Oleh pada 12 Dec 2017 kategori

alice walton wanita terkaya di dunia ketika ini

Selepas kematian pemilik syarikat L'Oréal yang diwarisi daripada bapanya, Liliane Bettencourt, Alice Walton telah ditabalkan sebagai wanita terkaya di dunia dengan kekayaan RM183 billion. Alice Walton adalah anak bongsu kepada Sam Walton, pengasas syarikat paling kaya di dunia, Walmart.

Senarai manusia terkaya di dunia terdiri daripada mereka yang mempunyai kekayaan dari dua kategori iaitu self-made, di mana kekayaan tersebut diusahakan sendiri dan kekayaan yang diwarisi. Kali ini iluminasi.com ingin berkongsi senarai 10 self-made billionaire wanita terkaya di dunia.

10. Zhang Xin

zhang xin antara wanita terkaya di dunia

Warganegara : China

Usia : 52 tahun

Kedudukan kekayaan dunia : 616

Zhang Xin adalah pengasas bersama syarikat Soho China, sebuah pemaju hartanah terbesar di Beijing dan Shanghai. Syarikat ini telah membangunkan projek di Beijing dan Shanghai, lebih daripada 54 juta kaki persegi.

Soho China telah disenaraikan dalam Bursa Saham Hong Kong manakala Zhang Xin pula tersenarai sebagai wanita ke-62 paling berpengaruh di dunia pada tahun 2014. Beliau juga mempunyai 10 juta pengikut di Sina Weibo, Twitter versi China.

Kekayaan Zhang Xin kini mencecah RM14.69 billion.

9. Denise Coates

denise coates pengasas syarikat bet365

Warganegara : United Kingdom

Usia : 50 tahun

Kedudukan kekayaan dunia : 494

Dengan kekayaan RM17.14 billion, pengasas dan CEO bersama syarikat perjudian atas talian Bet365 ini, Denise Coates berada di tangga ke-9 self-made billionaire wanita terkaya di dunia

Beliau telah mengasaskan syarikat tersebut bersama abangnya John Coates. Denise bermula awal dalam industri perjudian ini sebagai kakitangan di syarikat bapanya, ketika masih bersekolah. Beliau yang kemudiannya menjadi seorang akauntan telah mengambil alih dan menaikkan syarikat, sebelum dijual. 

Beliau kemudian menyedari perniagaan judi atas talian mampu memberikan keuntungan lumayan, lalu telah membeli domain Bet365.com pada tahun 2000. Setahun kemudian, laman sesawang tersebut dilancarkan. 

8. Rafaela Aponte

rafaela aponte dan suaminya gianluigi

Warganegara : Switzerland

Kedudukan kekayaan dunia : 475

Rafaela Aponte adalah isteri kepada Gianluigi Aponte, Pengerusi kepada syarikat perkapalan kargo, Mediterranean Shipping Company. Pasangan ini bertemu ketika Gianluigi bertugas sebagai kapten kapal. Dan pada tahun 1970, pasangan ini telah melancarkan syarikat tersebut, yang kini dikenali sebagai MSC.

Dalam hanya masa 4 dekad, syarikat MSC berkembang dengan pesat dan menjadi syarikat perkapalan kontena kedua terbesar di dunia dengan 480 buah kapal, di belakang syarikat Maersk. Pasangan ini juga pemilik syarikat kapal persiaran ke-4 terbesar di dunia, MSC Cruise. Rafaela merupakan orang bertanggungjawab ke atas rekabentuk dalaman kapal persiaran milik MSC Cruise.

Kekayaan yang dimiliki oleh Rafaela mencecah RM18.97 billion.

7. Wai Ying Lam

lam wai ying

Warganegara : Hong Kong

Kedudukan kekayaan dunia : 357

Wanita yang berasal dari Hong Kong ini mempunyai kekayaan RM21.21 billion. Lam Wai Ying adalah isteri kepada Kin-Man Yeung, pengasas dan ketua eksekutif syarikat Biel Crystal Manufactory.

Wai Ying juga merupakan pengerusi kepada syarikat ini dan memiliki 49% daripada Biel Crystal Manufactory, manakala suaminya memiliki selebihnya. Syarikat ini merupakan pembekal touch screen bagi telefon pintar bagi Apple, dan mempunyai kakitangan seramai 100,000 di China.

6. Marian Ilitch

marian ilitch

Warganegara : Amerika Syarikat

Usia : 84 tahun

Kedudukan kekayaan dunia : 335

Pengasas bersama syarikat Lilttle Caesars Pizza bersama suaminya ini berada di tangga ke-6 self-made billionaire wanita terkaya di dunia dengan kekayaan RM22.03 billion, menyamai Diane Hendrics. Marian Ilitch mengasaskan syarikat tersebut pada tahun 1959 di Michigan, Amerika Syarikat. Ia merupakan syarikat rangkaian pizza ke-3 terbesar di negara itu, dibelakang Pizza hut dan Domino's Pizza.

Selepas kematian suamiya pada Mike Hitch pada Februari lalu, beliau kini memiliki keseluruhan syarikat itu dengan jualan tahunan sebanyak RM16.8 billion setahun. Selain itu, beliau juga memiliki pasukan hoki ais Detroit Red Wings dan Hotel Kasino MotorCity.

5. Diane Hendricks

diane hendricks

Warganegara : Amerika Syarikat

Usia : 70 tahun

Kedudukan kekayaan dunia : 334

Pengerusi dan pengasas bersama syarikat ABC Supply, antara pengedar bumbung dan tingkap secara borong terbesar di Amerika. Beliau memulakan perniagaan ini bersama-sama arwah suaminya, Ken Hendrics yang beroperasi di Wisconsin 35 tahun lalu. Semenjak kematian suaminya pada tahun 2007, beliau mengambil alih menerajui ABC Supply.

Ketika menerajui syarikat ini, Diane telah membuat 2 pengambilalihan terbesar dalam sejarah dengan membeli syarikat saingan iaitu Bradco pada tahun 2010 dan juga pembekal bahan pembinaan iaitu L&W Supply pada tahun 2016.

Sebanyak RM30.24 billion jualan dijana di lebih 700 lokasi di serata Amerika Syarikat. Ia menjadikan Diane self-made billionaire ke-5 terkaya di dunia dengan kekayaan sebanyak RM22.03 billion.

4. Chan Laiwa

chan laiwa

Warganegara : China

Usia : 76 tahun

Kedudukan kekayaan dunia : 325

FuWah International Group yang merupakan antara pemaju hartanah terbesar di China yang berpangkalan di Beijiing ini, adalah milik Chan Laiwa yang juga merupakan pengasas dan pengerusi syarikat. Syarikat ini terkenal dengan pembangunan yang dilakukan iaitu Jinbo Street dan juga Menara Jinbo, serta Bangunan Regent dan Kelab Joki Hong Kong Beijing.

Syarikat milik Chan juga melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa dengan melabur dalam industri perhotelan di Australia dan New Zealand. Hasil usaha beliau memberikan pulangan lumayan dan kekayaan Chan Laiwa kini bernilai RM22.85 billion.

3. Wu Yajun

wu yajun

Warganegara : China

Usia : 53 tahun

Kedudukan kekayaan dunia : 242

Pengasas bersama, bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan pengerusi bagi syarikat Longfor Properties, Wu Yajun berada di tangga ke-4 senarai ini. Sebelum bergelar usahawan hartanah, Wu bekerja sebagai seorang wartawan.

Beliau mengasaskan syarikat ini bersama suaminya. Dengan kekayaan RM27.74 billion, Wu juga merupakan wanita kedua terkaya di China, dan ke-22 di dunia. Pada tahun 2012, Wu ditabalkan sebagai wanita terkaya di China dan individu ke-5 terkaya di China, namun jatuh ke tangga ke-2 berikutan perceraian dengan suaminya.

Forbes menyenaraikan Wu Yajun sebagai wanita ke-41 paling berpengaruh di dunia pada tahun 2014.

2. Pollyanna Chu

pollyanna chu

Warganegara : Hong Kong

Usia : 59 tahun

Kedudukan kekayaan dunia : 146

Dilahirkan dalam keluarga yang mempunyai kekayaan dalam industri perhotelan dan kasino, wanita ini tidak memilih jalan mudah untuk berjaya. Beliau pada mulanya mencerburkan diri dalam bidang hartanah bersama suaminya.

Melihatkan kejayaan yang dikecapi ketika itu, pasangan ini melancarkan Kingston Financial Group pada tahun 1992 yang dinamakan bersempena anak tunggal mereka, Kingston.

Kekayaan Pollyanna menjadi tiga kali ganda hanya dalam masa 2 tahun yang lalu. Beliau disenaraikan di tangga ke-42 wanita paling berpengaruh di dunia pada tahun 2016. Kini dengan kekayaan RM41.62 billion, Pollyanna merupakan self-made billionaire wanita ke-2 terkaya di dunia.

1. Zhou Qunfei

zhou qunfei

Warganegara : Hong Kong

Usia : 47 tahun

Kedudukan kekayaan dunia : 135

Mengungguli senarai ini adalah wanita bernama Zhou Qunfei, dengan kekayaan RM46.10 billion. Zhou adalah pengasas dan ketua pegawai eksekutif syarikat Lens Technology yang diasaskan pada tahun 2006 dan berpangkalan di Hunan, China.

Syarikat ini merupakan pembekal skrin kaca rata ke seluruh dunia dan antara pelanggan mereka yang popular adalah Apple. Kisah Zhou merupakan contoh bahawa tiada apa yang mustahil di dunia ini jika ada usaha. Beliau merupakan seorang pekerja kilang ketika remaja, namun kini menjadi antara wanita terkaya di dunia.

Beliau memulakan usahanya menjadi usahawan dengan menubuhkan syarikat alat ganti jam bersama saudara-mara di apartmentnya di Shenzen pada tahun 1993.

Rujukan :

1. Forbes [1]


tags : , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)