Oleh pada 01 Sep 2017 kategori

Kredit imej: Taylor Swift VEVO

Video muzik terbaru penyanyi yang terkenal dengan jolokan 'America's Sweetheart', Taylor Swift berjudul  'Look What You Made Me Do' dilaporkan memecah rekod YouTube apabila berjaya mendapat tontonan mencecah 43 juta kali dalam tempoh 24 jam sejak ia mula dimuatnaik.

Menurut YouTube, ianya merupakan jumlah tontonan permulaan tertinggi setakat ini menewaskan rekod 36 juta tontonan menerusi video muzik penyanyi Korea Selatan, Psy yang pernah mencetuskan fenomena dengan lagu 'Gentleman' pada tahun 2013. 

Cukup sinonim dengan lagu-lagu yang ditulis mengenai kehidupannya, bait-bait lagu terbaru nyanyian Taylor Swift itu sekali lagi ditujukan buat individu tertentu seperti Kanye West, Kim Kardashian dan Katy Perry yang pernah berselisih faham dengannya sebelum ini.

Pertama kali dipersembahkan pada Anugerah Video Muzik MTV pada Ahad lepas, video muzik tersebut mendapat pelbagai kritikan daripada para peminat dan penggiat industri hiburan negara barat.

Namun, penyanyi yang berusia 27 tahun itu tidak muncul pada acara berprestij itu malah sudah berbuat sedemikian dalam mana-mana acara anugerah sepanjang tahun ini dipercayai berpunca daripada pertelingkahannya dengan beberapa rakan selebriti.

YouTube turut mendedahkan video muzik 'Look What You Made Me Do' mencatat jumlah tontonan sebanyak 30,000 kali setiap minit sepanjang tempoh 24 jam pertama dan mencecah lebih 3 juta tontonan setiap jam.

Sehingga kini, ianya sudah berjaya meraih lebih 95 juta tontonan.

Sumber berita: Reuters & BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)