Tapak Sulaiman adalah sejenis spesies haiwan laut yang terdapat hampir di setiap negara di dunia. Tidak kira orang dewasa ataupun kanak-kanak, pasti teruja setiap kali terjumpa haiwan ini. Lebih kurang 1500 spesies Tapak Sulaiman yang diketahui wujud dalam pelbagai warna, bentuk dan saiz.
Kebanyakan daripada spesies haiwan laut ini boleh ditemui di pesisir pantai dan ada juga spesies Tapak Sulaiman yang mendiami kawasan dasar laut pada kedalaman ekstrem antara 3000 hingga 6000 meter dalam. Kami ingin kongsikan bersama anda beberapa Tapak Sulaiman yang dianggap unik, cantik dan sukar ditemui.
10. Nine-Armed Sea Star (Luidia senegalensis)
BESARKAN TEKS A- A+
Tapak Sulaiman yang mempunyai 9 lengan panjang dan tirus yang melekat pada cakera pusat ini biasanya terdapat di bahagian barat Lautan Atlantik, pantai Florida, Lautan Caribbean, Teluk Mexico dan juga pantai Amerika Selatan.
Spesies Tapak Sulaiman ini biasanya tertumpu di kawasan dasar laut yang berlumpur dan kawasan berpasir seperti laguna. Malah, kebanyakan spesies Tapak Sulaiman ini berada di kedalaman 40 meter di dasar laut.
Spesies ini boleh membesar sehingga 40 cm diameter. Ia mempunyai duri yang cantik pada bahagian platnya yang panjang, yang menyerupai kontras warna krim yang sesuai dengan lengan berwarna kuning.
9. Square Biscuit Starfish
Tapak Sulaiman Square Biscuit ini agak berbeza berbanding Tapak Sulaiman biasa kerana bentuk fizikalnya. Spesies yang berbentuk petak dan berwarna oren terang ini boleh membesar sehingga 6 cm. Spesies Tapak Sulaiman ini banyak ditemui di sekitar Sydney, Victoria, Tasmania, selatan dan barat Australia.
Square Biscuit ini biasanya hidup di pantai berbatu antara pesisir dan perairan pantai hingga pada kedalaman 40 meter. Permukaan atas spesies Tapak Sulaiman ini diliputi dengan plat kecil yang saling berkait. Corak dan kontras warna spesies Tapak Sulaiman ini kelihatan seakan-akan sebuah biskut yang sebenar.
8. Crown-of-thorns Starfish (Acanthaster Planci)
Spesies Tapak Sulaiman ini diliputi oleh duri-duri tajam yang mengandungi racun di atas bahagian badannya. Ia banyak ditemui di kawasan rantau subtropika, dari Lautan Hindi ke Laut Merah, barat pantai Amerika Tengah ke Lautan Pasifik.
Spesies yang berwarna ungu kebiru-biruan ini biasanya bersaiz 35 cm besar dan boleh mencapai saiz maksimum 80 cm. Ia hidup dengan memakan terumbu karang di dasar laut dan antara pemangsanya ialah siput laut, ikan buntal dan beberapa spesies ikan lain.
Disebabkan tabiatnya memakan terumbu karang dan dianggap sebagai haiwan perosak di sesetengah tempat, pada awal tahun 2018, sekumpulan penyelam telah berjaya membunuh lebih kurang 47,000 Tapak Sulaiman spesies ini di Australia bagi memelihara terumbu karang yang terdapat di pesisir pantai mereka.
7. Vermilion Biscuit Sea Star (Mediaster aequalis)
Spesies Tapak Sulaiman yang sering dipanggil sebagai "Equal Arm Star" ini mempunyai warna merah terang dan mempunyai corak seakan-akan sesawang di bahagian atasnya.
Spesies ini banyak ditemui di sepanjang kawasan pantai di mana air pasang surutnya berada pada tahap paling rendah. Ia bergerak pada kelajuan 20 hingga 47 cm dalam seminit.
Tapak Sulaiman Vermilion Biscuit ini juga biasanya tinggal di kawasan berlumpur dan berbatu yang mempunyai banyak kerang-kerangan dan terdapat di bahagian selatan California.
6. Royal Starfish (Astropecten astriculatus)
Tapak Sulaiman Royal ini terkenal kerana warna biru keunguannya yang cantik. Spesies Tapak Sulaiman ini banyak terdapat di bahagian barat pantai Lautan Atlantik.
Mempunyai 5 lengan yang panjangnya sekitar 2 hingga 9 cm setiap satu, ia dilengkapi dengan duri kecil berwarna putih. Tidak seperti spesies Tapak Sulaiman yang lain, spesies Royal ini mampu memakan seluruh mangsanya dalam hanya sekali suapan sahaja.
Spesies Tapak Sulaiman Royal ini banyak mendiami kawasan dasar laut 200 meter dalam dari permukaan laut dan lazimnya dapat ditemui juga di sepanjang pantai bahagian tenggara Amerika Syarikat.
5. Egyptian Sea Star (Gomophia egyptiaca)
Tapak Sulaiman Egyptian adalah salah satu spesies Tapak Sulaiman yang mampu menyembuhkan semula bahagian badannya yang telah rosak atau terputus. Spesies ini banyak ditemui di kawasan Madagascar, Lautan Hindi dan pesisir pantai Afrika Timur.
Spesies Tapak Sulaiman yang biasa ditemui pada kedalaman 8 meter di dasar laut ini mempunyai duri pada bahagian atas badannya. Ia mengeluarkan sejenis cecair unik untuk memakan mangsanya seperti siput kecil kerana mereka tidak mempunyai mulut. Selain itu ia juga makan lumut dan tumbuhan laut yang lain.
4. Icon Starfish (Iconaster longimanus)
Tapak Sulaiman Icon ini juga sering dikenali sebagai "Double Starfish" dan merupakan salah satu spesies Tapak Sulaiman yang cantik. Spesies ini banyak ditemui di Lautan Indo-Pasifik.
Spesies ini mempunyai cakera pusat yang cantik dan menyerupai bintang dengan lengannya yang tirus. Saiz purata Tapak Sulaiman Icon ini ialah 30 cm diameter dan biasanya tinggal di kawasan terumbu karang yang dalam.
Lengan Tapak Sulaiman Icon ini seakan-akan menyerupai hiasan jubin mozek dan jauh berbeza dengan corak cakera pusatnya. Spesies ini juga diketahui mempunyai kuasa menyembuhkan diri sendiri sekiranya badan atau lengannya rosak putus.
3. Australian Southern Sand Star (Luidian australiae)
Spesies Tapak Sulaiman Australia Selatan ini banyak ditemui di kawasan sub-tropika di perairan Australia daripada Moreton Bay di Queensland di selatan sehingga ke pesisir pantai di barat Australia.
Spesies ini mempunyai warna kekuningan dengan lengan tirus yang boleh dibengkokkan. Haiwan ini mempunyai saiz purata 40 cm diameter dan banyak mendiami kawasan rumput-rumput laut dan terumbu karang.
Dengan warnanya yang mirip warna pasir, haiwan ini sentiasa separa tenggelam di dalam pasir sebagai penyamaran untuk mengelak daripada diserang pemangsa. Tapak Sulaiman spesies ini juga pernah dijumpai pada kedalaman 100 meter di dasar laut.
2. Chocolate Chip Sea Star (Protoreaster nodosus)
Spesies Tapak Sulaiman ini juga sering dirujuk sebagai "Tapak Sulaiman Bertanduk". Spesies yang mempunyai bentuk tubuh tumpat dengan lima lengan ini biasanya banyak terdapat di rantau Indo-Pasifik.
Tanduk yang berada pada bahagian atas badannya itu digunakan untuk menakutkan pemangsa. Walaupun kebanyakan Tapak Sulaiman merupakan haiwan invertebrata, namun spesies Chocolate Chip ini mempunyai tulang.
Spesies ini memerlukan diet yang sempurna dan keadaan air yang sesuai untuk bertahan hidup. Walaupun spesies Tapak Sulaiman ini kelihatan agak menakutkan, tetapi ia sebenarnya adalah haiwan yang kurang agresif.
1. Necklace Starfish (Fromia monilis)
Spesies Tapak Sulaiman ini dikenali dengan banyak nama lain antaranya ialah Fromia Sea Star, Red Tile Starfish, Marble Starfish dan banyak lagi. Spesies Necklace Starfish ini terkenal kerana corak dan warnanya yang cantik sekali.
Kebanyakan spesies ini mempunyai cakera pusat yang berwarna merah atau oren dengan lengan bercorak dengan warna putih. Ia banyak terdapat di perairan Pasifik Barat dan Lautan Hindi serta sering ditemui hidup di kawasan berbatu di mana alga tumbuh dengan banyak.
Spesies Tapak Sulaiman ini juga mempunyai kuasa menyembuh dengan sendirinya. Lengannya yang terputus diserang pemangsa boleh tumbuh semula dalam waktu yang singkat. Ia biasanya ditemui di kawasan perairan cetek sehinggalah pada kedalaman 40 meter di dasar laut.