Oleh pada 30 May 2018 kategori

Kredit foto: Astro Gempak

Rentetan isu video panas yang memalitkan nama aktor Syafiq Kyle, beliau memilih untuk tidak mengesahkan atau menidakkan dakwaan yang timbul.

Sebaliknya, Syafiq memulangkan kepada perspektif masyarakat untuk menilai sendiri, sekaligus membiarkan spekulasi itu terus tergantung tanpa jawapan yang pasti. 

"Sama ada saya atau tidak tetap akan ada pandangan yang berlainan dan saya adalah insan yang bertanggungjawab untuk memanjangkan atau pendekkan isu ini. Saya pilih menghentikannya di sini dan meneruskan kehidupan.

"Bagi saya, biarlah orang nak cakap itu saya atau bukan. Saya juga menghargai dugaan ini sebagai perkara yang mematangkan saya," katanya memetik laporan Mstar Online.

Beliau membuat kenyataan tersebut dalam sidang media tergempar diaturkan pihak pengurusannya bersama beberapa pihak media, berlangsung di sebuah hotel di ibu kota malam tadi.

Ia susulan penyebaran video panggilan lucah selama dua minit yang memaparkan lelaki didakwa dirinya bersama seorang wanita dikenali sebagai Mira.

Sementara itu, Syafiq akui sudah terlebih awal mengetahui kewujudan video tersebut iaitu sejak dua tahun lalu tetapi tidak pasti akan kesahihannya.

Malah beberapa individu turut memberikan petunjuk kepadanya bahawa mereka memiliki rakaman berkenaan.

sidang media tergempar syafiq kyle isu video panas ini pendedahan lanjutnya 2

Kredit foto: Astro Gempak

“Dua tahun lalu saya sudah menghidu tentang video tersebut ada yang jumpa saya beritahu mereka sudah melihatnya. Saya tertanya-tanya video apa yang dimaksudkan sehinggalah ia tersebar dua hari lalu.

“Sejujurnya saya tidak mahu tengok video-video itu sejak ia tular dan dikongsikan di media sosial.

“Saya tidak sangka ia jadi sebesar ini dan terjadi pada bulan Ramadan, di mana sepatutnya menjadi bulan saya membersihkan dosa-dosa lampau saya,” katanya.

Ditanya tentang 'Mira' yang bersamanya dalam video itu, Syafiq berkata, dia mungkin mengenali wanita terbabit tetapi enggan memperkatakannya secara terperinci.

“Mungkin kami pernah kenal, saya sendiri tidak mahu memanjangkannya,” ujar Syafiq.

Mengenai reaksi keluarga, Syafiq berkata, ibunya merupakan antara individu yang paling terkesan kerana perkhabaran berita itu menjadi bahan bualan ramai.

Begitupun, pelakon drama bersiri Nur ini tetap bersyukur kerana masih diterima serta mendapat sokongan keluarga.

“Ibu saya menangis sebelum dia jumpa saya berbincang tentang perkara ini. Sudah tentu dia sedih kerana laman berita yang melaporkan berita-berita kerjaya dan kejayaan saya bertukar melaporkan berita paling buruk anak dia.

“Saya tahu apa yang terjadi ini memberi kesan juga pada kehidupan mereka, saya sendiri kena bangun tunjukkan sesuatu yang positif agar mereka tidak bimbang dengan keadaan saya,” katanya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)