Oleh pada 28 Aug 2017 kategori

Pada hari ini, telefon adalah antara item yang paling penting perlu ada bersama kita setiap masa dan ketika. Tanpa telefon, kita tak dapat melakukan apa-apa kerana telefon memainkan banyak peranan penting dalam kehidupan kita. Daripada berhubung, berhibur sehinggalah ke menguruskan bisnes, segalanya boleh dilakukan menggunakan telefon.

Disebabkan perkara ini, industri komunikasi berkembang dengan pesat dan menjana keuntungan yang sangat tinggi. Namun, 20 tahun lalu, telefon hanyalah digunakan sebagai medium untuk berhubung. Walaubagaimanapun, jumlah jualan telefon ketika itu tidak mengecewakan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jika dalam artikel lalu, iluminasi.com berkongsi 5 jenama telefon pintar paling popular di Malaysia, kali ini kami ingin berkongsi pula 20 model telefon yang paling laris di atas muka bumi.

20. Motorola C200 - 60 juta (2003 -2006)

motorola c200

Dilancarkan pada tahun 2003, Motorola C200 terjual sebanyak 60 juta unit, dan merupakan telefon keluaran Motorola ke-2 paling laris di dunia berkongsi dengan Motorola StarTAC. Pengeluarannya dihentikan pada tahun 2006.

19. Motorola StarTAC - 60 juta unit (1996)

motorola startac

Motorola StarTAC adalah telefon bimbit jenis "lipat" yang pertama dikeluarkan dalam sejarah. Dilancarkan pada 3 Januari 1996, sebanyak 60 juta unit terjual, dan pada tahun 2005, PC World meletakkan Motorolaa StarTac di tangga ke-6 dalam senarai "The 50 Greatest Gadgets of the Past 50 Years".

18. Apple iPhone 4S - 60 juta unit (2011 - 2014)

apple iphone 4s

iPhone 4S merupakan generasi ke-5 iPhone yang dikemaskinikan daripada model sebelumnya iaitu iPhone 4. Ia merupakan model pertama yang menggunakan terma "S", yang bermaksud "Siri", satu sistem pembantu peribadi pintar yang dimuatkan dalam produk Apple ini.

Model ini diumumkan pada 4 Oktober 2011, dan disusuli dengan berita kematian CEO dan pengasas bersama Apple, iaitu Steve Jobs pada keesokan harinya. Sepanjang 3 tahun penjualan iPhone 4S, sebanyak 60 juta telah terjual, menjadikannya telefon pintar ke-3 paling laris keluaran Apple.

17. Nokia 5130 - 65 juta unit (2007)

nokia 5130

Nokia 5130 merupakan telefon dalam siri "XpressMusic" yang dikeluarkan oleh Nokia menggunakan Nokia Series 40 Platform. Ia dilancarkan pada tahun 2007 dan menyokong fungsi pemain muzik berformat MP3, AAC, WMA, WAV, AMR dan beberapa format lain.

Sebanyak 65 juta unit Nokia 5130 terjual sehingga kini.

16. Apple iPhone 5 - 70 juta unit (2012 - 2013)

apple iphone 5 109

iPhone 5 adalah pengemaskiniani model sebelumnya, iPhone 4S. Telefon pintar ini merupakan telefon pintar kedua terlaris keluaran Apple, selepas iPhone 6s. Ia dilancarkan pada September 2012, ia merupakan iPhone pertama yang dihasilkan dibawah pengawasan Tim Cook, dan juga yang terakhir diselia oleh Steve Jobs.

Fungsi dan spesifikasi yang dihasilkan pada iPhone 5 sangat berbeza daripada model sebelumnya. Ia lebih nipis dan ringan, dengan bentuk yang lebih panjang dengan nisbah 16:9. Sebanyak 70 juta unit iPhone 5 terjual di seluruh dunia.

15. Nokia 6010 - 75 juta unit (2004)

nokia 6010

Nokia 6010 tidaklah terlalu popular, namun masih laris terjual. Ia dikeluarkan oleh Nokia pada tahun 2004, dan seperti model nokia yang lain, ia sangat mempunyai daya tahan yang tinggi. Sebanyak 75 juta unit terjual di seluruh dunia.

14. Samsung Galaxy S4 - 80 juta unit (2013)

samsung galaxy s4

Samsung Galaxy S4, adalah telefon ke-3 terlaris dalam senarai ini yang mempunyai teknologi touchscreen. Ia merupakan model yang diperbaharui daripada model sebelumnya, Galaxy S4. Ia dilancarkan pada Mac 2013 dan telah dijual di 155 negara menjelang April 2013. Ia menjadi telefon pintar keluaran Samsung yang paling laju terjual dengan sebanyak 20 juta unit dalam masa 2 bulan sahaja, dan dalam masa 6 bulan, 40 juta unit terjual.

Sehingga kini, jumlah unit terjual bagi Samsung Galaxy S4 adalah 80 juta unit.

13. Nokia 1208 (1209) - 100 juta (2007)

nokia 1208

Sebanyak 100 juta unit Nokia 1208 terjual selepas dilancarkan pada tahun 2007. Antara fungsi selain digunakan sebagai telefon bimbit adalah sebagai lampu suluh.

12. Nokia 3310 - 126 juta (2000)

nokia 3310 166

Penulis yakin, semua orang yang pernah menggunakan telefon ini, atau tidak, pasti akan menyetujui bahawa Nokia 3310 merupakan telefon bimbit paling kuat dan tahan, di atas muka bumi ini. Sehinggakan ia dikatakan boleh menjadi senjata untuk mempertahankan diri daripada anjing. Walaupun berada di tangga ke-12 telefon paling laris, namun Nokia 3310 tidak diragui merupakan antara telefon paling popular dan ikonik dalam sejarah. 

Model ini dikemaskini pada tahun 2017 dengan skrin 2.4 inci berwarna, kamera belakang 2MP dan slot kad memori. Bagi Nokia 3310 keluaran 2000, sebanyak 126 juta unit terjual. 

11. Nokia 1600  - 130 juta (2006)

nokia 1600

Nokia 1600 merupakan sebahagian daripada keluaran Nokia Ultrabasic. Dilancarkan pada hujung tahun 2005, ia berkait dengan model Nokia 1110 dan direka untuk servis telefon prepaid. Juga sangat terkenal dengan ketahanan, ia terjual sebanyak 130 juta unit di seluruh dunia.

10. Motorola RAZR V3 - 130 juta unit (2004)

motorola razr v3

Ketika dikeluarkan, ia merupakan antara telefon yang mempunyai rekaan paling menarik dan menggiurkan. Dan disebabkan penampilannya yang sangat memukau ini, ia dipasarkan sebagai telefon bimbit eksklusif. Dalam masa setahun dilancarkan, harganya diturunkan dan ketika inilah ia menjadi rebutan orang ramai yang mencecah unit jualan sebanyak 50 juta sehingga Julai 2006. 

Ia berada di pasaran sehingga Julai 2007, dan ditabalkan sebagai telefon bimbit "lipat" paling laris di atas muka bumi dengan 130 juta unit terjual.

9. Nokia 2600 - 135 juta unit (2004)

nokia 2600

Telefon keluaran Nokia ini merupakan telefon bimbit berwarna kedua terlaris di dunia selepas Nokia 6600. Dengan sebanyak 135 juta unit terjual, ia berada di tangga ke-9 senarai ini.

8. Samsung E1100 - 150 juta unit (2009 - 2012)

samsunge1100

Jika dibandingkan telefon bimbit ini dengan telefon keluaran Samsung masa kini, tersangatlah jauh perbezaan teknologinya, namun, Samsung E1100 merupakan telefon keluaran Samsung yang paling berjaya, dari segi jumlah penjualan. Dengan 150 juta unit terjual, ia mengatasi Samsung Galaxy S4 dengan perbezaan 70 juta unit. Ia dikeluarkan pada tahun 2009 dan dihentikan pada tahun 2012.

7. Nokia 5230 - 150 juta unit (2009)

nokia 5230

Nokia 5230 merupakan telefon pintar kedua paling laris di dunia dengan teknologi touchscreen. Ia dilancarkan pada tahun 2009, jumlah unit terjual mencapai 150 juta unit. Ia dikategorikan sebagai "entry-level smartphone' dan kurang menyokong pengunaan teknologi Wi-Fi.

6. Nokia 6600 - 150 juta unit (2003)

sabun

Siapa tak kenal dengan model ini? Menjadi rebutan remaja pada awal tahun 2000. Dikenali sebagai "sabun" bagi orang tempatan, Nokia 6600 merupakan telefon bimbit berwarna paling laris di dunia dengan jumlah jualan mencecah 150 juta unit. Ketika dilancarkan, harganya mencecah RM2,500 dan merupakan telefon bimbit high-end yang mempunyai teknologi termaju pernah dikeluarkan oleh Nokia ketika itu.

Ia mempunyai kamera VGA, pemain muzik dan video, Bluetooth dan memori boleh ditambah menggunakan kad memori. Disebabkan populariti model ini yang sangat hebat, ia juga menjadi sasaran pencuri telefon bimbit. 

5. Nokia 1200 - 150 juta unit (2007)

nokia 1200

Dikeluarkan pada tahun 2007, Nokia 1200 telah terjual sebanyak 150 juta unit. Ketika ini, sudah banyak model telefon pintar dikeluarkan dengan teknologi lebih hebat, namun ia tidak mampu mencabar kredibiliti Nokia 1200. 

4. Nokia 3210 - 160 juta unit (1999)

nokia 3210

Dengan penjualan sebanyak 160 juta unit, Nokia 3210 menduduki tangga ke-4. Ia dilancarkan pada 18 Mac 1999 dan antara yang paling popular ketika itu. Telefon bimbit ini direka oleh Alastair Curtis di Nokia Design Center, Los Angeles. Ia merupakan telefon bimbit pertama dipasarkan secara besar-besaran yang mempunyai antena di bahagian dalam, selepas ia diperkenalkan pada model mewah Nokia 8810 pada tahun 1998.

3. Apple iPhone 6 dan iPhone 6 Plus - 220 juta unit (2014)

iphone 665

Tak syak lagi, di tempat ke-3 senarai ini jatuh kepada telefon keluaran Apple, iaitu iPhone 6. Ia merupakan telefon paling laris di atas muka bumi bagi kategori telefon pintar dengan jumlah jualan sebanyak 220 juta unit. Ketika dilancarkan pada September 2014, dalam hanya 24 jam tempahan dibuka, sebanyak 4 juta pesanan diterima dan apabila ia dijual di kedai-kedai Apple, lebih daripada 10 juta unit terjual, dalam hanya 3 hari pertama.

2. Nokia 1110 - 250 juta (2005)

nokia 1110

Nokia 1110 dikeluarkan pada tahun 2005 dan mensasarkan pengguna telefon bimbit kali pertama. Model ini hampir sama dengan Nokia 1100, dengan mudah untuk diguna, tahan lama serta harga yang murah. Dengan jumlah jualan mencecah 250 juta unit, Nokia 1110 berkongsi tempat pertama bersama Nokia 1100. Penulis jamin, kebanyakan yang membaca ini, jika anda berumur 25 tahun ke atas, pasti anda pernah menggunakan telefon ini satu ketika dulu. 

1. Nokia 1100 - 250 juta (2003)

nokia 1100

Di tangga pertama telefon bimbit paling laris di atas muka bumi adalah Nokia 1100. Dilancarkan pada hujung tahun 2003, dan terjual sebanyak 250 juta unit. Walaupun ketika ini telefon bimbit moden sudah banyak di pasaran, namun Nokia 1100 masih menjadi pilihan.

Rekabentuk Nokia 1100 direka di Nokia Design Center di California dan dipatenkan oleh Dimitre Mehandjiysky, seorang pereka Bulgaria-Amerika. Pada tahun 2005, jualan telefon bimbit Nokia yang ke-1 billion merupakan Nokia 1100 yang terjual di Nigeria. Dan pada tahun 2009, Nokia 1100 telah dihentikan pengeluarannya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)