Sekitar awal tahun 2015, Mahkamah Tinggi Amerika Syarikat telah menolak pendengaran untuk kes diskriminasi jantina daripada seorang wanita yang mahu mengepam susu untuk bayinya di tempat kerja. Alasan mahkamah? Ianya bukan suatu isu yang seksis kerana lelaki juga boleh menghasilkan susu.

Penerangan Genetik - Tidak Mustahil Untuk Lelaki Menghasilkan Susu Badan

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apa? Adakah tidak mustahil untuk payudara lelaki menghasilkan susu? Adakah ianya boleh berlaku secara semula jadi? Jawapannya adalah, YA, boleh! Walaupun begitu, dinasihatkan kepada kaum lelaki untuk tidak risau kerana anda tidak mungkin akan mula mengeluarkan susu secara tiba-tiba. 

Mari kita bincangkan sebab mengapa wanita, bukan lelaki, boleh menghasilkan susu secara rutin dalam keadaan yang sesuai. Sebabnya adalah genetik, di mana 22 daripada 23 pasang kromosom manusia adalah serupa, dan pasangan yang ke-23 adalah satu-satunya yang membezakan antara kedua-dua jantina. 

Kromosom 23 bertanggungjawab menentukan perbezaan antara jantina lelaki dan perempuan. Perbezaan tersebut bukanlah dari segi pembentukan ovari, testis dan kemaluan sahaja, namun turut meliputi tahap perkembangan manusia yang lain termasuklah tumbuhnya bulu badan, suara pecah dan payudara wanita membesar. 

kelenjar susu lelaki perempuan

Semua mamalia kedua-dua jantina mempunyai kelenjar mamari, atau bahasa mudahnya kelenjar susu. Apabila kelenjar ini mencapai kematangan penuh ketika kaum hawa mencapai baligh, badan mereka akan mencapai suatu tahap perubahan dan peningkatan hormon, terutamanya hormon prolactin, yang bertanggungjawab ke atas penghasilan susu badan. Untuk lelaki, selalunya kelenjar ini tidak akan mencapai tahap kematangan seperti kaum hawa. 

Jadi perbezaannya melibatkan pengaruh hormon dalam badan, pertama ketika baligh, kedua ketika selepas mengandung. Kaum adam mempunyai kebolehan untuk mengeluarkan susu, namun mereka kekurangan tahap hormon dalam badan untuk menghasilkannya. Dengan hormon yang tepat dan cukup, penghasilan susu badan oleh lelaki sudah pastinya tidak mustahil. 

Antara cara untuk lelaki menghasilkan susu badan adalah melalui campur tangan medikal. Terdapat beberapa kaedah ianya boleh dilakukan, namun secara umumnya hormon estrogen dan prolactin perlu diperkenalkan kepada sistem badan, selalunya melalui suntikan. Sesetengah dadah, seperti Thorazine dan digoxin (ubat untuk jantung) boleh menyebabkan lelaki mengeluarkan susu sebagai kesan sampingan. 

Bagaimana Lelaki Boleh Menghasilkan Susu Secara Semula Jadi?

lelaki menyusu bayi 609

Peratusan untuk keadaan ini berlaku adalah sangat jarang sekali, namun tidak mustahil. Antara kaedah untuk penghasilan susu dalam kalangan lelaki adalah melalui kelaparan melampau. Ketika Perang Dunia ke-2, ribuan banduan di kem tahanan Jepun dan Nazi telah dilaporkan mengeluarkan susu badan. Keadaan ini berlaku kerana apabila kekurangan zat makanan, kelenjar hormon seperti kelenjar pituitari contohnya akan menjana pengeluaran hormon prolactin. 

Selain melalui kaedah melampau di atas, ketumbuhan tumor contohnya turut boleh menyebabkan lelaki menghasilkan susu badan. Ketumbuhan yang menyasarkan bahagian kelenjar pituitari akan meningkatkan penghasilan lebih banyak prolactin dalam badan. Hasilnya, susu akan terhasil.

Sesetengah kem dalam komuniti saintifik percaya ada satu kaedah lain yang boleh menyebabkan kaum adam mengeluarkan susu, iaitu melalui stimulasi puting. Menurut seorang antropologi medikal iaitu Dana Raphael melalui bukunya The Tender Gift: Breastfeeding, dalam sesetengah kes, stimulasi fizikal terhadap puting adalah suatu cara semula jadi untuk membebaskan hormon.

Kes Melibatkan Bapa Menyusukan Bayinya

kes lelaki sri lanka menyusukan anak

Jared Diamond, seorang pakar fisiologi yang memenangi anugerah Pulitzer Prize bersetuju dengan Dana dengan membekalkan beberapa kes berkaitan di mana wanita yang tidak mengandung berjaya menyusukan seorang bayi hanya dengan meletakkan bayi itu beberapa kali di payudaranya.

Menurut beliau lagi, kebanyakan ibu angkat, contohnya mula mengeluarkan susu dalam tempoh 3 hingga 4 minggu selepas mengambil bayi sebagai anak angkat, menyarankan bahawa stimulasi semata-mata boleh mendorong hormon yang cukup untuk menghasilkan susu. 

Kes yang sama telah dilaporkan daripada kalangan lelaki, termasuklah kes pada tahun 2002 apabila seorang lelaki Sri Lanka yang berusia 38 tahun telah menyusukan 2 orang bayi perempuannya selepas ibu mereka meninggal dunia ketika dalam proses melahirkan anak, menurut sebuah laporan oleh Agence France-Presse

Kesimpulan

menyusukan bayi

Jadi, adakah lelaki juga turut boleh menyusu bayi dengan susu badan mereka sendiri? Ya, sudah pasti. Adakah ianya kerap berlaku? Tidak, amat jarang sekali. Sebagai bapa atau bakal bapa, sekiranya diberi peluang untuk menyusu bayi anda seperti mana yang dilakukan oleh para ibu di luar sana, adakah anda bersedia untuk mengambil tanggungjawab ini?

Rujukan:

  1. Mental Floss
  2. Livescience



Hakcipta iluminasi.com (2017)