Oleh pada 08 May 2017 kategori

ciptaan hebat

Tak kiralah sehebat mana atau seringkas mana pun sesuatu ciptaan itu, memberikan impak kecil atau besar dalam kehidupan kita, semua ciptaan mempunyai tujuan dan cara unik masing-masing untuk memenuhi kehendak hidup kita. Daripada penciptaan seringkas klip kertas hinggalah kepada penciptaan kapal terbang, semuanya amat berguna, dan memudahkan hidup kita dengan cara yang berlainan.

Ciptaan-ciptaan ini memerlukan kerja keras dan usaha yang berterusan tanpa putus asa sebelum siap dan boleh memberi manfaat. Namun, kadang-kadang ciptaan hebat juga tercipta melalui insiden tidak sengaja dan kebetulan. Tak percaya? 

Kami kongsikan dengan anda 10 ciptaan yang kita guna dalam kehidupan seharian yang tercipta secara kebetulan.

1. Ketuhar gelombang mikro

microwave

Antara ciptaan yang paling disukai oleh penggemar makanan dan terkenal di setiap dapur di rumah. Makanan semalam yang disimpan di dalam peti sejuk boleh dipanaskan dengan sekelip mata sahaja.

Pada tahun 1945, Percy Spencer sedang menguji tiub vakum baru yang dikenali sebagai magnetron. Ketika sedang membuat eksperimen pemancaran gelombang mikro, beliau menyedari bahawa coklat di dalam poketnya mula cair. Beliau yang tertarik dengan insiden itu kemudiannya melakukan beberapa ujikaji lagi dengan menggunakan popcorn dan juga meletupkan sebiji telur, menggunakan gelombang mikro, dan menyedari potensi yang ada pada gelombang ini untuk memasak. 

Pada tahun 1947, Raytheon Corporation telah mencipta ketuhar gelombang mikro pertama yang diberi nama Radarange seberat 340 kilogram dan setinggi 167 sentimeter dan dijual dengan harga USD5000.

2. Nota dinding

post it notes

Pada tahun 1968, seorang ahli kimia yang bekerja untuk syarikat 3M, Spencer Silver, secara kebetulan telah berjaya mencipta pelekat 'mudah cabut' ketika cuba mencipta gam yang kuat untuk digunakan dalam pembuatan kapal terbang. Tanggapan beliau bahawa pelekat mudah cabut yang tidak meninggalkan kesan dan boleh digunakan semula itu mempunyai nilai yang besar disangkal dan tiada siapa bersetuju dengannnya.

Beliau berkempen mengenai penggunaan pelekat itu selama 5 tahun sebelum seorang dari syarikat 3M mendengar pendapatnya, namun ciptaan itu mengambil masa 7 tahun untuk disiapkan. Ia digunakan oleh 3M sendiri di dalam syarikatnya kerana pihak pengurusan mereka beranggapan ia tidak mempunyai nilai komersial.

Kemudian mereka cuba untuk menjualnya dalam pasaran, namun gagal, tiada siapa yang mahukannya. Mereka mencuba usaha terakhir dengan memberikannya secara percuma kepada banyak perusahan dan perniagaan. Akhirnya, semua syarikat mahukan 'post-it notes' ini dan kini ia terjual di lebih 100 buah negara serata dunia.

3. Empingan jagung 

kelloggs cornflakes

Pada tahun 1894, Dr. John Harvey Kellogg adalah seorang penguasa di Battle Creek Sanitarium di Michigan. Beliau dan adiknya, Will Keith Kellogg adalah pengikut kepercayaan Seventh Day Adventists, dan mereka sedang membuat pencarian makanan sihat untuk diberikan kepada pesakit yang mematuhi diet vegetarian mereka yang agak ketat.

Apabila Will secara tidak sengaja membiarkan gandum yang direbus di rumahnya, ia menjadi keras dan kering apabila beliau kembali ke rumah. Daripada membuang gandum itu begitu sahaja, mereka memasukkan ke dalam penggelek dan berharap ia akan menjadi lapisan doh, namun gandum itu merekah dan pecah menjadi serpihan. Mereka kemudiannya membakar empingan tersebut, dan memberi kepada pesakit-pesakit.

Ia menjadi sangat popular, dan mereka mempatenkan ciptaan itu dibawah nama Granose. Mereka membuat uji kaji terhadan gandum lain termasuk jagung, dan pada tahun 1906, Will menubuhkan syarikat Kellogg's untuk menjual empingan jagung. Namun, abangnya John Harvey yang mempunyai prinsip, enggan menyertai syarikat kerana tidak bersetuju dengan idea Will yang mengubah ciptaan mereka dengan menambahkan gula pada empingan jagung tersebut yang telah mengurangkan manfaat kesihatan.

4. Velcro

velcro

Semua orang pasti pernah menggunakan pelekap sementara yang dikenali sebagai Velcro ini. Ia biasanya terdapat pada kasut sekolah kanak-kanak atau beg sendeng, dan sebagainya. Idea ini ditemukan secara kebetulan oleh jurutera Georges de Mestral, ketika beliau melakukan aktiviti mendaki pada tahun 1941.

Beliau mendapati tumbuhan kecil yang dikenali sebagai cockleburs melekat pada pakaiannya. Beliau kemudiannya meletakkan tumbuhan itu dibawah mikroskopnya dan menemui bahawa tumbuhan itu mempunyai cakuk dan tersangkut pada fabrik pakaiannya.

cakuk pada velcro

Dengan maklumat yang diperoleh itu beliau kemudiannya mencipta satu bahan yang boleh melekat sesama sendiri tanpa menggunakan pelekat. Maka dengan ini terciptalah Velcro. Antara kliennya yang terkenal adalah NASA, pada tahun 1960. 

5. Saccharin (pemanis tiruan)

diet coke

Saccharin digunakan untuk memaniskan minuman atau makanan tanpa menambahkan jumlah kalori pada produk tersebut.

Pada tahun 1879, saintis Constantine Fahlbergh yang bekerja di John Hopkins University telah menemui bahan ini, yang digunapakai ada abad ke-20 secara meluar. Selepas tamat waktu bekerja di makmal, Constantine pulang ke rumah dan bersedia untuk makan malam.

Namun, beliau merasa sesuatu luar daripada kebiasaan apabila roti yang dimakannya berasa sangat manis daripada biasa. Beliau kemudiannya menyedari bahawa beliau terlupa untuk membasuh tangan selepas habis kerja di makmal. Rupa-rupanya ketika beliau membuat uji kaji, sejenis bahan kimia telah tertumpah ke atas tangannya yang membuatkan apa sahaja yang beliau makan akan menjadi manis.

Beliau yang tidak pasti bahan kimia yang mana yang telah tertumpah itu, dan membuat keputusan untuk merasa setiap bahan kimia yang ada di dalam makmalnya. Sememangnya berbahaya namun terima kasih kepada keberaniannya, kini kita mendapat manfaat daripadanya.

6. Keropok kentang

potato chips 298

George Crum, seorang chef, dilaporkan telah mencipta snek masin ini pada tahun 1853 di Saratoga Springs, New York. Menyampah dengan pelanggan yang kerap kali menghantar balik kentang goreng yang dimasaknya, dengan merungut bahawa kentangnya itu lembik dan tidak cukup rangup.

George kemudiannya memotong kentang senipis yang boleh, dan menggoreng dengan menggunakan minyak lemak yang panas, dan merenjiskan kentang tersebut dengan garam. Mengejutkan, pelanggan-pelanggan sukakan ciptaan baru itu dan menjadi terkenal dengan cepatnya di seluruh New England.

7. X-ray

xray

Pada 1985, Wilhelm Roentgen sedang menjalankan ujikaji menggunakan sinar katod, dan beliau menyedari bahawa kadbod yang terdapat di dalam bilik tersebut menjadi bercahaya walaupun sinar katod dan kadbod tersebut terhalang oleh blok yang tebal.

Satu-satunya penjelesan kepada insiden tersebut adalah sinar cahaya tersebut menembusi blok tebal yang padat itu.

8. Play-doh

playdoh

Play-doh pada awalnya dicipta sebagai produk pembersih, namun ia tidak mendapat sambutan daripada orang ramai. Namun, Kutol, syarikat yang mengeluarkan Play-Doh menyedari bahawa kanak-kanak menggunakan produk tersebut untuk membuat dekorasi dan projek seni.

Mereka kemudiannya membuat keputusan untuk membuang elemen pembersih daripada Play-Doh dan menambah bau yang berbeza. Ia kemudiannya diterima orang ramai dan menjadi terkenal. Keputusan getir ini telah menyelamatkan syarikat ini daripada bankrup.

9. Kaca keselamatan (Safety glass)

safety glass

Pada 1903, ketika sedang bekerja di makmalnya, Édouard Bénédictus dengan tidak sengaja tertolak termos kaca jatuh daripada mejanya. Namun, apa yang menghairankan beliau, kaca-kaca itu tidak pecah hancur dan berselerak, tetapi hanya pecah, dan masih melekat antara satu sama lain.

Selepas menyiasat kejadian itu, beliau mendapati bahawa kaca termos itu mempunyai plastik selulosa nitrat, yang telah kering dan melekat dalam termos tersebut. Ia telah menghasilkan sejenis pelekat yang menyaluti bahagian dalam termos tersebut, membuatkan kaca itu tidak pecah berselerak.

Terdapat laporan yang menyangkal antara satu sama lain, sama ada beliau terus menyedari potensi penemuan tersebut atau beliau mengambil masa dengan membaca mengenai beberapa kes kemalangan yang melibatkan kecederaan serius akibat pecahan kaca. Tak kiralah apa pun, akhirnya, insiden yang dialami oleh Bénédictus secara kebetulan ini telah memberikan manfaat yang besar kepada dunia kini.

10. Gam gajah (Super Glue)

super glue

Pada 1942, Dr. Harry Coover dari syarikat Kodak Laboratories menemukan bahawan bahan yang diciptanya iaitu cyanoacrylate, adalah satu kegagalan besar. Ia sepatutnya menjadi bahan untuk menghasilkan 'precision gun sight', namun gagal. 6 tahun kemudian, ketika menguji rekaan baru untuk menghasilkan kanopi pesawat, beliau sekali lagi gagal, dan bahan yang sama menggagalkan eksperimennya, iaitu cyanoacrylate.

Namun, kali ini, Harry menyedari bahawa bahan ini menghasilkan ikatan yang sangat kuat tanpa memerlukan haba. Harry dan rakannya mula menguji bahan ini dengan melekatkan pelbagai jenis objek di dalam makmal mereka.

Akhirnya mereka berjaya menemukan kegunaan bagi bahan yang menggagalkannya sebelum ini, iaitu sebagai gam yang amat kuat. Harry telah mempatenkan penemuannya ini dan pada 1958, selepas 16 tahun usaha kali pertamanya gagal, cyanoacrylate telah berjaya menembusi pasaran sebagai 'Super Glue'.

Sumber :

1.  How Stuff Works

2. Today I Found Out


tags : , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)