Oleh pada 07 Dec 2020 kategori

rangka allosaurus dilelong di rumah lelong aguttes

Pada 4 Jun 2018, sisa-sisa tulang yang berkemungkinan besar dikenalpasti sebagai dinosaur pemangsa iaitu Allosaurus telah dijual kepada pembida tertinggi di rumah lelongan Aguttes di Paris, Perancis.

Dengan panjang 9.1 meter dan 70% lengkap, fosil ini tersangat berharga. Seperti semua fosil, tulang-tulang ini adalah "duta" dari zaman yang lebih awal. 

Tulang makhluk yang ditemui itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira 150 juta tahun dahulu di Wyoming, Amerika Syarikat.

Sehingga kini, sebahagian besar daripada rangka dinosaur yang ditemui biasanya terdapat di negara-negara seperti Argentina, Antartika, Chile, kawasan gurun di barat Amerika Syarikat dan juga beberapa kawasan di United Kingdom.

Harga fosil dinosaur yang melonjak

rangka sue tyrannosaurus rex

("Sue" - Rangka tyrannosaurus rex paling lengkap pernah ditemui setakat ini)

Rumah lelongan tahu bahawa terdapat ramai pembeli yang sanggup membayar dengan jumlah yang sangat tinggi semata-mata untuk memiliki karya prasejarah yang jarang dan penting secara saintifik.

Rumah lelongan Aguttes juga telah menjual rangka seekor lagi dinosaur pemangsa pada tahun 2016 dengan harga RM13 juta dan juga rangka  lengkap seekor gajah gergasi berbulu dengan harga RM2.6 juta.

Jumlah ini dilihatkan sangat kerdil jika dibandingkan dengan jumlah RM33.9 juta yang dibayar oleh Chicago Field Museum dan beberapa rakan korporat (seperti Walt Disney World Resort dan Ronald McDonald House Charities) pada tahun 1997, untuk memiliki "Sue" - rangka Tyrannosaurus rex paling lengkap yang pernah dijumpai manusia.

Tanah Persendirian vs Awam

penggalian fosil dinosaur

Sebelum anda boleh menjual, perlu ada pembeli. Perkara ini pernah dibincangkan dengan kesahan (undang-undang) pengumpulan fosil dengan P. David Polly, seorang profesor geologi di Universiti Indiana.

Selain tugasnya sebagai profesor di universiti, David Polly adalah presiden semasa Persatuan Paleontologi Vertebrata (SVP) antarabangsa, yang mempunyai lebih daripada 2,300 orang ahli.

Menurut David, undang-undang yang melibatkan fosil sangat berbeza dari satu negara ke negara lain.

"Di Amerika Syarikat, fosil yang ditemui di tanah persekutuan dianggap milik awam. Ia dipegang sebagai amanah bagi pihak awam oleh kerajaan persekutuan AS," kata David Polly.

Pada tahun 2009, Kongres AS meluluskan Undang-Undang Pemeliharaan Sumber Paleontologi, undang-undang yang secara rumusannya mengatakan bahawa ia milik dan harus diletakkan "di sebuah muzium."

"Akta Pemeliharaan Sumber Paleontologi (PRPA), yang disahkan oleh Kongres pada tahun 2009, menetapkan bahawa fosil penting secara ilmiah hanya boleh dikumpulkan dengan izin ilmiah dan harus ditempatkan di repositori yang diluluskan iaitu kumpulan penyelidikan muzium atau universiti di mana ia tersedia untuk para saintis dan orang lain yang berminat".

Berdasarkan undang-undang ini, kebanyakan penggalian fosil di tanah persekutuan memerlukan izin, izin tersebut hanya dapat diperoleh oleh saintis yang berkelayakan, dan setiap spesimen yang dijumpai adalah milik orang ramai.

milik siapa fosil dinosaur yang ditemui

Para saintis di muzium dan pusat penyelidikan yang diiktiraf adalah pihak terawal yang mendapat akses terhadap fosil berkenaan.

Tanah asli Amerika dikecualikan kerana menurut Daftar Persekutuan AS, pengumpulan fosil di tanah ini jatuh "di bawah bidang kuasa pihak berkuasa suku."

Namun, menurut Thomas Carr, penasihat saintifik kanan di Muzium Penemuan Dinosaur Wisconsin dan pengarah Institut Paleontologi di Carthage College, semua ini tidak terpakai ke atas tanah persendirian.

Di atas tanah persendirian, kedua-dua akses ke tanah dan pemilikan fosil biasanya diberikan kepada sesiapa sahaja yang paling sanggup membayar kepada pemilik tanah.

Ini biasanya bermakna ia menjadi milik pemburu fosil komersial yang menjual spesimen kepada pengumpul swasta dan bukannya muzium dan institusi penyelidikan.

Itu memberikan perbezaan yang sangat ketara kerana seperti semua saintis, ahli paleontologi harus memastikan bahawa karya mereka dapat dihasilkan semula.

Untuk sesuatu fosil itu berharga dari segi saintifik, kedua-dua fosil dan konteks geologinya perlu didokumentasikan dengan sangat teliti serta ia perlua sentiasa boleh diakses oleh saintis pada masa depan yang mahu meneliti dan menafsirkannnya semula.

trilobit

(Trilobit)

Dalam kes fosil yang ditemui di tanah persendirian, apa yang berlaku biasanya adalah yang sebaliknya.

Undang-undang adalah lebih longgar apabila melibatkan tanaman biasa dan fosil invertebrata seperti trilobit.

Orang awam dibenarkan mengumpulkan fosil ini "untuk kegunaan peribadi dalam jumlah yang munasabah" di tanah persekutuan tanpa perlu mendapatkan permit.

Walau bagaimanapun, sebarang fosil yang diambil dari tanah milik persekutuan "tidak boleh ditukar atau dijual" kemudiannya. Perlu diketahu bahawa undang-undang istimewa terpakai terhadap fosil dan lokasi tertentu.

Sebagai contoh, adalah menjadi kesalahan kayu membatu di Taman Negara Hutan Petrified di Arizona.

Di negara seperti Mongolia, fosil dinosaur dianggap sebagai sebahagian daripada warisan budaya bersama negara tidak kira di mana ia ditemui.

Ini bermakna ia tidak boleh dijual di pasar swasta dan memiliki fosil secara peribadi adalah tidak dibenarkan undang-undang.

Tetapi di AS, fosil yang ditemui di tanah persendirian adalah milik pemilik tanah.

Jadi jika warganegara AS menemui rangka dinosaur di kawasan milik mereka, mereka boleh menyimpannya, menjual atau mengeksportnya secara sah. Persoalannya adalah, patutkah ia dilakukan sedemikian?

Membantutkan sains?

ahli paleontologi sedang memeriksa rangka dinosaur

Rangka dinosaur Allosaurus yang dilelong di Paris tersebut digali dari tanah persendirian antara tahun 2013 dan 2015.

Setelah mengetahui bahawa rumah lelong Aguttes merancang untuk melelongnya, Society for Vertebrate Paleontology menulis surat terbuka yang meminta organisasi tersebut untuk membatalkan penjualannya.

Namun ia tidak diendahkkan oleh Aguttes yang tetap menjualnya. Identiti pembeli tidak diketahui dan pembeli menyatakan bahawa rangka tersebut akan dipinjamkan ke sebuah muzium pada suatu ketika agar para penyelidik berpeluang mengkajinya.

Bagi komuniti saintifik dunia, jaminan ini tidak mencukupi kerana semakan semula merupakan aspek penting dalam paleontologi.

Sekiranya seorang pakar dinosaur menulis sesuatu mengenai fosil tertentu, rakan-rakannya mestilah berpeluang untuk mengkaji dan memeriksa spesimen itu sendiri.

Ini memerlukan akses yang terjamin ke atas fosil tersebut yang mana mungkin terbantut, bergantung kepada budi bicara pemilik.

Konteks geologi adalah satu lagi perkara yang perlu dipertimbangkan. Batu di mana fosil dijumpai adalah sama penting dengan fosil itu sendiri.

Untuk mengetahui berapa usia spesimen atau bagaimana persekitarannya, kita perlu mengetahui dari mana asalnya dan pembeli fosil persendirian mungkin tidak dapat memberikan maklumat ini kerana tanah tersebut bukan miliknya.

Masalah ketiga adalah melibatkan belanjawan muzium.

Universiti dan muzium awam biasanya tidak mampu memenuhi permintaan harga yang tersangat tinggi yang ditetapkan oleh pelelong dan pemilik fosil.

Kesemua faktor ini membuatkan kajian paleontologi terbantut dan memberikan kesan buruk kepada sains.

Rujukan:

1. Five Thirty Eight

2. UKM

3. Root of Science



Hakcipta iluminasi.com (2017)