Di Malaysia, kita mengamalkan sistem pemanduan sebelah kiri jalan. Negara-negara berjiran seperti Singapura, Indonesia dan Thailand juga menggunakan sistem pemanduan yang sama jadi sekiranya kita melancong ke sana, ianya tidaklah menjadi kesukaran untuk memandu di negara-negara tersebut.

Walau bagaimanapun, tidak semua negara di dunia menggunakan sistem pemanduan sebelah kiri. Negara seperti Amerika Syarikat dan majoriti negara lain di dunia ini sebenarnya mempraktikan dan menggunapakai sistem pemanduan sebelah kanan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jadi, sekiranya anda memandu di negara-negara ini, ianya akan menimbulkan sedikit kesukaran dan kekeliruan.

Majoriti negara di dunia memandu sebelah kanan

sistem pemanduan seleuruh dunia 172

Sistem pemanduan sebelah kiri dan kanan jalan ini juga dirujuk sebagai Left-hand traffic (LHT) dan right-hand traffic (RHT). Untuk makluman, sebanyak 165 buah negara di dunia sebenarnya menggunakan sistem pemanduan RHT sementara selebihnya adalah menggunakan sistem trafik LHT.

Dari segi peratusan pula, negara yang memandu sebelah kiri (LHT) meliputi hanya 1 per 6 daripada keluasan di bumi. Pada tahun 1919, 104 buah negara atau wilayah di muka bumi ini menggunapakai sistem pemanduan sebelah kiri jalan manakala selebihnya menggunakan sistem pemanduan sebelah kanan. Namun, menjelang 1986, 34 buah negara telah bertukar ke sistem pemanduan sebelah kanan atas sebab-sebab tertentu.

Sejarah sistem pemanduan sebelah kiri

tentera berkuda

Para sejarawan berpendapat penggunaan sistem pemanduan sebelah kiri ini bermula sejak dari zaman empayar Roman lagi dan mula tersebar ke seluruh pelusuk Eropah. Bagi penunggang kuda dan yang membawa kereta kuda, mereka gemar menggunakan bahagian kiri jalan.

Hal ini disebabkan majoriti manusia menggunakan tangan kanan sebagai tangan dominan, maka ia akan memudahkan mereka memegang pedang ketika sedang menunggang kuda bagi tujuan mempertahankan diri. Oleh itu, para penunggang kuda akan menunggang kuda di sebelah kiri jalan untuk "memaksa" kenderaan yang datang daripada arah bertentangan datang daripada arah kanan mereka.

Sistem pemanduan sebelah kiri ini telah digunakan secara meluas di British sebelum mereka mengaplikasikannya di negara-negara yang dijajah. Pada masa kini, sebahagian besar negara-negara bekas jajahan British yang dikenali sebagai negara Komanwel seperti Malaysia, Brunei dan Singapuran masih menggunakan sistem pemanduan ini.

Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa buah negara Komanwel seperti Kanada yang telah menukar ke sistem pemanduan sebelah kanan atas sebab tertentu.

sejarah kereta api jepun

Penggunaan sistem pemanduan sebelah kiri di negara Jepun pula sedikit unik. Negara ini tidak pernah dijajah British namun ianya telah menggunapakai sistem ini secara tidak rasmi semenjak tahun 1872. Semuanya berpunca daripada pembinaan projek kereta api yang pertama di Jepun.

Pada ketika itu, Jepun telah mendapatkan bantuan teknikal daripada British untuk membina sistem kereta apinya yang pertama. Disebabkan kepakaran dari British digunakan, segala sistem kereta api tersebut telah dibina berdasarkan sistem pemanduan di British. Namun, ianya mengambil hampir setengah abad lamanya sebelum sebelum sistem pemanduan sebelah kiri ini digunakan secara rasmi di Jepun dan ditulis dalam undang-undang jalan raya disana.

Sejarah sistem pemanduan sebelah kanan

kereta kuda besar

Sistem pemanduan sebelah kanan jalan pula dikatakan bermula di Amerika Syarikat pada tahun 1700-an. Ketika itu, para petani mula menggunakan gerabak beroda yang besar untuk membawa hasil-hasil tanaman. Kerana saiznya yang besar, biasanya gerabak ini akan ditarik oleh beberapa ekor kuda.

Kebiasaannya gerabak besar ini tidak mempunyai tempat duduk dan pemandunya akan duduk di kuda sebelah kiri belakang. Disebabkan individu yang mengawal kenderaan ini duduk di sebelah kiri, biasanya dia mahukan kenderaan lain yang datang daripada arah bertentangan datang daripada sebelah kiri bagi memudahkannya melihat dengan lebih jelas.

Oleh itu, mereka akan bergerak menggunakan sebelah kanan jalan bagi "memaksa" kenderaan daripada arah bertengangan datang daripada sebelah kirinya. Alasan yang sama juga menyebabkan beberapa buah negara lain turut menggunakan sistem pemanduan sebelah kanan jalan seperti Amerika Syarikat.

Revolusi Perancis pada tahun 1789 pula telah menyebabkan sistem pemanduan sebelah kanan jalan ini digunakan secara meluas di lebih banyak tempat terutamanya di negara-negara Eropah.

Pertukaran sistem pemanduan sebelah kiri ke kanan dan sebaliknya

dagen h 334

Peristiwa Dagen H

Penggunaan sistem pemanduan kiri atau kanan di hampir semua negara pada awalnya sememangnya berkait rapat dengan sejarah negara tersebut. Walau bagaimanapun, dalam sesetengah kes terdapat juga negara yang mengambil keputusan untuk menukar sistem pemanduan dari sebelah kiri ke kanan, dan sebaliknya.

Contoh mudah adalah Kanada. Walaupun merupakan negara bekas jajahan British, negara ini telah mengambil keputusan bertukar ke sistem pemanduan sebelah kanan pada tahun 1920. Keputusan ini diambil bagi memudahkan urusan keluar masuk rakyatnya ke negara jiran mereka iaitu Amerika.

Negara Sweden juga telah menukar sistem pemanduan di negara mereka pada tahun 1967. Pada pagi hari pertama pertukaran tersebut, telah terjadi huru hara di seluruh negara dan hari ini dikenali sebagai "Dagen H". Untuk tujuan pertukaran ini, kerajaan telah membelanjakan sebanyak $120 juta untuk perlbagai kos seperti pertukaran dan tanda jalan dan lampu isyarat.

Walaupun ramai rakyat yang menentangnya, pertukaran ini diambil memandangkan jiran-jiran negara ini seperti Finland dan Norway menggunakan sistem pemanduan sebelah kanan. Dengan pertukaran ini, ia akan memudahkan urusan keluar masuk rakyat dan penduduk negara jiran ke negara ini.

Selain itu, kebanyakan kereta yang dijual di Sweden juga diimport dari Amerika Syarikat yang memandu di sebelah kanan jalan. Oleh itu, pertukaran ke sistem pemanduan sebelah kanan itu secara tidak langsung dapat mengurangkan kadar kemalangan di negara tersebuet.

Sekiranya anda seorang rakyat Malaysia yang sudah biasa memandu di sebelah kiri, anda mungkin akan mengalami sedikit kesukaran apabila memandu di negara-negara yang menggunakan sistem pemanduan sebelah kanan. Kesalahan yang biasa dilakukan adalah tersilap masuk simpang. Namun, selepas beberap ketika ianya akan menjadi kebiasaan.

Kredit:

  1. World Standards
  2. Business Insider
  3. History



Hakcipta iluminasi.com (2017)