Anak patung dicipta dengan rupa dan bentuk yang sangat comel khas untuk menghiburkan kanak-kanak terutamanya kanak-kanak perempuan. Ramai di antara mereka yang menjadikan anak patung sebagai teman dan rakan baik ketika mengharungi kehidupan kanak-kanak yang penuh keriangan.

Namun, terdapat juga anak patung yang mempunyai rupa bentuk yang buruk yang sangat menakutkan, dan di antara mereka mengalami sumpahan yang tidak dapat dipastikan kebenarannya, namun ia masih menyeramkan, walaupun bagi orang dewasa. Buktinya? Ramai yang terkucil ketika menonton filem Annabelle.

iluminasi.com ingin berkongsi 5 anak patung yang paling menyeramkan di dunia.

5. Little Miss No Name

little miss no name 2

Anak patung Little Miss No Name ini telah dihasilkan oleh syarikat permainan Hasbro pada tahun 1965. Penghasilan anak patung untuk memenangi hati kanak-kanak perempuan ini dikatakan sangat pelik dan tidak pernah dilakukan oleh Hasbro. Jika biasanya Hasbro menghasilkan anak patung Barbie dengan kelengkapan pakaian salinan dan rumah mainan, tapi kali ini sebaliknya yang berlaku dengan menghasilkan anak patung yang tiada apa-apa aksesori, malah seperti peminta sedekah yang meminta wang.

little miss no name

Tambahan pula, wajah Barbie yang cantik digantikan dengan wajah Little Miss No Name yang agak mengerikan, dan matanya yang berwarna merah mampu membuatkan anda terperanjat di waktu malam.

4. Cecilia

cecilia

Kalau nak ke tandas tengah malam memang terkucil di tengah jalan kalau ternampak anak patung ni atas kerusi. Anak patung hantu ini diberi nama Cecilia, yang dihasilkan oleh artis bernama Shain Erin. Shain menghasilkan anak patung sebagai medium seni. Walaupun ia sangat menyeramkan, namun orang ramai menyukai patung seperti Cecilia, yang juga dipakaikan dengan fesyen termasuklah zombie, hantu, mumia, raksaksa dan juga tulang rangka. Kebanyakan anak patung yang dihasilkan dan dipamerkan di galeri Shain telah habis dibeli.

Nak tak hadiahkan satu pada ulangtahun kelahiran puteri anda?

3. Robert

robert the doll

Dahulunya dimiliki oleh Robert Eugene Otto, seorang pelukis, anak patung yang diberi nama Robert ini dikatakan diberikan kepadanya pada tahun 1906 oleh satu keluarga hamba. Keluarga hamba itu dikatakan mahir dalam ilmu hitam dan mahu menghancurkan keluarga Robert Eugene. Menurut sumber, ibu bapanya pernah mendengar Robert Eugene berborak dengan anak patung tersebut.

Ketika tiada sesiapa di rumah, patung ini dikatakan berpindah bilik dan kejadian itu disaksikan oleh jiran mereka melalui tingkap. Selepas kematian Robert Eugene, keluarganya berpindah, dan rumah tersebut dihuni oleh keluarga baru yang mempunyai seorang anak perempuan. Kanak-kanak perempuan tersebut memberitahu terlihat anak patung itu di dalam biliknya pada waktu malam, dan anak patung itu cuba untuk membunuhnya.

robert

Robert sering menjadi perbandingan kepada Annabelle, juga merupakan anak patung yang dirasuk. Kini anak patung Robert berada di Muzium Fort East Martello, Florida, Amerika Syarikat.

2. Joliet

joliet

Anak patung mengerikan yang mempunyai kening nipis dan halus ini dikatakan diserahkan secara turun temurun daripada seorang ibu kepada anak perempuan untuk beberapa generasi. Didakwa kini dimiliki oleh seorang wanita bernama Anna, anak patung Joliet ini dikatakan menyumpah setiap anak perempuan untuk melahirkan dua anak, seorang anak perempuan yang mana akan menjadi pewaris anak patung ini dan seorang lagi anak lelaki yang dikatakan akan mati 3 hari selepas dilahirkan.

Namun, kematian bayi lelaki itu tidaklah sia-sia kerana didakwa rohnya akan masuk dan tinggal di dalam badan Joliet, serta akan menangis pada waktu malam. Kalau benar cerita ini, memang malang nasib.

1. Annabelle

realannabelle

Seperti yang anda sudah jangkakan, berada di tangga pertama senarai anak patung yang paling menyeramkan pernah dihasilkan, adalah Annabelle. Anak patung Annabelle ini memang telah wujud sebelum penghasilan filem tersebut, yang dikatakan akan berubah posisi dan tempat, ketika pemiliknya iaitu seorang pelajar kejururawatan bernama Donna berada di luar rumah.

Menurut Donna, Annabelle juga pernah berubah tempat hingga ke bilik yang lain, dan pernah berlaku di mana beliau pulang ke rumah dan menerima mesej yang ditulis dengan pensel di atas kertas, seolah-olah ia mesej dari Annabelle. Pada kertas itu tertulis "Tolong kami". Donna memberitahu bahawa beliau pernah terlihat titisan darah pada dada dan di belakang kepala Annabelle.

Rujukan : 

1. Buzz Feed

2. Toys Pop Cult

3. Neatorama


tags : , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)