Oleh pada 19 Nov 2018 kategori

Hubungan antara Amerika Syarikat dan Korea Utara tidak pernah baik namun untuk memahami sepenuhnya hubungan yang retak di antara kedua-dua negara, kita harus kembali ke hampir 70 tahun yang lalu ketika berlakunya Pembunuhan Sinchon.

Pembunuhan Sinchon adalah satu siri pembunuhan besar-besaran yang didakwa dilakukan oleh pasukan tentera Amerika Syarikat dari 17 Oktober hingga 7 Disember 1950, ketika Perang Korea bermula.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sepanjang tempoh 52 hari tersebut, berlaku spekulasi bahawa lebih daripada 35,000 orang awam Korea telah dibunuh.

Namun sama ada pembunuhan ini dipertanggungjawabkan ke atas tangan Amerika Syarikat atau pihak lain masih lagi diperdebatkan.

Terdapat cerita yang bertentangan dari pelbagai pihak mengenai kejadian ini, jumlah kematian, dan siapa yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan beramai-ramai tersebut.

Latar belakang di sebalik Sinchon Massacre

sinchon massacre

Ketika kejadian ini berlaku, dikatakan terdapat beberapa penyembelihan besar-besaran selama lebih dari tempoh dua bulan pada akhir tahun 1950 di Wilayah Sinchon.

Salah satu penyembelihan pertama berlaku pada 18 Oktober 1950 di sebuah rumah perlindungan di Sinchon. Rekod Korea Utara menyatakan bahawa tentera Amerika Syarikat telah membunuh kira-kira 900 orang.

Lagi 520 nyawa, termasuk 50 wanita dan kanak-kanak, dibunuh dua hari kemudian pada 20 Oktober 1950 ketika serangan di tempat perlindungan di balai polis.

Pola pembunuhan beramai-ramai ini berterusan sehingga 7 Disember di mana angka akhir mangsa keseluruhan didakwa seramai 35,383 orang.

Siapa yang bertanggungjawab?

sinchon massacre 2

Masih tidak jelas sama ada tentera Amerika Syarikat, tentera Korea Selatan atau unit gerila komunis Korea Utara yang bertanggungjawab terhadap serangan yang mengerikan itu dan konflik ini kelihatan agak rumit.

Menurut ahli sejarah Korea Selatan, Han Sung Hoon, Pembunuhan Sinchon "tidak dapat dianggap hanya sebagai pembunuhan di antara kiri dan kanan,".

"Ia mesti difahami secara tiga dimensi, sebagai hasil daripada percanggahan yang berpunca dari zaman penjajah selepas pembebasan, digabungkan dengan pembahagian dan penubuhan dua negara yang terpisah di Utara dan Selatan serta perang akhir yang memperburukkan masalah dalaman kelas, hierarki, dan agama." kata Han Sung Hoon.

Dalam buku Travis Jeppesen, "See You Again in Pyongyang", Han Sung Hoon berkata apabila unit-unit tentera Korea Utara berundur dari Sinchon dan unit gerila komunis tempatan mengambil tempat dalam pertempuran melawan pasukan Korea dan Amerika Syarikat, kawasan itu menjadi "sarang kepada pencerobohan kedua-dua puak kanan dan kiri di saat yang membawa kepada pembunuhan beramai-ramai akhir tahun 1950,".

Ini mungkin dapat menjelaskan sebahagian daripada persoalan mengapa sangat sukar untuk menyalahkan satu-satu pihak terhadap pembunuhan beramai-ramai ini. 

sinchon massacre 3

Beberapa sumber mengatakan bahawa pembunuhan beramai-ramai ini dilakukan oleh tentera Amerika Syarikat, cerita-cerita lain mengatakan bahawa Korea Selatan yang harus dipersalahkan.

Sesetengah ahli sejarah berpendapat bahawa walaupun serangan itu dilakukan oleh Korea Selatan, mereka bertindak mengikut arahan tentera Amerika Syarikat.

Walau bagaimanapun, laporan 1952 dari sekumpulan peguam, hakim, dan profesor dari Britain, Perancis, Austria, Itali, Belgium, China, Poland, dan Brazil, menyiasat dakwaan pembunuhan itu dan menunjukkan bukti bahawa Amerika Syarikat di pihak yang bersalah.

Namun Kim Dong-Choon, bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Kebenaran dan Rekonsiliasi Korea Selatan, tidak bersetuju dengan penemuan ini dan dia berpendapat bahawa kumpulan gerila Korea Utara, atau puak komunis muda, harus dipersalahkan.

Walau apa pun, hasil dari peristiwa-peristiwa yang keruh yang berlaku di Sinchon itu menjadikan Korea Utara semakin berang dan "bengang" terhadap Amerika Syarikat.

Ketegangan ketika ini

muzium sinchon massacre

Keganasan Amerika Syarikat terhadap Korea Utara memberikan kesan yang sangat mendalam kepada negara itu sehinggakan sebuah muzium dibina khas bagi memperingatinya.

Dibina pada tahun 1958, Muzium Sinchon Keganasan Perang Amerika kemudiannya telah dirombak dengan arahan Kim Jong Un.

Ada yang mengatakan bahawa muzium itu sebahagian besarnya digunakan oleh kepimpinan Korea Utara untuk menghasut kebencian terhadap Amerika Syarikat, manakala Kerajaan Pyeongyang mendakwa bahawa ia hanya bukti bahawa Amerika Syarikat bertanggungjawab atas kematian ramai rakyatnya.

16 bilik muzium ini direka dengan teliti untuk mempamerkan butiran mengerikan mengenai pembunuhan beramai-ramai tersebut.

sinchon massacre 4

Bilik-bilik ini menempatkan artifak dan propaganda dari tempoh masa 52 hari tersebut dan menampilkan pameran yang mengandungi surat dari kanak-kanak yang ditangkap, senjata dan alat yang digunakan untuk penyeksaan, bukti serangan udara Amerika dan peperangan kimia dan bendera Korea Utara yang terdapat kesan darah.

Semasa lawatannya ke muzium pada tahun 2014, Kim Jong Un menunjukkan perasaan negatifnya terhadap Amerika Syarikat dengan sangat jelas.

Kim berkata bahawa tidak kira bagamiana "imperialis Amerika Syarikat cuba bermain helah, jejak darah yang tersisa di tanah ini tidak dapat dipadamkan,".

"Darah mesti dibalas dengan darah, dan hutang dengan imperialis A.S. mesti diselesaikan, dengan apa cara sekalipun," kata Kim Jong Un.




Hakcipta iluminasi.com (2017)