Keluarga Kennedy merupakan salah sebuah keluarga yang paling terkenal dan berpengaruh di Amerika Syarikat. Keturunan pasangan Joseph Kennedy Sr. dan Rose Fitzgerald Kennedy itu berjaya menduduki jawatan tertinggi dalam negara, dari anggota kongres, senator malah sehingga kepada presiden Amerika Syarikat.
Walaupun terkenal dan berkuasa, keluarga Kennedy sebenarnya melalui pelbagai keperitan yang berterusan apabila ramai ahli keluarga meninggal dunia pada usia muda walaupun mempunyai masa hadapan yang cerah.
BESARKAN TEKS A- A+
Ada yang ditembak mati, kemalangan pesawat, overdose dan beberapa kemalangan lain yang menjadi punca kematian ahli keluarga ini. Ramai menganggap keadaan ini sebagai satu "sumpahan". Sama ada ia benar atau tidak, berikut adalah senarai ahli keluarga Kennedy yang meninggal dunia pada usia muda.
Joseph P. Kennedy Jr.
Anak sulung keluarga Kennedy ini merupakan juruterbang Tentera Laut semasa WWII. Dia terlibat dalam banyak misi tempur tetapi terbunuh dalam satu letupan pesawat yang misteri ketika melakukan satu misi rahsia pada tahun 1944.
Ketika meninggal dunia, Joseph berusia 29 tahun. Dia kemudian dianugerahkan pingat Navy Cross. Menurut adiknya John F. Kennedy, Joseph menolak cuti yang diberikan untuk pulang ke Amerika sebaliknya kekal berada di Perancis ketika operasi D-Day sehingga dia menemui ajal.
Kathleen Kennedy Cavendish
Kathleen yang merupakan anak keempat keluarga Kennedy telah menjadi sukarelawan Palang Merah semasa WWII. Dia mula berkhidmat di New York dan kemudian di London.
Kathleen kemudian berkahwin dengan seorang bangsawan Britain, William Cavendish, iaitu Marquess of Hartington. Suaminya meninggal dunia tidak lama selepas dipanggil berkhidmat untuk tentera pada tahun 1944.
Kathleen kekal di England selepas perang dan meninggal dunia dalam nahas pesawat di Perancis pada tahun 1948 ketika hanya berusia 28 tahun.
John F. Kennedy Jr.
John F. Kennedy Jr merupakan anak kepada mendiang presiden Amerika Syarikat yang ke-35, John F. Kennedy. Ketika berusia 38 tahun, John F. Kennedy Jr. terbunuh apabila pesawat kecil yang dipandunya terhempas di laut berhampiran Martha's Vineyard.
Kemalangan itu turut meragut nyawa isterinya, Carolyn Bessette Kennedy dan iparnya, Lauren Bessette. Bapa saudaranya, Edward M. Kennedy menyifatkan John F. Kennedy Jr. sebagai seorang yang gembira, bersemangat dan suka pengembaraan tetapi malangnya meninggalkan mereka terlalu awal.
David Kennedy
David merupakan anak lelaki kepada Ethal dan Robert F. Kennedy. Dia ditemui mati ketika berusia 28 tahun di sebuah bilik hotel di Palm Beach, Florida, pada 1984 setelah bertahun-tahun bergelut dengan masalah ketagihan dadah.
David dilaporkan terlibat dengan dadah kerana trauma dengan kematian bapanya yang ditembak mati pada tahun 1968.
Michael Kennedy
Seorang lagi anak lelaki Ethal dan Robert F. Kennedy telah meninggal dunia dalam satu kemalangan sukan ski pada tahun 1997. Menurut New York Times, Michael yang merupakan pakar ski telah terbabas dan melanggar sebatang pokok ketika bermain sukan "berbahaya" iaitu gabungan olahraga alpine dan bola sepak.
Michael berusia 39 tahun ketika menghembuskan nafasnya yang terakhir. Kakak mendiang, Kathleen Kennedy Townsend, yang merupakan wakil gabenor ketika itu membacakan Bible ketika pengebumiannya.
Maeve Kennedy McKean
Maeve merupakan anak kepada Kathleen Kennedy Townsend yang juga cucu kepada Robert F. Kennedy. Pada 2 April 2020, Maeve dan anaknya lelakinya berusia 8 tahun, Gideon Kennedy Mckean, hilang ketika mendayung sampan di kediaman Kathleen di Shady Side. Maryland.
Mayat Maeve ditemui seminggu kemudian manakala mayat anaknya pula dua hari selepas itu. Akhbar melaporkan tragedi ini sebagai salah satu "Sumpahan Kennedy" yang telah banyak meragut nyawa keluarga itu.
Saoirse Kennedy Hill
Seorang lagi cucu perempuan Robert F. Kennedy ditemui mati di perkarangan rumah keluarga Kennedy yang terkenal di Pelabuhan Hyannis, Massachusetts, pada Ogos 2019.
Pihak berkuasa mengatakan bahawa Saoirse yang berusia 22 tahun itu meninggal dunia akibat lebihan dos yang tidak disengajakan. Saoirse yang merupakan pelajar Boston College pernah menulis di akhbar sekolah menengahnya bahawa dia menghadapi kemurungan.
Robert F. Kennedy
Sejuruh selepas meraikan kemenangannya sebagai calon utama presiden bagi California Democratic pada tahun 1968, Bobby Kennedy telah ditembak mati di Ambassador Hotel, Los Angeles.
Adik kepada Presiden John F. Kennedy ini merupakan bekas Peguam Negara Amerika dan Gabenor New York ketika itu. Kematian Robert selepas abangnya pada 1963 merupakan permulaan bagi spekulasi teori konspirasi "Sumpahan Kennedy".
John F. Kennedy
Pada 22 November 1963, Presiden ke-35 Amerika ini ditembak mati di Dallas ketika berarak di atas sebuah kereta. Kematian presiden pada usia 46 tahun itu mengejutkan seluruh negara.
Adiknya, Robert F. Kennedy, berusaha meneruskan legasi abangnya di arena politik tetapi tidak kesampaian apabila dia juga menjadi mangsa tembakan lima tahun kemudian.
Rujukan:
1. Di sebalik "Sumpahan Kennedy"