Pernahkah anda melawat mana-mana 'pagar sesat' atau lebih dikenali sebagai maze atau labyrinth? Maze atau labyrinth merujuk kepada jalan atau lorong berselirat yang mengelirukan dengan beberapa jalan mati dan menjadi sebuah teka-teki untuk diselesaikan.
Maze terdapat dalam bentuk lukisan di dalam buku aktiviti kanak-kanak, halangan cermin dan juga taman dengan pohon yang disusun sebagai penghadang atau pagar. Maze menjadi budaya terkenal sejak zaman Greek purba lagi. Mari kita lihat 10 maze yang paling mengelirukan. Kalau dah masuk, susah nak jumpa jalan keluar!
10. Escot Gardens Maze, United Kingdom
BESARKAN TEKS A- A+
Dibina pada tahun 2004, pagar sesat ini mengandungi 4,000 pohon bic dan juga jambatan gantung serta pagar bersuis yang akan mengubah haluan dari masa ke semasa. Ia dibina oleh Aldrian Fisher, seorang pereka maze yang telah mereka bentuk lebih daripada 600 buah pagar sesat di seluruh dunia dan juga seorang penulis teka-teki bagi sebuah akhbar British. Maze ini adalah sebahagian dari halaman di East Devon yang mempunyai rumah agam lama dan persekitaran semula jadi yang dilindungi.
9. Labyrinth Cermin di Glacier Garden, Switzerland
Juga dikenali sebagai Gletschergarten, labyrinth yang terletak di Lucerne, Switzerland ini dibina sempena model Istana Alhambra di Granada, Sepanyol yang memang terkenal dengan binaan kacanya. Lokasi ini mengandungi 90 buah cermin dan pengunjung terpaksa berjalan dengan mengangkat tangan di hadapan agar tidak berlanggar antara satu dengan yang lain. Ia siap dibina pada tahun 1896 untuk pameran kebangsaan di Geneva sebelum dipindahkan ke Lucerne tiga tahun kemudian. Selain tarikan labyrinth cermin ini, Gletschergarten juga popular kerana ia merupakan sebuah tapak glasier semula jadi.
8. Ashcombe Maze, Australia
Terletak di Semenanjung Mornington berdekatan Melbourne, Ashcombe menawarkan tiga buah maze yang berbeza. The Hedge Maze ialah yang paling tua dan dibangunkan pada tahun 70-an manakala dua yang lain ialah Lavender Labyrinth dan juga Rose Maze.
Lebih 1,000 pohon siprus ditanam di The Hedge Maze yang merangkumi bahagian selatan, utara dan taman di tengahnya. Setiap bahagian berbeza dan sangat mengelirukan. Seperti di dalam laman sesawangnya yang tertulis, “Setiap kejayaan penyelesaian pada peringkat pertama tidak akan berguna langsung pada peringkat seterusnya.” Ini menggambarkan bahawa ia bukan sesuatu yang mudah untuk diselesaikan.
Rose Maze mengandungi lebih daripada 1,200 pokok bunga mawar yang cantik manakala terdapat lebih 4,000 pokok lavender yang ditanam di Lavender Labyrinth.
7. Cow in the Field, Jerman
Ini mungkin bukan salah satu maze yang paling rumit namun ia layak untuk disenaraikan kerana keaslian dan keunikannya. Taman pagar sesat ini dibuat menyerupai lakaran seekor lembu jika dilihat dari pandangan atas. Jalan berselirat yang menjadi usus lembu ini juga sangat menarik perhatian. Maze yang terletak di Marienfelde, Jerman ini telah dibangunkan oleh Institut Persekutuan Penilaian Risiko yang mengkaji risiko penggunaan bahan kimia terhadap alam sekitar dalam kehidupan moden.
6. Hampton Court Maze, United Kingdom
Taman maze yang wujud sejak tahun 1700-an ini telah diangkat oleh Ernest Law pada tahun 1926 sebagai pagar sesat paling terkenal di dalam sejarah dunia dan yang paling kerap dikunjungi. Sehingga kini ia masih lagi terkenal dan menerima kedatangan ribuan pengunjung saban tahun. Setiap bahagian maze ini juga dilengkapi dengan pembesar suara yang mengeluarkan lebih daripada 1,000 jenis bunyi. Ada juga tempat duduk di pertengahan taman ini yang akan menghasilkan bunyi setiap kali pengunjung duduk di atasnya.
Pagar sesat ini terletak di Istana Hampton Court di Thames, yang bertempat di pinggir bandar London. Ia merupakan tempat kegemaran Henry VIII dan diarahkan pembinaan oleh William III. Taman ini direka bentuk oleh George London dan Henry Wise.
5. Samsø Labyrinten, Denmark
Maze di Denmark ini menggunakan pokok besar yang sebenar sebagai dinding lorong dan laluannya. Ia membuatkan anda berasa seperti benar-benar sesat di hutan berbanding terperangkap di dalam sebuah maze biasa. Ia juga pernah suatu masa dahulu memegang rekod sebagai maze paling besar di dunia di dalam Guinness Book of Records.
Labyrinth ini direka pada tahun 2000 oleh Erik dan Karen Poulsen. Mereka memilih untuk menggubah hutan sedia ada yang dipenuhi pepohon Krismas daripada menanam tumbuhan baru. Di tengah maze ini juga terdapat sebuah kuil yang dibina sebagai salah satu tarikan.
4. Peace Maze, United Kingdom
Inilah maze yang telah memadamkan rekod maze Samsø Labyrinten sebagai maze kekal terbesar di dunia. The Peace Maze ini terletak di County Down, Ireland Utara dan mula dibuka pada tahun 2001. Ia menggambarkan lambang keamanan, di mana ia amat diperlukan oleh negara itu yang sering terlibat dengan pergolakan dalaman. Melalui perjanjian Belfast pada 1998, era “The Troubles” telah ditamatkan namun banyak kesan kebinasaan yang perlu dibaiki dan maze ini kemudian menjadi simbol harapan dan keamanan.
Pagar sesat ini menempatkan lebih 6,000 pohon yew yang dipilih kerana jangka hayat yang panjang dan di bahagian tengah taman pula terdapat sebuah loceng yang diberi nama Peace Bell yang akan dibunyikan bagi menandakan tamatnya cabaran maze ini. Maze yang mempunyai jalan sepanjang 3,147 meter ini pernah menjadi maze yang terpanjang di dunia sebelum dipintas oleh pencabar lain pada tahun 2007. Ia kini masih berada di tangga kedua sebagai maze kekal terbesar di dunia.
3. Pineapple Garden Maze, Hawaii
Pineapple Garden Maze dibina pada tahun 1997 di ladang nanas Dole dan menjadi maze yang paling panjang di dunia setelah proses penambahbaikan dijalankan pada tahun 2007. Dengan laluan sepanjang 3,962 meter, maze ini telah mengatasi Peace Maze dan ditambah pula dengan corak berbentuk nanas gergasi yang unik.
Lapan buah stesen rahsia terletak di dalamnya yang boleh membantu anda menyelesaikan misteri yang berada di tengah maze ini. Maze ini ditanam dengan lebih 14,000 tumbuhan dari sekitar Hawaii. Anda juga boleh menaiki keretapi nanas yang disediakan dan akan diberikan penerangan selama 20 minit mengenai sejarah nanas dan sistem penanamannya.
2. Cool Patch Pumpkins Maze, Amerika Syarikat
Maze ini adalah pemenang bagi maze kekal terbesar di dunia. Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai laluan yang berubah bentuk dan arah setiap tahun. Ia telah beberapa kali menggondol gelaran Maze Terbesar di dalam Rekod Dunia Guinness. Bermula dengan keluasan 15 ekar pada 2003, ia kemudian bertambah menjadi 45 ekar pada 2011. Setiap kali musim tanaman menjelma, para pengusaha maze akan menggunakan jentera penebas untuk membuat laluan pagar sesat. Pada asalnya ia bertujuan sebagai daya penarik hanya untuk meningkatkan penjualan labu. Lama-kelamaan ia menjadi tarikan para pelancong dan juga menjana keuntungan pada masa yang sama.
Seperti yang anda jangkakan, sememangnya maze ini akan memberi anda satu cabaran yang sangat hebat. Seorang pelancong memberitahu dia menghabiskan masa selama dua jam dan membuat berpuluh panggilan telefon sebelum berjaya meloloskan diri dari maze ini. Maze yang terletak di Dixon, California ini menjadi semakin rumit saban tahun.
1. The Labyrinth, Knossos, Greece
Maze yang mengungguli carta ini malangnya tidak dapat dialami sendiri oleh para pelancong. Ini disebabkan hanya tinggalan runtuhan dan mitos mengenainya sahaja yang menjadi rujukan. Maze ini dibina untuk Raja Minos of Crete di dalam Istana Knossos. Menurut mitos Greek, ia dibina bagi menempatkan Minotaur - iaitu makhluk separuh lembu dan separuh manusia yang dibela oleh isteri Minos iaitu Pasiphaë - kerana ditakuti oleh orang ramai.
Pereka yang bertanggungjawab membina maze ini ialah Daedalus yang membuatnya dengan begitu rumit sekali supaya Minotaur tidak terlepas. Namun, Daedalus sendiri mengalami kesulitan untuk keluar dari rekaannya itu. Minotaur itu kemudiannya dibunuh oleh Theseus yang menawan Knossos dengan bantuan anak perempuan Minos iaitu Ariadne.
Rujukan:
1. Telegraph UK
2. Mental Floss