Oleh pada 14 May 2017 kategori

Dalam zaman sekarang, susah nak dapat tahu sama ada hubungan percintaan dan perkahwinan kita akan berkekalan till jannah atau tidak. Walaupun rasa disayangi, namun kadang-kadang terbit rasa ingin tahu sama ada si dia merupakan pasangan sehidup semati atau tidak.

Mari kita lihat 10 tanda jelas bahawa anda tak perlu risau dengan perhubungan anda. Kalau ada tanda-tanda ini dalam perhubungan, si dia sememangnya diciptakan untuk anda!

BESARKAN TEKS     A-  A+

#1 Sikap saling memahami

Kebiasaannya masa bercinta memang selalunya indah. Bau kentut si dia pun anda rasa wangi. Tapi bila dah masuk ke alam perkahwinan, sebenarnya lebih banyak perkara tentang satu sama lain yang masih belum diketahui dan perlu dihadam dengan toleransi.

Sebagai contoh, katakanlah anda seorang yang sangat sibuk bekerja dan perlu kerap meninggalkan pasangan kerana keluar outstation. Anda takut sangat kalau ia boleh menyebabkan pergaduhan atau perang dingin. Jika pasangan anda benar-benar memahami dan tahan dengan situasi ini, maka anda tak perlulah risau.

tips hubungan sihat

Selain itu sikap memahami juga penting dalam memenuhi sesuatu matlamat perhubungan. Contohnya, nak pilih nama anak, nak beli rumah di kawasan mana ataupun giliran balik beraya di mana. Kadang-kadang kalau pasangan tak bersefahaman, benda simple seperti nak keluar makan di mana pun boleh bawa bergaduh.

#2 Tidak main-main

Anda berada dalam perhubungan yang sihat sekiranya anda dan pasangan tidak main-main. Main-main di sini bukanlah bermakna anda main kejar-kejar ataupun main PS4, tetapi perangai keji seperti saja-saja selalu buat pasangan cemburu ataupun suka provoke untuk bangkitkan kemarahan.

Kalau pasangan anda ada tabiat buruk seperti ini, mungkin dia bukanlah calon yang sesuai. Ada juga kemungkinan bahawa si dia tak ada hati pun dekat anda tetapi taknak jadi orang jahat yang meminta clash. Jadi, jalan keluar mudah ialah dengan saja-saja cucuk anda supaya andalah yang minta akhiri perhubungan dulu.

tips hubungan sihat 6

Manakala main-main yang bagus untuk perhubungan pula adalah seperti usik-mengusik, bergurau senda dan membuat lawak jenaka dengan tujuan menghiburkan pasangan. Yang itu okey!

#3 Komunikasi

Yang ini rasanya tak perlu diterangkan dengan panjang lebar. Boleh kata semua orang tahu komunikasi adalah perkara paling penting dalam sesebuah perhubungan.

Kalau awal-awal percintaan pun pasangan dah kantoi menipu dan banyak menyimpan rahsia, berkemungkinan besar perhubungan itu tak akan tahan lama. Pastikan pasangan anda sentiasa jujur dan menyampaikan semua perkara kepada anda dengan jelas.

tips hubungan sihat

Sekiranya timbul rasa tak puas hati ataupun berlaku konflik, kedua-dua anda boleh duduk berbincang dengan aman dan tenteram. Itu barulah tanda perhubungan mantap. Anda pun tak adalah susah-payah nak main teka-teka apa yang ada dalam fikiran masing-masing.

Salah satu cara mudah bagi pasangan yang dah berkahwin untuk cepat mengatasi konflik ialah dengan solat berjemaah bersama-sama. Kalau anda sentiasa amalkan solat berjemaah di rumah dengan pasangan, insya Allah kekal bahagia. Ini disebabkan setiap kali lepas solat, isteri akan salam cium tangan suami minta maaf. Terus berdamai tak jadi muka masam. Sweet kan?

#4 Tidak mengharapkan kesempurnaan

Kalau anda harap pasangan anda menjadi seperti malaikat, mungkin anda tak sesuai untuk si dia. Anda perlu faham bahawa manusia sering melakukan kesilapan dari semasa ke semasa. Tiada siapa dalam dunia ini yang sempurna.

tips hubungan sihat 3

Jadi, anda perlu belajar menyayangi dan menerima segala kekurangan yang ada pada pasangan. Terima si dia seadanya dengan sepenuh hati, barulah anda boleh melangkah lebih jauh dalam perhubungan. Ingat, nobody's perfect!

#5 Beri ruang dan privasi

Masa mula-mula bercinta memanglah nak jadi belangkas. Kalau boleh mahu berkepit 24 jam. Apabila dah merasai alam perkahwinan, lama-lama anda akan mula sedar bahawa setiap orang sebenarnya memerlukan masa peribadi untuk diri sendiri.

tips hubungan sihat 10

Mungkin anda atau pasangan mahu pergi mengembara backpacking bersama rakan-rakan atau keluar bermain futsal sebulan sekali. Jika ada permintaan begini, sekali-sekala biarkanlah. Ia mungkin dapat membantu perhubungan menjadi lebih erat kerana anda akan merindui pasangan semasa ketiadaan mereka.

#6 Bijak mengatasi konflik

Perhubungan mana yang tidak dilanda badai? Mestilah anda pernah bergaduh sekurang-kurangnya sekali. Kalau anda dapat melepasi setiap konflik dengan mudah, itu mungkin salah satu tanda perhubungan anda sangat sihat.

Kalau anda atau pasangan sering mengugut untuk berpisah atau melarikan diri daripada masalah, besar kemungkinan itu bukanlah perhubungan yang baik untuk anda.

tips hubungan sihat 7

#7 Mesra dan menerima keluarga masing-masing

Orang selalu kata, kalau mengahwini pasangan, anda sebenarnya 'berkahwin' dengan seluruh ahli keluarganya sekali. Kalau kedua-duanya mampu menerima kelebihan dan kekurangan keluarga masing-masing seadanya, insya Allah perhubungan anda akan berkekalan.

tips hubungan sihat 9

Sekiranya ibu bapa anda merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan pasangan, mungkin anda boleh selidik dengan lebih mendalam. Selalunya bila kita bercinta, mata pun jadi buta sebab nampak yang indah belaka. Maka, adakalanya pandangan orang lain boleh membantu dalam membuat penilaian. Jangan cepat melenting. 

#8 Sentiasa menyokong impian masing-masing

Kalau pasangan anda sentiasa menyokong tindakan, impian dan cita-cita anda, anda sedang berada dalam perhubungan yang sempurna. Anda perlu tahu bahawa wujud ramai manusia yang tak reti nak beri sokongan moral langsung.

tips hubungan sihat 2

Contohnya, pasangan yang sering memperlekehkan impian anda nak kurus. Sepatutnya sebagai pasangan yang supportive, si dia belanjalah anda keahlian gym selama setahun ataupun ajak bersenam bersama-sama. Barulah sehati sejiwa.

#9 Saling menghormati

Sebagaimana anda ingin diberikan penghormatan oleh pasangan, begitu jugalah sebaliknya. Kedua-dua anda dan pasangan perlu sentiasa saling menghormati. Walaupun adakalanya anda tidak sependapat, namun toleransi dan sikap memahami perlu wujud dari kedua-dua belah pihak.

tips hubungan sihat 11

Contohnya anda memang 100% tidak bersetuju apabila suami menukar warna kereta menjadi merah jambu siap dengan sticker Hello Kitty besar lagi. Tapi anda masih perlu hormat dan menerima keputusannya kerana itu adalah warna dan karakter kartun yang paling digemarinya, walaupun si dia gagah dan berbadan sado. Maka, si isteri tak perlu tarik muka sampai muncung panjang sedepa ok?

#10 Tidak membiarkan rasa cinta itu padam

Percintaan dan perkahwinan sebenarnya adalah suatu perhubungan yang memerlukan usaha keras. Ia bukanlah seperti hubungan kekeluargaan di mana ia tidak akan terputus walaupun sudah lama tidak bersua muka. Rasa sayang dan cinta boleh menjadi semakin pudar sekiranya tidak disemai dari hari ke hari.

Setiap pasangan perlu ungkapkan rasa rindu dan sayang terhadap pasangan. Kalau jalan bersama membeli sayur di pasar, pimpinlah tangan isteri. Kebanyakan suami sekarang suka benar berjalan laju 10 batu di depan, sedangkan si isteri ditinggalkan terkontang-kanting di belakang bersama anak-anak. Tak romantik langsung.

tips hubungan sihat 4

Jika anda dan pasangan sudah mendirikan rumah tangga berbelas atau berpuluh tahun namun masih lagi mengekalkan elemen surprise dalam kehidupan dan sentiasa membuat pasangan berasa istimewa, maka insya Allah anda akan kekal bersama till jannah.

Jangan surprise isteri dengan membawa pulang isteri muda sudahlah. Kami tak jamin apa yang bakal terjadi kepada anda.




Hakcipta iluminasi.com (2017)