iluminasi myfreeview dekoder televisyen malaysia br1m6

Ramai antara kita sudah sedia maklum mengenai pelancaran sistem penyiaran televisyen di negara kita yang baru saja dilancarkan oleh PM Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak. Masih terdapat banyak kekeliruan orang ramai tentang apa sebenarnya siaran ini, sehinggakan banyak pihak mengatakan ini adalah projek untuk pilihanraya.

Di sini kami cuba sedaya upaya menerangkan kepada anda mengapa sistem siaran di negara kita ini sedang mengalami proses perubahan kerana nampaknya tidak ramai faham apa signifikannya sistem baru ini kepada orang ramai. Saya berharap dengan penjelasan ini yang akan ditulis secara mudah difahami dapat membantu anda, terutamanya golongan warga emas yang pasti akan terkesan dengan pengenalan sistem baru ini.

Kita mulakan dengan soalan pertama yang ramai orang perkatakan;

1. Apa benda sebenarnya Myfreeview ni?

iluminasi myfreeview dekoder televisyen malaysia br1m2

Myfreeview ini adalah siaran rancangan percuma yang ke udara untuk menggantikan siaran sedia ada yang bukan datang dari Astro atau HyppTV. Kalau anda tak langgan Astro atau HyppTV, anda adalah bakal pengguna Myfreeview ini.

2. Saya masih keliru. Kenapa ada Mytv dan kenapa ada Myfreeview?

iluminasi myfreeview dekoder televisyen malaysia br1m5

Ini memang saya nampak akan menimbulkan sedikit kekeliruan. Pada awalnya keseluruhan sistem ini dijenamakan di bawah nama MYTV tetapiĀ  kerajaan nampaknya mengambil langkah membezakan jenama siaran dan jenama dekoder. Sistem dekoder itu nampaknya dijenamakan sebagai MyTV dan sistem siaran itu sendiri dijenamakan sebagai Myfreeview.

3. Siapa yang akan terkesan?

Mana-mana rumah yang masih lagi menggunakan antenna televisyen lama untuk mendapatkan siaran akan terkesan kerana siaran bagi mereka akan ditutup pada pertengahan tahun 2018, digantikan dengan Myfreeview ini.

4. Kenapa nak tutup pula?

Seiring dengan perkembangan teknologi, siaran televisyen juga akan bertukar format daripada analog ke digital bagi meningkatkan kualiti gambar dan perkhidmatan. Selain itu, dengan menggunakan sistem siaran digital atau DTTV ini, siaran radio juga dapat dipancar terus ke rumah.

5. Kenapa kena ada dekoder?

iluminasi myfreeview dekoder televisyen malaysia br1m3

Kalau tak ada dekoder, tak boleh dapat siaran.

6. Boleh ke saya tak pakai dekoder?

Boleh. Jika tidak mahu pakai dekoder, pastikan televisyen yang anda beli mempunyai tuner atau penala yang menyokong sistem DVB-T2. Mana-mana TV yang mempunyai sistem itu dalam TV tidak memerlukan dekoder tetapi kebanyakan TV yang dibeli sebelum 2012 tidak mempunyai sistem tersebut. Semak model televisyen anda.

7. Kena pakai aerial balik?

iluminasi myfreeview dekoder televisyen malaysia br1m4

Ya. Sama seperti Astro yang guna satelit atau HyppTV yang guna internet, sistem Myfreeview memerlukan aerial untuk menangkap siaran. Tak ada aerial, tak ada siaran. Aerial sedia ada pun boleh digunakan kalau rumah dah ada aerial.

8. Waktu benda ni dilancarkan dekat sangat dengan pilihanraya. Adakah ini satu gula-gula pilihanraya?

Terpulanglah jika anda nak tengok sebegitu. Perkara ini sebenarnya sudah pun dirangka bertahun lamanya, bukan sekadar di Malaysia sahaja. Di Singapura, mereka akan bertukar 100% digital pada hujung tahun 2017. Tarikh akhir untuk semua negara Asean bertukar kepada sistem digital sepenuhnya adalah 2020. Malaysia menjangkakan kita akan menutup semua siaran berformat lama (analog) pada tahun 2018.

9. Apa lagi faedahnya?

iluminasi myfreeview dekoder televisyen malaysia br1m

Selain dari kualiti gambar dan siaran radio, ada faedah lain yang orang ramai tak berapa tahu . Penjelasan ini agak teknikal sedikit - dengan menukar kepada sistem digital yang mampu membawa lebih banyak siaran dalam kuantiti data yang sedikit berbanding sistem analog sedia ada, ini akan mengosongkan spektrum-spektrum yang sudah diisi sebelum ini oleh siaran televisyen analog.

Dengan pengosongan ini, lebih banyak kapasiti untuk pengguna seperti internet mobil di Malaysia dapat ditambah. Fenomena yang berlaku ini digelarkan 'dividen digital' dan kebanyakan negara yang mempunyai dividen spektrum lebih ini selalunya akan membuka kuota ini untuk tujuan lain.

10. Kalau saya dah ada Astro atau HyppTV, apa pula faedahnya kepada saya?

Anda tidak akan terkesan dengan pertukaran ini. Bagaimanapun perlu diingatkan, jika satu hari nanti anda menutup langganan Astro atau Unifi dan anda tidak mempunyai dekoder Myfreeview, anda tidak akan mendapat apa-apa siaran.

11. Penting ke Myfreeview ini pada orang kita? Saya tengok semua orang ada Astro. Membazir saja semua ni.

Mengikut statistik, ada lebih kurang 3.32 juta pelanggan berbayar Astro dan 256 ribu pelanggan Astro NJOI percuma mewakili 53% kediaman mempunyai televisyen di Malaysia. Sementara itu sebanyak 895,000 kediaman melanggan perkhidmatan HyppTV yang datang dengan langganan Unifi.

Ini menunjukkan masih ramai lagi rakyat Malaysia yang bergantung dengan siaran televisyen percuma yang disiarkan melalui sistem penyiaran sedia ada. Lagipun, benda ini percuma dan sama saja dengan apa yang kita dah ada ketika ini. Yang berbezanya adalah keperluan memiliki dekoder untuk menerima siaran.

12. Saya faham. Jadi saya nak beli dekoder ni untuk ibu bapa saya di kampung. Di mana saya boleh mendapatkannya?

Anda boleh rujuk senarai pengedar dekoder di laman web rasmi Myfreeview TV.

Kredit Gambar

Amanz.My

Forum Lowyat


tags : , , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)