Kredit foto: Instagram Shukri Yahaya

Gara-gara ingin lari daripada watak kebiasaan seperti lelaki berpangkat atau hero romantis, aktor Shukri Yahaya tampil dengan imej wajah berminyak dalam menjayakan karakter sebagai 'budak pantai' menerusi filem terbaharunya, Surf This Love (STL).

Aktor yang pernah dianggap mempunyai iras pelakon Filipina, Jericho Rosales ini, yakin watak dalam filem yang bakal ditayangkan di pawagam pada bulan hadapan itu akan memadam imej lelaki comel yang sering dipegangnya.

"Sepanjang tiga minggu penggambaran saya melalui banyak pengalaman baharu terutama dalam menonjolkan sisi pemain papan luncur bernama Billy yang lincah melawan ombak.

"Boleh dikatakan banyak babak di tepi pantai termasuk seminggu di Bali. Walaupun menggunakan khidmat pakar, saya yang pertama kali diperkenalkan dengan sukan luncur air, masih perlu belajar," katanya kepada BH Online.

Menyambung cerita, Shukri mendedahkan beberapa kecederaan kecil yang terpaksa ditanggung sewaktu terlibat dalam penggambaran berkenaan.

"Bukan hanya wajah terbakar kerana panas mentari dan banyak luka kecil pada tubuh akibat terkena karang dalam satu babak, kaki saya luka terpijak pelepah nipah ketika terjatuh dalam paya," katanya.

Namun Shukri percaya semua pengalaman dan perubahan fizikal dialami termasuk gaya berambut panjang akan menghidupkan lagi imej 'beach boy' atau budak pantai tersebut.

Suami bekas pelakon, Tya Adnan ini mengakui mampu keluar dari zon selesa dengan mencabar diri menerima tawaran watak yang lari dari klise.

STL arahan Wan Mohd Hafiz Wan Hussain antara lain membariskan pelakon Josiah Hogan, Pekin Ibrahim, Datuk Farid Kamil, Ardell Aryana, Beto Khusyairi dan Mustakim Bahadom.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)