Oleh pada 21 Dec 2017 kategori

10. Strawberry Mansion High School 

strawberry mansion high school

Sumber foto: The Spirit of Penn's Garden / Patrick Clark

Sekolah yang terletak di Philadelphia, Amerika Syarikat ini mempunyai reputasi buruk sebagai sebuah sekolah yang bermasalah. Antara tahun 1951 sehingga 2013, ia tersenarai antara sekolah menengah yang berbahaya di negeri Pennsylvania.

Sudah menjadi kebiasaan buat para guru di sini merampas alatan seperti pisau, pisau cukur dan senjata. Pergaduhan kerapkali terjadi. Ramai pelajar terpaksa menyapu Vaseline pada wajah mereka, bagi menghilangkan kesan tumbukan.

Pada sesi tahun 2012 dan 2013, sebanyak 49 insiden serius berbentuk ancaman keselamatan telah berlaku. Sejak beberapa tahun lalu, langkah keselamatan mula dipertingkatkan .

Terdapat sebanyak 94 kamera keselamatan dan pengesan logam dipasang di setiap pintu masuk. Namun, kekejaman masih menjadi masalah utama di sekolah ini.

Pada Februari 2017, seorang pelajar yang sedang sarat mengandung didakwa menikam seorang pelajar perempuan lain pada bahagian lengan, di luar kawasan sekolah.

9. Sekolah berhampiran Sakurajima

the schools near sakurajima

Sumber foto: Kagoshima Local Meteorological Observatory / AP

Sakurajima merupakan antara gunung berapi paling terkenal di Jepun. Negara ini mempunyai 109 gunung berapi aktif yang telah meletus secara berselang-seli, sejak tahun 1955.

Menurut pakar dari Pusat Penyelidikan Gunung Berapi Sakurajima, suatu letusan besar dijangka berlaku pada bila-bila masa, dalam tempoh 30 tahun akan datang.

Ia meletakkan bandar berhampiran, Kagoshima dalam keadaan bahaya. Bandar itu mempunyai penduduk seramai kira-kira 600,000 orang. Kini, dianggarkan sekitar 7000 penduduk yang masih tinggal di kawasan berdekatan Sakurajima.

Para pelajar terpaksa memakai topi jenis keras seperti pekerja buruh binaan, untuk selamat tiba di sekolah. Ini penting bagi mengelakkan kepala mereka terkena batuan gunung berapi.

Udara di sini mengandungi tahap gas gunung berapi yang amat berbahaya. Oleh itu, topeng gas juga terpaksa digunakan. Jika tidak, kanak-kanak berisiko mengalami penyakit paru-paru seperti emphysema, dan masalah pernafasan yang teruk.

8. Acapulco

acapulco

Sumber foto: Factrange

Bukan suatu perkara pelik bahawa kesemua sekolah di Acapulco adalah berbahaya. Perang dadah di sini antara yang paling kejam di Mexico. Kebanyakan rumah pelajar dikelilingi oleh kumpulan penjenayah.

Jenayah menjadi kebiasaan buat majoriti kanak-kanak di bandar ini. Murid sekolah mereka mempunyai tingkah laku yang agresif. Kes ponteng dan penyalahgunaan dadah tidak asing lagi didengar.

Malah, kakitangan sekolah tidak terkecuali dari menerima ancaman keganasan, seperti peras ugut dan penculikan oleh pelajar mereka sendiri.

Pada tahun 2011, lebih 600 guru enggan datang bekerja selama 4 hari. Ini disebabkan segelintir guru telah menerima ugutan dari pelajar, yang mahukan separuh dari gaji mereka.

Di bandar Juarez, pelajar melukis mesej grafiti di dinding sekolah. Mereka turut mengancam untuk melakukan pembunuhan secara beramai-ramai, sekiranya tidak diberikan sejumlah wang.

7. Atuler

atuler

Sumber foto: Juara News

Semasa zaman sekolah, anda mungkin sering mengeluh kerana sukar bangun pagi. Pelajar dari sebuah kampung terpencil, Atuler di barat daya China perlu memanjat setinggi 800 meter berhampiran batu semulajadi, semata-mata untuk pergi ke kelas.

Terdapat tangga yang dipasang pada beberapa bahagian yang bahaya didaki. Namun, ianya usang dan boleh retak pada bila-bila masa.

Kampung yang kecil dan terpencil itu tidak mempunyai kawasan mencukupi, sehinggakan sekolahnya terpaksa dibina begitu jauh.

Menurut ketua kampung Atuler, sekurang-kurangnya 7 penduduk kampung maut akibat terjatuh, dalam tempoh beberapa dekad yang lalu. Ramai juga penduduk lain yang tercedera.

Trek itu kini dianggap sangat berbahaya. Kanak-kanak dipaksa untuk tinggal di sekolah selama berminggu-minggu. Mereka hanya dibenarkan pulang ke rumah di puncak gunung, selama dua kali sebulan.

6. Spes Bona Secondary School

spes bona secondary school

Sumber foto: David Ritchie / IOL

Pada tahun 2013, Jeven Snyman (19 tahun) dan Wilston Stoffels (18 tahun) telah menyerbu tempat letak kereta sekolah ini di Cape Town, Afrika Selatan. Mereka kemudiannya menembak mati seorang pelajar, Glenrico Martin (19 tahun) di kepala.

Kawasan ini terkenal dengan keganasan senjata oleh kumpulan penjenayah. Pembunuhan Martin dipercayai bermotifkan dendam. Kedua-dua pesalah itu dihukum penjara lebih 20 tahun.

Tidak lama selepas itu, geng penjenayah yang bertanggungjawab atas pembunuhan itu meninggalkan sebuah nota peringatan di luar pagar sekolah berkenaan. Tindakan itu menimbulkan rasa takut di kalangan para guru, pelajar dan ibu bapa.

Bahkan, ia bukanlah perkara asing di sekolah-sekolah di Afrika Selatan. Menurut kaji selidik oleh Institut Hubungan Kaum Afrika Selatan, didapati hanya 23% murid di negara ini berasa selamat di sekolah.

Salah satu puncanya ialah kekurangan pelaburan dari segi aspek keselamatan. Menurut sebuah laporan terperinci oleh Jabatan Pendidikan, sejumlah 24% sekolah tidak mempunyai jeriji tingkap, 25% tidak mempunyai pintu keselamatan dan 80% tidak mempunyai sistem penggera.

5. Missionaries of the Sacred Heart School

missionaries of the sacred heart school

Sumber foto: Getty / Metro

Aktivis anti-nuklear, Thomas Neff pernah melawat sekolah ini di Salzburg, Austria. Beliau membawa sejenis alatan, iaitu "pembilang Geiger". Peranti itu digunakan untuk mengambil tahap radiasi semulajadi yang rendah.

Neff membawanya di sekitar bilik darjah tersebut. Ketika beliau melintasi sebuah pameran geologi, alatan itu mula menjadi tidak keruan.

Ukuran yang diambil ialah 102,000 kiraan setiap minit, iaitu lebih 2,000 kali ganda daripada paras radiasi latar belakang secara semulajadi.

Ternyata, sejumlah uranium telah berada di koleksi geologi berkenaan untuk beberapa bulan sebelumnya. Bagaimana ianya boleh berlaku masih menjadi misteri.

Bahan utama dalam senjata dan kuasa nuklear itu adalah amat berbahaya. Sekiranya anda menghirup udara yang mengandungi habuk uranium, ia akan memasuki aliran darah dan cuba menapis toksin. Ini sekaligus menyebabkan kerosakan teruk pada buah pinggang.

Pelajar sekolah itu segera dipindahkan. Namun, mereka cukup bernasib baik kerana tiada seorang pun yang menunjukkan tanda-tanda keracunan radiasi.

4. Charles L. Spain Elementary-Middle School

charles l spain elementary middle school

Sumber foto: GoFundMe

Pada tahun 2016, sekolah ini menjadi fokus sebuah laporan berita bertajuk "7 Action Detroit". Malah, kisah kedaifannya juga pernah dipaparkan dalam rancangan "Ellen DeGeneres Show".

Sekolah ini terletak di Midtown Detroit, Michigan di Amerika Syarikat. Ia pernah mempunyai seramai 1,400 orang pelajar. Menjelang tahun 2016, hanya sejumlah 462 pelajar yang tinggal.

Gimnasium sekolah ini mengalami kebocoran dan berbau busuk. Lantainya pula terpaksa dibuang, dan jubin silingnya telah runtuh.

Dinding kesemua bilik darjah di sini dipenuhi dengan kulapuk hitam. Malah, haiwan perosak seperti tikus dan lipas juga sering berkeliaran di kafeteria.

Sementara itu, bau pelik di taman permainan sekolah ini memaksa kanak-kanak bermain di lorong.

Pada Mac 2016, pengetuanya, Ronald Alexander, menjadi salah seorang daripada 12 pengetua di bandar itu yang dituduh menerima rasuah dan karung tinju dari seorang pembekal barangan sekolah.

Ironinya, pelajar terpaksa memakai kot di dalam bilik darjah biarpun tidak berasa panas. Sementara itu, para pendidiknya memperoleh wang haram berjumlah hampir $1 juta.

3. Souriya al-Ammal

souriya al ammal

Sumber foto: Reuters

Sejak tahun 2011, krisis kemanusiaan di Syria telah menyebabkan lebih 400,000 korban dan memaksa kira-kira 11 juta penduduk keluar dari kediaman mereka.

Disebalik ancaman dan kemusnahan infrastruktur ini, sesetengah penduduk bertekad untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.

Souriya al-Ammal bermaksud "Syria, The Hope". Ia terletak di pinggir kawasan Maarat al-Numan yang dikuasai pemberontak. Sebahagian besar sekolah ini telah dimusnahkan. Bilik darjahnya dibanjiri peluru, sehingga membuatkan dindingnya runtuh.

Pesawat-pesawat tempur sentiasa mengelilingi kawasan di sini. Keadaan ini menimbulkan rasa takut pelajar terhadap serangan. Setakat ini, seramai 250 murid masih belajar di sekolah ini.

Namun, ini bukanlah satu-satunya cara warga sekolah ini mempertaruhkan nyawa mereka untuk terus belajar. Di seluruh negara Syria, sekolah-sekolah kecemasan ada diwujudkan di gua bawah tanah.

Akan tetapi, sekolah sebegini mempunyai masalah seperti banjir dan pencahayaan yang kurang baik. Para pelajar juga perlu berjalan di cerun curam untuk pergi ke kelas.

2. St John’s Military School

st john s military school

Sumber foto: Boarding School Review

Buli merupakan masalah utama di kebanyakan sekolah di dunia. Sejumlah 46% pelajar mengatakan mereka telah dibuli sekurang-kurangnya sekali semasa zaman persekolahan.

Sesetengah sekolah dapat menanganinya dengan baik. Namun, sekolah yang terletak di Kansas, Amerika Syarikat ini memegang takhta sebagai antara sekolah paling teruk di dunia dalam menghapuskan gejala buli.

Pada tahun 2013, seramai 11 bekas pelajar telah bertindak menyaman sekolah ini. Mereka mendakwa dipaksa untuk bertahan dari gangguan dan penderaan oleh pelajar senior.

Tuntutan mahkamah itu menyebut pelajar telah dipukul, diikat, diserang secara seksual dan tulang mereka dipatahkan. Seorang murid telah berpeluang menyaksikan percubaan bunuh diri dan merasai logam panas dicucuh pada perutnya.

Ternyata, para pendidik di sekolah berasrama penuh dengan yuran setinggi $34,000 setahun ini, enggan ambil pusing dengan apa yang berlaku. Malah, para pelajar dituduh sengaja mereka-reka cerita kerana sudah tidak berminat untuk belajar.

Kes ini akhirnya diselesaikan di luar mahkamah dengan suatu jumlah wang yang tidak didedahkan.

1. Yodok

yodok

Sumber foto: AP

Terdapat kira-kira 200,000 orang yang ditahan di kem tahanan politik di Korea Utara. Negara ini menjalankan "hukuman tiga generasi" yang amat kejam.

Apabila seseorang itu disabitkan dengan kesalahan jenayah, saudara-mara mereka secara automatik juga dianggap bersalah.

Akibatnya, ramai kanak-kanak yang ditahan di dalam kem itu. Sebilangan besar anak luar nikah juga dilahirkan, hasil jenayah rogol oleh para pengawal atau penghuni di sini.

Pada usia 16 tahun, penghuni akan diiktiraf sebagai orang dewasa dan mula dibenarkan bersekolah. Majoriti pembelajaran mereka merujuk kepada sejarah para pemimpin Korea Utara.

Di Kem Konsentrasi Yodok di timur laut Pyongyang, penghuni kanak-kanak bersekolah pada waktu pagi. Oleh itu, mereka bebas untuk bekerja keras pada waktu tengahari. Jika gagal patuh, mereka akan dipukul dan diberikan beban kerja yang lebih banyak.

Menurut seorang bekas tahanan, layanan yang diberikan terhadap pelajar sekolah di Yodok sungguh mengerikan. Contohnya, seorang anak kecil telah ditendang sehingga mati, hanya kerana terlepas cakap sesuatu yang menyinggung perasaan.

Rujukan:

1.    Youtube Alltime10s

2.    WebbyBuzz


tags : , , , , , , , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)