Dilahirkan sebagai Di Xin pada tahun 1105 SM, dia merupakan anak kepada Maharaja Di Yi daripada Dinasti Shang. Di Xin menggantikan bapanya sebagai maharaja pada tahun 1075 SM dan mendapat gelaran sebagai Maharaja Zhou Xin atau Shang Zhou.

Maharaja terakhir daripada Dinasti Shang ini sememangnya tahu bagaimana cara untuk berhibur. Apabila dia dan Ratunya ingin berehat, mereka akan menuju ke Istana Keseronokan mereka dan berenang di tasik wain buatan manusia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Istana Keseronokan, Tasik Wain dan Hutan Daging

Ia bukan sekadar kisah biasa, Tasik Wain Maharaja Di Xin ini dikatakan menjangkau lebih daripada dua kilometer dari setiap arah. Ia cukup besar sehingga maharaja boleh menaiki sampan dan berlayar di sekitar tasik dipenuhi arak ini.

hutan daging

Di tengah tasik ini terdapat sebuah pulau buatan manusia dengan hutan daging. Pokoknya diperbuat daripada daging cucuk, potongan ayam panggang, daging lembu dan daging khinzir yang digantung dari cabang pokok.

Maharaja Di Xin hanya perlu mencedok wain dari atas sampan dan memetik daging dari cabang pokok yang tergantung di atas kepalanya. Istana Keseronokan ini adalah yang pertama seumpamanya di dunia.

Dikatakan maharaja pernah menjemput 3,000 tetamu untuk memenuhi Istana Keseronokannya, kesemua mereka dalam keadaan bogel seperti yang diarahkan maharaja. Atas arahannya juga, mereka akan minum dari tasik wain seperti binatang, menyelam atau berenang. 

Selain itu, maharaja juga mengarahkan tetamunya mengadakan seks bebas beramai-ramai sambil dia dan ratunya akan duduk dan melihat dari pulau di tengah-tengah tasik itu. Pasangan diraja itu sememangnya menikmati kuasa yang mereka ada. 

Ratu Daji

ratu daji

Ratu Daji

Diceritakan bahawa Maharaja Di Xin sebenarnya adalah seorang maharaja yang baik pada awal pemerintahannya. Dia dikenali sebagai seorang yang pintar dan tenang. Wataknya dahulu adalah bertentangan dengan apa yang anda baca sebentar tadi.

Namun, apabila semakin tua Maharaja Di Xin seakan-akan tenggelam dalam kuasa yang dimilikinya. Sukar untuk dipastikan apa yang berlaku tetapi ramai penulis sejarah Cina kuno menyalahkan isterinya iaitu Ratu Daji.

Dikatakan bahawa Daji merupakan wanita paling cantik di China ketika itu. Saat pertama Maharaja Di Xin melihat Daji, dia menjadi begitu obses untuk memenangi hati wanita itu sehingga lupa pada setiap tugasnya.

wain china

Daji adalah seorang yang suka bersuka-ria. Dia kuat minum minuman keras dan sering bercakap secara terbuka mengenai seks. Setelah mereka bertemu, Maharaja Di Xin telah memerintahkan para pemuziknya untuk menulis lagu-lagu paling biadab yang dapat dibayangkan.

Pelbagai kisah yang tidak masuk akal direka oleh rakyat terhadap pasangan diraja itu kerana marah dengan apa yang berlaku. Ada yang mendakwa Ratu Daji adalah jelmaan roh jahat dalam bentuk manusia. Bukan sahaja wang rakyat diperah, malah Maharaja Di Xinjuga sering tidak hadir ke istana bagi melakukan tugas.

Lubang ular dan hukuman meriam terbakar

lubang ular

Apabila orang ramai mulai marah, ada beberapa orang yang berani untuk memberitahu maharaja perkara yang sebenar. Akan tetapi, Maharaja Di Xin tidak dapat menerima kritikan dengan baik.

Salah seorangnya ialah bapa saudara maharaja sendiri. Apabila diberitahu bahawa Daji merupakan pengaruh buruk terhadap anak saudaranya itu, Maharaja Di Xin telah mengarahkan agar bapa saudaranya itu dibedah dan jantungnya dikeluarkan ketika masih berdenyut.

Maharaja Di Xin dan Ratu Daji kemudian menjadi lebih kreatif. Mereka membina lubang yang dipenuhi ular untuk menghumban sesiapa sahaja ke dalamnya yang membangkang mereka. Kemudian muncul pula hukuman yang digelar sebagai "hukuman meriam terbakar". Sebuah meriam tembaga dipenuhi dengan arang yang terbakar akan ditembak ke arah mangsa hidup-hidup.

meriam

Mangsa pertama hukuman ini ialah penasihat diraja bernama Mei Bo. Dia dihukum kerana memberi amaran kepada maharaja yang membunuh rakyatnya sendiri. Mei Bo dibawa masuk ke dewan takhta, dibogelkan dan diikat pada meriam. Kemudian arang yang dibakar diisi di dalam meriam.

Seluruh istana terpaksa menonton Mei Bo dihukum mati. Maharaja Di Xin kemudian memberi amaran kepada semua yang hadir bahawa mereka akan menerima nasib yang sama jika menentangnya. Tidak ada seorang hadirin pun yang dibenar untuk meninggalkan dewan itu sehingga hukuman selesai. Seluruh dewan itu dipenuhi dengan bau daging terbakar.

Raja Wu Kerajaan Zhou

raja wu dinasti zhou

Raja Wu Dinasti Zhou

Selepas kematian Mei Bo, rakyat terlalu takut untuk berkata apa-apa kepada maharaja. Maharaja Di Xin dan Ratunya dibiarkan menghabiskan masa mereka di Istana Keseronokan dengan melakukan pelbagai perkara pelik.

Namun, Maharaja Di Xin tidak sedar bahawa dia sedang diperhatikan oleh jirannya iaitu Raja Wu. Raja Wu dari kerajaan Zhou sudah lama merancang untuk menyerang Maharaja Di Xin pada masa yang sesuai. Apabila perisik melaporkan bahawa rakyat sudah mula membenci Maharaja Di Xin, Raja Wu mula menyerang.

Raja Wu hanya menghantar 100 orang tentera sahaja yang diketuai oleh Jiang Ziya untuk menyerang istana Maharaja Di Xin. Apa yang berlaku ialah kebanyakan tentera Maharaja Di Xin telah meletakkan senjata dan menyerah serta-merta. Malah, ada juga yang membantu tentera Raja Wu untuk menyerang ibu kota sendiri.

perang china

Dalam masa yang singkat sahaja, ibu kota Maharaja Di Xin telah ditawan dan kebanyakan tenteranya sendiri berpaling tadah. Maharaja Di Xin telah mengumpulkan semua hartanya dan membawanya ke Istana Keseronokannya.

Sementara menunggu tentera musuh datang, Maharaja Di Xin tidak lari. Dia sebaliknya mula membakar istananya dan hanya duduk di tepi tasik wainnya, membiarkan api membunuhnya.

Ia adalah pengakhiran bagi Dinasti Shang yang telah bertahan lebih daripada 550 tahun lamanya. Dengan kematian Maharaja Di Xin, Dinasti Shang telah digulingkan dan digantikan dengan Dinasti Zhou. Ratu Daji pula dijatuhkan hukuman mati oleh Raja Wu setelah suaminya mati.

Keborosan Maharaja Di Xin kini diabadikan dalam satu pepatah. Walaupun 3,000 tahun telah berlalu, pepatah "Tasik Wain dan Hutan Daging" sering digunakan di seluruh negara sebagai simbol korupsi sempena raja yang melakukannya lebih daripada mana-mana pemerintah China.

Rujukan:

1. People WKU Edu

2. EN Academic

3. Museum Hack




Hakcipta iluminasi.com (2017)