Oleh pada 17 Oct 2017 kategori

Disebabkan peperiksaan PT3 sudah tamat, hari ini penulis ingin berkongsi beberapa tips untuk pelajar-pelajar PT3 yang akan meningkat ke tingkatan 4. Perubahan antara tingkatan 3 dan 4 adalah sangat drastik kerana zaman peralihan ini menjadi titik tanda kejayaan bagi peperiksaan SPM.

Untuk ibu bapa dan pelajar-pelajar, boleh berkongsi maklumat ini bagi memudahkan proses pembelajaran ketika meningkat ke tingkatan 4 sekali gus mampu berjaya dalam peperiksaan SPM. Penulis sempat menemubual pelajar cemerlang SPM yang hanya mahu dikenali sebagai Luqman untuk mendapatkan tips-tips ini

Sebelum penulis berkongsi tips-tips ini, mari kita kenali sedikit latar belakang tentang pelajar cemerlang ini untuk melihat bagaimana kejayaan ini boleh dikecapi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kejayaan Cemerlang SPM

pencapaian cemerlang spm 3 75

Pelajar ini menamatkan zaman persekolahan dengan keputusan cemerlang 9A daripada 9 subjek  dalam peperiksaan SPM. Kejayaan untuk memperolehi keputusan ini bukanlah sesuatu perkara mudah kerana kejayaan memerlukan usaha tanpa putus asa disertakan dengan doa oleh ibu bapa dan guru-guru.

Mengajar pada masa terluang

guru muda spm

Sementara menunggu keputusan SPM dan kemasukkan ke universiti, lelaki tersebut mengambil keputusan untuk mengajar subjek kritikal terutama kimia untuk pelajar-pelajar tingkatan 5. Perkongsian ilmu ini dibuat untuk memantapkan asas pelajar-pelajar dan banyak respons baik yang diberikan oleh pelajar.

Dia percaya yang jika kita membantu orang lain, kita pasti akan dibantu semula oleh Tuhan. Keputusan ini diambil kerana banyak masa terluang yang perlu diisi olehnya selain mencari wang persediaan ke universiti.

Semua orang mampu untuk mencapai kejayaan tetapi bergantung kepada usaha yang diletakkan dalam setiap proses pembelajaran. Mari kita lihat apa tips-tips untuk pelajar-pelajar PT3 yang tak lama lagi akan sambung ke tingkatan 4.

1. Alternatif Sekolah SBP dan MRSM

pt3 mrsm taiping 3a371

Sementara menunggu keputusan PT3 yang akan dikeluarkan tak lama lagi, ada yang mempunyai hasrat untuk sambung belajar ke sekolah SBP dan MRSM. Adalah sangat digalakkan untuk mengambil sekolah SBP dan MRSM sebagai alternatif untuk sambung ke tingkatan 4.

Sekolah-sekolah ini perlu diselidik terlebih dahulu atas faktor kecemerlangan, jarak antara kampung halaman dan sekolah dan sebagainya. Lebih mudah jika sewaktu hendak memohon ke sekolah-sekolah ini, sedikit sebanyak pelajar-pelajar dapat menjangkakan bagaimana keadaan di sekolah tersebut. 

Selain SBP dan MRSM, pemilihan sekolah juga penting kerana aliran yang ditawarkan berbeza mengikut sekolah. Ada sekolah yang banyak menawarkan aliran sains tulen tetapi kurang aliran sastera dan sebaliknya. Ada juga sekolah yang menawarkan aliran sains fizikal untuk pelajar meminati kejuruteraan seperti Sekolah Teknik.

2. Pemilihan Aliran

aliran sains

Berdasarkan temubual penulis, walaupun sesudah meningkat ke tingkatan 4, ramai yang masih belum tahu aliran yang mereka ingin ceburi. Sepanjang cuti sebelum masuk ke sekolah semula, pelajar-pelajar boleh membuat kajian tentang jenis-jenis aliran yang ditawarkan.

Pelajar-pelajar tingkatan 4 dan SPM diwajibkan mengambil 5-6 subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah, Pendidikan Islam/Moral dan Sains. Subjek elektif bergantung kepada aliran diambil dan berbeza mengikut sekolah.

pilihan aliran

Subjek elektif bagi aliran-aliran adalah seperti berikut:

1. Aliran Sains Tulen: (Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi)

2. Aliran Sains Fizikal: (Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Lukisan Kejuruteraan dan Teknologi Kejuruteraan)

3. Aliran Sastera: (Prinsip Perakaunan, Ekonomi Asas, Geografi)

Aliran Sains Tulen dan Fizikal tidak diwajibkan untuk mengambil subjek Sains. Subjek yang disenaraikan ini hanya secara am kerana subjek yang akan diambil bergantung kepada sekolah masing-masing.

Terdapat juga subjek tambahan yang disediakan seperti ICT, Tassawur Islam dan sebagainya. Buat sekolah agama ada sedikit perbezaan kerana subjek Pendidikan Islam akan diganti dengan pecahan subjek agama yang lain.

Aliran yang bakal diambil adalah sangat penting kerana ia akan menentukan masa depan pelajar-pelajar SPM. Aliran akan menentukan kursus ijazah yang layak disambung oleh pelajar-pelajar lepasan SPM.

3. Selami minat dan membuat kajian tentang pilihan kerjaya 

pt3 doktor perubatan 3a382

Dengan era yang berkembang luas, terdapat pelbagai jenis kerjaya dan pekerjaan yang ditawarkan kepada pemegang ijazah. Ada pelajar-pelajar yang sudah mempunyai cita-cita sejak dari kecil tetapi berdasarkan temubual penulis, masih ramai yang tidak tahu kerjaya atau kursus yang diminati mereka.

Untuk pelajar PT3, sangat digalakkan buat mereka untuk mengkaji sedikit sebanyak pilihan kerjaya yang mereka minat kerana ini akan membantu mereka untuk membuat pilihan aliran ketika di tingkatan 4.

Jika mahu menjadi akauntan, aliran sastera sangat digalakkan. Jika mahu menjadi doktor, sains tulen akan melengkapkan mereka dengan ilmu untuk menyambung pelajaran dalam bidang kesihatan. Pihak kaunseling sekolah boleh membantu pelajar untuk membuat pilihan dalam pemilihan kerjaya.

jurutera petronas

Ramai yang mengambil ringan tentang pemilihan kerjaya ini kerana menganggap ia pilihan boleh dibuat pada masa hadapan tetapi berdasarkan temu bual penulis, ramai pelajar lepasan SPM tidak tahu kursus diploma/ijazah yang mereka ingin memohon kerana masih tidak tahu minat mereka sendiri.

Jangan risau, pemilihan kerjaya ini boleh berubah sepanjang tahun SPM dan tingkatan 4. Luqman memaklumkan kepada penulis agar menyarankan pelajar untuk membuat kajian kerana ia akan membantu pelajar-pelajar jika sudah mengetahui apa minat mereka. Bukan doktor dan jurutera sahaja yang akan berjaya, banyak lagi kursus boleh dipilih.

4. Kukuhkan ilmu PT3 dan belajar asas Tingkatan 4

mantap ilmu pt3 3a351

Jika pelajar-pelajar sudah mengetahui aliran dan kerjaya yang ingin diceburi, sudah tiba masa untuk merealisasikan cita-cita yang ada dalam diri. PT3 dan SPM adalah zaman peralihan yang sangat drastik kerana perubahan ini boleh dilihat berdasarkan tahap dan teknik pembelajaran itu sendiri.

Untuk tingkatan 4, kaedah dan teknik pembelajarannya adalah sangat berbeza kerana bukan semua bahan belajar akan diberi oleh guru seperti zaman PT3. Pelajar-pelajar perlu membuat kajian sendiri selain membuat bacaan tambahan berdasarkan topik yang mereka belajar.

belajar asas tingkatan 4

Kaedah "spoon feed" atau suapan oleh guru ini tidak lagi digunakan pada zaman SPM. Guru-guru akan mengharapkan pelajar-pelajar untuk berdikari dalam kebanyakkan proses pelajaran. Tahap kematangan pelajar tingkatan 3 dan 4 juga sangat berbeza.

Semua ilmu tingkatan 3 patut dikukuhkan oleh pelajar-pelajar supaya tidak lupa setelah naik ke tingkatan 4. Untuk yang sudah mengetahui aliran yang ingin diceburi, mereka boleh mula untuk belajar asas sedikit sebanyak tentang topik SPM terutamanya subjek kritikal seperti kimia, fizik, biologi dan matematik tambahan.

belajar asas spm

Asas subjek-subjek ini akan membantu mereka kerana mereka akan diajar semula apa yang mereka sudah belajar oleh guru. Bayangkan anda belajar dua kali benda yang sama, sudah tentu tahap kefahaman dan yang lebih penting tahap ingatan terhadap subjek tersebut akan meningkat.

Walaupun pada awalnya mereka tidak faham apa yang dipelajari, tetapi ini akan berubah kerana kajian menunjukkan kaedah pembelajaran sebelum masuk ke kelas adalah satu teknik yang akan menguatkan ingatan serta memudahkan proses untuk memahami sesuatu topik.

5. Mengurus masa dengan baik

jadual kelas

Masa yang diurus dengan baik akan membantu kita semula pada masa hadapan. Berdasarkan temu bual penulis, ramai menganggap tingkatan 4 sebagai "honeymoon year" di mana mereka boleh mengabaikan pelajaran untuk seketika dan menghabiskan masa untuk bermain sahaja.

Ini adalah salah sama sekali kerana rata-rata pelajar akan belajar di saat-saat akhir tingkatan 5 kerana tidak fokus semasa tingkatan 4. Ramai yang menyesal dan selalu berkata "kalaulah aku belajar waktu tingkatan 4 dahulu". Namun nasi sudah menjadi bubur.

hobi elak stres

Pelajar-pelajar amat disarankan untuk mengurus masa dengan baik kerana bukan sahaja pelajaran tidak terabai tetapi mereka juga mempunyai banyak masa untuk bermain sukan dan permainan kegemaran. Buat jadual dan masukkan masa untuk belajar dan bermain dalam jadual tersebut

Jika mereka sudah konsisten dari tingkatan 3, sudah tentu tidak menjadi masalah pada masa hadapan terutama SPM. Hobi atau sukan juga penting untuk perkembangan pelajar kerana ia dapat mengurangkan tekanan pelajar. Jadi, seimbangkan pelajaran dan hobi supaya tidak tertekan sewaktu meningkat ke tingkatan 5.


Semoga berjaya kepada semua yang bakal menerima keputusan PT3 dan berjaya juga untuk melangkah ke dunia SPM.




Hakcipta iluminasi.com (2017)