Oleh pada 22 Nov 2018 kategori

Ramai antara kita yang memiliki haiwan peliharaan seperti kucing, anjing, burung, ikan dan banyak spesies haiwan lagi. Kebiasaannya, haiwan peliharaan ini dibela adalah disebabkan hobi dan biasanya hobi memerlukan anda untuk mengeluarkan sejumlah wang bagi mengekalkan hobi itu.

Namun, tahukah anda terdapat beberapa haiwan peliharaan di dunia ini yang kaya dan juga mempunyai harta sendiri? Ada antara haiwan peliharaan ini menjadi kaya melalui harta yang diwariskan, melalui bayaran pengiklanan dan juga lakonan. Sudah pasti bagi tuan kepada haiwan peliharaan ini, wang tidak lagi menjadi masalah. Berikut adalah beberapa haiwan paling kaya dalam sejarah.

BESARKAN TEKS     A-  A+

10. Bart the Bear II

Bart the Bear II ini adalah salah satu daripada beberapa haiwan peliharaan dalam senarai ini yang telah memperolehi kekayaan melalui usahanya sendiri. Sekiranya anda pernah melihat beruang dalam filem sejak 20 tahun yang lalu, terdapat kemungkinan yang tinggi bahawa beruang itu ialah Bart II.

Bart the Bear II telah dinamakan sempena beruang Bart the Bear, spesies Beruang Kodiak Alaska yang telah berlakon dalam berpuluh projek antara penghujung 1970-an hingga lewat 1990-an, sebelum mati pada tahun 2000. Walaupun Bart the Bear II tidak mempunyai hubungan biologi dengan Bart yang asal, tetapi kedua-duanya dilatih oleh orang yang sama iaitu Doug Seus.

Anda mungkin pernah melihat Bart II berlakon dalam episod drama Game of Thrones, di mana babak ia berlawan dengan Brienne of Tarth dan Jamie Lannister. Bart the Bear II ini dikatakan mempunyai kekayaan bernilai USD 6 juta (RM 25 juta).

9. Boo

Boo ialah nama seekor anjing baka Pomeranian yang terkenal dan dimiliki oleh Irene Ahn. Boo telah membina empayar jenama barangan sendiri hanya dengan rupanya yang begitu comel.

Pelbagai barangan berkaitan Boo dijual di Internet seperti anak patung Boo bersaiz sebenar, T-shirt, beg saku dan banyak lagi. Selain itu, Boo juga mempunyai buku sendiri dan juga 17 juta pengikut di Facebook. 

Namun, ramai yang berpendapat rupa Boo yang comel itu sahaja tidak membantu haiwan peliharaan itu menjadi terkenal seperti sekarang. Pemiliknya iaitu Irene Ahn yang bekerja dengan Facebook sejak dari tahun 2008 dikatakan pemacu kejayaan Boo itu sendiri. Boo kini mempunyai kekayaan bersih berjumlah USD 8 juta (RM 33.5 juta)

8. Conchita

gail posner dan conchita

Gail Posner dan Conchita

Apabila anda mampu untuk membelikan anjing peliharaan anda rantai hiasan keluaran Tiffany bernilai puluhan ribu ringgit, ini bermakna bahawa anda mempunyai wang yang terlalu banyak. Itulah yang dilakukan oleh seorang sosialis dan pewaris kepada Victor Posner iaitu Gail Posner.

Gail Posner telah mewariskan harta berjumlah USD 8.4 juta (RM 35 juta) kepada Conchita, anjing baka Chihuahua miliknya setelah meninggal dunia pada tahun 2010 ketika berusia 67 tahun. Harta yang diwariskan itu berupa USD 3 juta dalam bentuk tabung amanah manakala selebihnya merupakan rumah mewah di pinggir laut di Miami.

Selain itu, Posner juga meninggalkan wang dan harta kepada dua lagi anjingnya iaitu April Maria dan Lucia. Anak lelaki kepada Gail Posner hanya mewarisi sejumlah wang bernilai RM 3.2 juta sahaja dan mendakwa bahawa ibunya telah dihasut oleh penjaga dan orang gajinya untuk mewariskan sejumlah wang yang banyak kepada anjing-anjing peliharannya. 

7. Blackie

blackie

Blackie pada suatu masa dahulu pernah menjadi kucing paling kaya di dunia menurut Guinness World Records. Blackie adalah kucing peliharaan terakhir yang masih hidup daripada 15 ekor kucing yang dibela jutawan dari United Kingdom iaitu Ben Rea sebelum dia meninggal dunia pada 1988. Ben Rea telah mewariskan sejumlah hartanya bernilai USD 12.5 juta (RM52.3 juta) kepada kucingnya itu.

Jutawan pengedar barangan antik itu enggan menamakan ahli keluarganya sebagai pewaris sebaliknya mewariskan sebahagian besar hartanya kepada Blackie dan tiga pertubuhan kebajikan kucing yang lain, siap dengan arahan untuk menjaga kucing kesayangannya itu. Kakaknya iaitu Dorothy yang meninggal dunia hanya beberapa hari sebelum Ben Rea, juga telah mendermakan sejumlah USD 5 juta (RM 20.9 juta) kepada persatuan haiwan.

6. Tommasino

Tommasino yang suatu masa dahulu merupakan seekor kucing jalanan di Rome, telah mewarisi harta bernilai USD 13 juta (RM54.4 juta) daripada pemiliknya iaitu Maria Assunta. Assunta yang merupakan seorang wanita kaya dari Itali dan telah meninggal dunia ketika berusia 94 tahun pada tahun 2011. DIa mewariskan sebahagian besar hartanya termasuk beberapa buah rumah mewah di Milan dan Calabria kepada Tommasino.

Peguam Maria Assunta iaitu Anna Orecchioni dan Giacinto Canzona mendakwa, anak guam mereka itu dengan rela hati menulis wasiat itu sendiri di pejabat peguam pada Oktober 2009. Maria Assunta yang tidak mempunyai anak itu adalah balu kepada jutawan sektor pembinaan.

Dia telah mengarahkan agar peguamnya mencari pertubuhan haiwan yang sanggup menjaga Tommasino setelah dia mati untuk diagihkan hartanya itu. Ini kerana menurut undang-undang Itali, harta pusaka tidak boleh diwariskan kepada haiwan.

5. Gigoo

gigoo

Gigoo adalah seekor ayam milik mendiang jutawan penerbitan Britain iaitu Miles Blackwell. Ayam yang lebih kaya dari kebanyakan manusia itu telah mewarisi USD 15 juta (RM62.8 juta) setelah tuannya meninggal dunia pada tahun 2011.

Walaupun Blackwell mendermakan sebahagian besar harta pusakanya kepada beberapa badan kebajikan, dia telah meninggalkan sebahagian kecil hartanya kepada ayam kesayangannya, Gigoo supaya terus dipelihara dengan baik setelah kematiannya.

4. Anjing peliharaan Oprah Winfrey

oprah winfrey bersama anjing peliharannya

Oprah Winfrey, seorang hos yang mempunyai rancangan TV sendiri ini telah lama diketahui ramai sebagai seorang yang sangat kaya-raya. Oprah telah bersetuju untuk mewariskan sejumlah USD 30 juta (RM125.6 juta) kepada 5 ekor anjing peliharaannya iaitu Luke, Layla, Sadie, Sunny dan Lauren.

Ini bagi memastikan anjing-anjing kesayangannya yang sudah dibiasakan dengan kemewahan itu, dapat terus dipelihara dengan baik setelah kematiannya. Satu jumlah yang begitu banyak untuk dihabiskan haiwan itu sepanjang hayatnya.

3. Olivia Benson

olivia benson dan taylor swift

Olivia Benson adalah seekor kucing yang terkenal dengan jutaan pengikut di Instagram. Kucing yang diberi nama sempena satu watak dalam drama Law and Order: SVU ini adalah haiwan peliharaan kepada penyanyi popular Taylor Swift.

Bukan sahaja disebabkan memiliki tuan seperti Taylor Swift yang terkenal, malah Olivia Benson juga memperolehi kekayaan kerana membintangi beberapa iklan syarikat gergasi seperti Coke dan Keds Shoes. Olivia Bensen kini dianggarkan bernilai USD 97 juta (RM 406 juta).

2. Grumpy Cat

grumpy cat

Grumpy Cat atau nama sebenarnya Tardar Sauce ini boleh dikatakan sebagai haiwan paling terkenal di dunia setakat ini. Ia berikutan satu memes internet paling lama digunakan dan dihasilkan berdasarkan wajah Tardar Sauce yang sentiasa kelihatan muram.

Selain daripada kejayaan internet dan juga empayar penjualan cenderamatanya, Tardar Sauce juga telah membintangi filemnya sendiri iaitu Grumpy Cat's Worst Christmas Ever. Filem itu menggunakan Aubrey Plaza sebagai suara kepada Grumpy Cat. Kini kucing itu dianggarkan bernilai USD 99 juta (RM414.5 juta).

1. Gunther IV

Gunther IV adalah seekor anjing jutawan generasi kedua dan merupakan haiwan peliharaan terkaya di dunia pada masa ini. Bapanya iaitu Gunther III telah mewarisi harta bernilai USD 80 juta (RM335 juta) daripada Countess Jerman iaitu Karlotta Liebenstein, jutawan yang memang cintakan haiwan peliharaannya.

Harta itu bagaimanapun telah diwariskan pula kepada anaknya Gunther IV setelah ia mati. Penjaga Gunther IV telah melaburkan kekayaan itu dengan membuat keuntungan berlipat kali ganda. Kini, kekayaan Gunther IV dianggarkan bernilai USD 400 juta (RM 1.67 billion). Gunther IV memiliki banyak rumah mewah di Bahamas, Jerman, Italy, termasuk rumah bernilai RM31.5 juta di Miami yang suatu masa dahulu pernah didiami oleh Diva Pop Madonna.




Hakcipta iluminasi.com (2017)