Parasit adalah organisma yang menjalani kelangsungan hidup dengan menjadikan spesies atau organisma lain sebagai perumahnya. Ia hidup dengan memperolehi makanan melalui nutrien perumahnya.
Parasit berasal daripada perkataan Yunani iaitu parasitos yang bermaksud "makan di meja orang lain". Ia menepati ciri-ciri parasit yang akan makan apa sahaja yang ada pada perumahnya. Parasit wujud dalam pelbagai bentuk seperti sel, haiwan, kulat atau tumbuhan.
Malah, parasit juga mempunyai pelbagai mekanisma untuk terus membiak dan mendapatkan perumah baru. Ada antara cara ini sangat menggerunkan dan akan menyebabkan perumahnya mati. Berikut adalah 10 parasit yang paling bahaya.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Leucochloridium paradoxum
Jika seekor siput memakan telur cacing pipih secara tidak sengaja, parasit ini akan berkembang di dalam badan siput dan akan mengisi mata siput dengan kantung larvanya (telur).
Mata siput yang dijangkiti akan kelihatan seperti ulat kecil berwarna terang yang bergerak-gerak untuk menarik perhatian burung supaya memakannya. Parasit ini kemudian akan menjadikan pula burung sebagai perumahnya.
Siput yang dijangkiti akan menjadi seperti zombie dan dikawal oleh parasit. Ia akan cenderung untuk keluar ke tempat terbuka supaya menjadi makanan burung.
2. Ampulex compressa
Ampulex compressa adalah nama saintifik bagi serangga yang biasanya dikenali sebagai Tebuan Permata atau Tebuan Lipas Zamrud. Haiwan ini mempunyai cara pembiakan yang unik berbanding spesiesnya yang lain.
Tebuan ini akan menjadikan lipas sebagai mangsanya. Ia akan menyuntik penyengatnya ke kepala lipas dan melumpuhkan refleks lipas itu untuk melarikan diri. Ia akan mengawal lipas zombie ini balik ke sarangnya dan menyuntik telurnya ke dalam perut lipas.
Kepompong tebuan ini akan membesar di dalam perut lipas dan memakan semua nutriennya sehinggalah ia menetas dan menjadi tebuan dewasa.
3. Cymothoa exigua
Cymothoa exigua adalah nama saintifik bagi sejenis spesies kutu laut. Parasit bahaya ini bukan sahaja memakan bahagian tubuh perumahnya tetapi juga menggantikan organ penting untuk perumahnya makan.
Parasit laut ini menjadikan mulut ikan sebagai rumahnya. Kutu laut ini akan menghisap darah dari lidah ikan sehingga lidah itu kecut dan rosak. Parasit ini kemudian melekatkan dirinya di bahagian dalam mulut dan menjadi "lidah" baru perumah.
Apa sahaja yang dimakan oleh perumahnya akan melalui parasit ini terlebih dahulu. Malah, ia juga akan terus memakan darah dan lendir di dalam mulut ikan.
4. Loa loa
Parasit yang juga dikenali dengan nama Cacing Mata ini menjangkiti manusia melalui gigitan spesies lalat di Afrika. Parasit dewasa mampu hidup dalam tisu badan perumahnya selama bertahun-tahun.
Mereka yang dijangkiti parasit ini akan mengalami gejala seperti gatal, bengkak malah kerosakan otak bagi mangsa yang tidak bernasib baik. Jangkitan cacing parasit ini menjadi jelas apabila ia sudah merebak ke bahagian mata.
Lebih mengerikan, mangsa akan merasai cacing ini bergerak di dalam tisu lembut di bawah kornea. Ketika berada di mata jugalah cacing ini mudah dikeluarkan setelah penghidap di berikan ubat bius.
5. Dracunculus
Drancunculus dalam bahasa Latin bermaksud "Naga kecil" dan ia juga dikenali sebagai Cacing Guinea atau Cacing Naga. Ia akan menjangkiti manusia atau haiwan yang meminum air tercemar mengandungi larva kutu air.
Apabila berada di dalam badan perumahnya, cacing betina seperti spaghetti akan membesar sehingga satu meter panjang dan keluar melalui kulit. Biasanya, ia akan keluar di bahagian kaki dan akan menyebabkan kesakitan seperti sedang terbakar. Sebab itulah ia dinamakan sebagai Cacing Naga.
Kesakitan itu boleh dirasai selama berminggu-minggu dan tiada vaksin yang mampu membunuh parasit ini. Satu-satunya cara untuk mengeluarkan cacing ini adalah dengan menggulungnya menggunakan kayu dan menariknya perlahan-lahan.
6. Kulat Cordyceps
Bayangkan sesuatu masuk ke dalam badan anda, mengawal tingkah laku anda dan apabila ia selesai dengan anda, ia akan meletus keluar daripada kepala anda. Itulah yang dilakukan oleh sejenis kulat parasit iaitu Cordyceps.
Jika seekor semut dijangkiti parasit ini, ia akan dihalau daripada koloninya. Semut buangan ini akan naik ke puncak tumbuhan terdekat, memeluk kuat batangnya dan mati. Kulat yang matang akan keluar daripada tubuh dan kepala serangga dan sporanya akan disebarkan angin untuk mencari perumah baru.
Kulat Cordyceps ini juga dikatakan antara kulat yang paling mahal di dunia kerana mempunyai pelbagai faedah dalam perubatan tradisional.
7. Wolbachia
Wolbachia tidak suka kepada jantina jantan. Bakteria ini biasanya akan menjangkiti sel telur nyamuk betina. Untuk meningkatkan peluangnya membiak, bakteria ini boleh membunuh nyamuk jantan yang dijangkiti atau memaksa mereka untuk menukar jantina.
Bakteria ini juga boleh membuatkan nyamuk jantan tiada fungsi kerana ia mampu membuatkan nyamuk betina bertelur tanpa proses mengawan. Apa yang baiknya, parasit ini akan mengurangkan kebolehan nyamuk betina untuk menyebarkan virus seperti Denggi, ZIka, Chikugunya dan Demam Kuning.
Jangan risau, walaupun wabak Wolbachia ini telah dijumpai pada manusia tetapi ia hanya dapat memanipulasi perumah jantan seperti serangga dan cacing sahaja.
8. Vandellia cirrhosa
Ikan kecil yang kelihatan seperti belut ini juga dikenali penduduk tempatan sebagai Candiru atau Vampire Fish. Ia banyak terdapat di Sungai Amazon dan ditakuti oleh penduduk tempatan.
Ikan ini merupakan parasit yang hidup dengan berenang masuk ke dalam insang ikan lain dan menghisap darah perumahnya. Menurut penduduk tempatan, Candiru juga menjadikan manusia sebagai mangsa.
Ia boleh memasuki lubang kemaluan dan menempatkan dirinya di dalam menggunakan duri di badannya. Ikan ini akan kembung dan mati di dalam perumahnya jika menghisap terlalu banyak darah. Jika ia memasuki kemaluan manusia, ia hanya dapat dikeluarkan melalui pembedahan sahaja.
9. Toxoplasma gondii
Toxoplasma adalah sejenis parasit yang mampu brainwash perumahnya. Mikroorganisma ini biasanya menjangkiti tikus dan menipu otak haiwan itu supaya hilang rasa takut terhadap kucing. Ini membuatkan kucing mudah menangkap tikus sekali gus menjadi perumah baru parasit ini.
Setelah selesai membiak, parasit ini akan meninggalkan kucing untuk menjangkiti tikus seterusnya dan kitaran ini akan berterusan. Ia jarang mempengaruhi kucing tetapi mampu menyebabkan beberapa kelakuan pelik jika menjangkiti manusia.
Parasit ini mempu menjangkiti manusia jika memakan daging mentah atau tidak dimasak dengan betul. Ia mampu melambatkan masa reaksi manusia dan pemandu yang dijangkiti adalah dua hingga tiga kali ganda berisiko terlibat dalam kemalangan jalan raya.
10. Sacculina
Sacculina adalah nama saintifik bagi teritip (biasanya melekat pada batu atau bawah bot). Apabila teritip betina menemui ketam betina, ia akan masuk ke dalam sendi ketam dan menyebarkan saluran makanannya ke dalam perumah.
Parasit ini juga akan membiak di bahagian di mana ketam betina menyimpan telurnya (bahagian bawah badan). Sekiranya menjangkiti ketam jantan, parasit ini akan memanipulasi hormonnya supaya lebih feminin.
Teritip jantan kemudian akan menyuburkan "ketam feminin" ini menjadi kilang parasit. Ketam-ketam yang dijangkiti akan melindungi telur teritip seperti menjaga telurnya sendiri.