sehingga tahun 1912, sebelum tertubuhnya negara republik China yang ada ketika ini. Walaupun begitu, dinasti ini sebenarnya harus diakui diasaskan oleh orang Manchu, berketurunan orang Jurchen yang datang daripada wilayah Manchuria.

Dinasti Ching dimulakan daripada pemberontakan yang dilakukan oleh seorang ketua orang Manchu bernama Nurhaci, berjaya menyatukan lapan etnik orang China seperti orang Han, Manchu dan Mongol untuk bergabung menjatuhkan pemerintahan Dinasti Ming. Anaknya, Hong Taiji menyambung legasi Nurhaci berjaya menyatukan kesemua wilayah mereka dan naik menjadi maharaja Dinasti Ching yang pertama.

Selepas kelemahan pemerintahan mula menyebabkan berlakunya pemberontakan pada abad ke 20 yang dikenali sebagai Pemberontakan Xinhai, Maharaja Puyi - maharaja terakhir kesemua dinasti China meletakkan jawatan pada 12 Februari 1912. Pada zaman kemuncaknya, Dinasti Ching menguasai 9.02% jumlah keseluruhan muka bumi ketika era tahun 1790 ke 1820.

4. Empayar Sepanyol

spanish sepanyol empire empayar

Di kelaskan sebagai empayar pertama dunia yang menjajah pada tahap global, empayar Sepanyol banyak dipengaruhi gerakan bagi menyebarkan ajaran Kristian di serata dunia, sehinggakan turut sama bergelar 'Monarki Katolik.'

Peristiwa yang dikatakan menjadi permulaan empayar ini adalah perkahwinan di antara Ferdinand of Aragon dengan Isabella of Castille, menyatukan dua buah keluarga monarki besar di Sepanyol seterusnya membolehkan mereka menguasai beberapa wilayah di kawasan Iberia sehingga berjaya merampas kembali kawasan-kawasan yang dikuasai orang Islam di Sepanyol.

Di Asia Tenggara, Empayar Sepanyol meninggalkan kesan yang sangat mendalam dalam sistem masyarakat Filipina dan Brunei selepas mereka berjaya menguasai negara itu, dalam usaha mengawal pengaruh kuasa-kuasa besar dunia lain yang berebut hendak menguasai Asia Tenggara.

Bandar Manila yang satu masa dulu dikuasai oleh orang Muslim diubah menjadi bandar masyarakat Kristian, diangkat sebagai pusat operasi empayar Sepanyol. Secara keseluruhan, Sepanyol pernah menguasai 10.17% keseluruhan muka bumi pada tahun 1810.

3. Empayar Russia

empayar russia tsar

Berbeza dengan Sepanyol yang meluaskan kuasa secara global, empayar Russia yang muncul sekitar abad ke 18 menguasai kawasan-kawasan Eurasia serta sebahagian Amerika Utara.

Empayar ini mempunyai tiga fasa utama bermula di zaman pemerintahan di bawah House of Romanov pada 1613 sebelum pemerintahan bercorak monarki mutlak pada tahun 1721 hingga 1906 diperkenalkan.

Fasa terakhir bermula selepas berlakunya perubahan sistem Empayar Russia kepada sistem monarki berperlembagaan, yang dilakukan pada 1906 sehinggalah tamatnya empayar ini sekitar tahun 1917.

Walaupun begitu secara rasminya Empayar Russia benar-benar bermula pada tahun 1721 selepas Emperor pertama empayar ini, Peter I mengumumkan zaman permulaan empayar beliau selepas tamatnya perang besar utara - di mana kerajaan Sweden terpaksa tunduk kepada tekanan Russia dan menyerahkan beberapa kawasan strategik laluan lautan milik mereka. 

Pada era kegemilangan empayar ini dikatakan berlaku sekitar tahun 1895, empayar Russia menguasai hampir 16.92% keseluruhan muka bumi sebelum zaman kejatuhan empayar ini bermula, dengan kekalahan dalam perang dengan empayar pemerintahan Jepun. Selepas tewas teruk dalam perang dunia pertama, Emoayar Russia yang ketika itu diperintah Nicholas II dibubarkan selepas beliau bersetuju melepaskan jawatan, ekoran tekanan revolusi yang berlaku pada bulan Februari tahun 1917. Nicholas II menjadi raja terakhir Russia sebelum beliau dibunuh pada 17 Julai 1918.

2. Empayar Mongol

empayar mong

Salah sebuah empayar kerajaan paling terkenal dalam sejarah tamadun manusia, empayar Mongol berjaya menguasai kawasan jajahan yang sangat besar walaupun era pemerintahannya agak pendek. Di bawah pemerintahan Gengis Khan, orang Mongol yang ketika itu berpecah berjaya disatukan sebelum meluaskan kuasa mereka dalam tempoh tidak sampai 100 tahun, menguasai 17.81% keluasan bumi.

Dikenali sebagai Temujin sebelum naik menjadi maharaja Gengis Khan, beliau berdepan cabaran getir dalam usaha menyatukan orang Mongol, sebelum semua konflik diredakan dengan mata pedang dan Temujin berjaya menaiki takhta, memakai gelaran Gengis Khan pada tahun 1206. Serentak dengan itu, empayar Mongol bermula dengan peluasan ke kawasan Asia tengah menjadi keutamaan mereka.

Pada detik kematian Gengis Khan, empayar Mongol menguasai keluasan berkali ganda lebih besar daripada empayar Rom sebelum beliau. Zaman kegemilangan empayar Mongol berlaku ketika era pemerintahan Kublai Khan selepas mereka berjaya menguasai keseluruhan negara China, sehingga mampu memulakan dinasti pemerintahan Yuan di situ.

Ekoran pergolakan serta masalah dalaman, semua wilayah Mongol yang dipecah-pecahkan selepas kematian Gengis Khan mula berdepan masalah dengan Toghun Timur Khan yang memerintah China akhirnya tumpas, seluruh tenteranya menyerah diri kepada Dinasti Ming yang menggantikannya pada tahun 1387.

1. Empayar British

empayar british britain kolonial

Empayar yang paling meninggalkan kesan buruk pada dunia, empayar British layak dipertanggungjawabkan terhadap bermacam kerosakan yang telah mereka lakukan atas sifat tamak haloba mereka dalam menguasai bumi. Pada zaman kemuncaknya, empayar rakus ini menguasai 26.35% keluasan bumi merangkumi negara kita, berlaku pada awal abad ke 20 lebih tepat pada tahun 1921.

Peristiwa yang dikatakan menjadi permulaan kepada kejatuhan empayar terbesar dunia ini adalah krisis yang melibatkan Terusan Suez, yang pada ketika itu masih dikuasai British pada tahun 1951. Ekoran pengaruh yang dipegang Presiden Mesir ketika itu, Gamal Abdel Nasser yang mahu menguasai semula terusan tersebut, Britain, Perancis dan negara haram Israel bekerjasama mahu menjatuhkan kerajaan Mesir.

Bagaimanapun, tekanan antarabangsa hadir daripada Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet yang menyatakan sokongan pada kerajaan Mesir, memaksa gabungan tiga negara itu berundur. Ekoran ancaman sekatan ekonomi yang mahu diperkenalkan sekiranya Britain tetap berdegil, Britain akhirnya terpaksa tunduk menandakan berakhirnya pengaruh mereka sebagai sebuah empayar terbesar dunia.

Selepas pemecatan Perdana Menteri Britain bernama Anthony Eden, penggantinya Harold Macmillan mula melepaskan negara-negara yang berada di bawah pengaruh kolonialisme mereka. Krisis yang berlaku itu juga membuktikan kepada dunia Britain bukan lagi kuasa besar, selepas setiap tindakan mereka dilihat perlu mendapatkan 'kebenaran' daripada kuasa baru dunia - Amerika Syarikat.

Dalam tempoh 20 tahun selepas dimalukan Amerika Syarikat dan Soviet, Britain mula memanggil balik tentera mereka yang ditempatkan di luar negara dengan tentera British terakhir di negara kita diperintahkan kembali ke United Kingdom sekitar tahun 1971.

Empayar British simboliknya dipercayai berakhir selepas Britain bersetuju menyerahkan kembali pentadbiran Hong Kong kepada kerajaan China, menamatkan 156 tahun pemerintahan kolonial di kawasan tersebut pada 1 Julai 1997 - menandakan tamatlah zaman empayar di era moden.




Hakcipta iluminasi.com (2017)