Halloween ialah perayaan tahunan yang disambut pada 31 Oktober. Perayaan ini berasal daripada festival Samhaim yang disambut oleh kaum Celtic purba di mana masyarakat pagan ini akan membakar unggun api dan memakai kostum untuk menghalau hantu.

Pada kurun ke-8, Pope Gregory Ketiga mengisytharkan 1 November sebagai hari untuk memperingati para Santo (saints). Lama-kelamaan,unsur tradisi Samhain mula diserap ke dalam Hari Santo. Lewat petang hari sebelumnya dikenali sebagai All Hallows Eve, diikuti dengan Halloween. Tahun demi tahun, Halloween berkembang menjadi hari cuti yang padat dengan aktiviti "muslihat atau belanja" (trick or treat), mengukir labu serta berkumpul beramai-ramai sambil memakai kostum.

BESARKAN TEKS     A-  A+

sejarah halloween dan hukum menyambut dalam islam

Halloween Purba

Sejarah perayaan Halloween bermula dengan sambutan Samhain (sebutan: sow-in) oleh kaum Celt purba sekitar 2,000 tahun yang lalu. Kaum Celt yang berasal dari lokasi yang kini dikenali sebagai Ireland/Scotland menyambut tahun baru setiap 1 November.

Ia menandakan berakhirnya musim panas serta musim menuai dan bermulanya musim sejuk suram yang sering dikaitkan dengan kematian manusia. Kaum yang menganut ajaran paganisme ini percaya pada malam sebelum tahun baru, sempadan antara alam manusia dan alam roh menjadi samar-samar. Jadi, pada setiap malam 31 Oktober mereka akan mengadakan sambutan Samhain kerena dipercayai roh orang yang sudah mati turun semula ke bumi.

Selain menyebabkan kesusahan dan merosakkan tanaman, kehadiran roh alam ghaib ini dipercayai memudahkan tugas Druids, atau paderi Celt, untuk membuat ramalan tentang masa hadapan. Bagi masyarakat ini yang terlalu bergantung kepada alam semula jadi yang sering bergolak, tilikan Druids ini merupakan sumber penting untuk hidup dengan selesa dan mencari arah ketika menghadapi musim sejuk yang gelap.

samhain halloween disambut oleh penganut paganisme

Untuk memperingati peristiwa ini, Druids akan membina unggun api yang besar di sebuah kawasan yang boleh menghimpunkan penduduk. Mereka akan berkumpul untuk membakar tanaman dan mengorbankan haiwan untuk menjamu dewa Celt. Semasa sambutan, mereka akan memakai kostum yang terdiri daripada kepala dan kulit haiwan dan akan berbicara tentang harta kekayaan masing-masing.

Setelah sambutan tamat, mereka akan membakar pula perdiangan rumah masing-masing menggunakan bahan bakar daripada unggun api suci yang telah dipadam untuk melindungi mereka sepanjang musim sejuk.

Menjelang 43 Tahun Masihi, Empayar Rom telah menakluki majoriti wilayah Celt. Sepanjang tempoh 400 tahun memerintah tanah Celt, dua perayaan yang berasal dari Rom telah digabungkan dengan sambutan Samhain kaum Celt.

Perayaan pertama ialah Feralia, iaitu satu hari di penghujung Oktober di mana orang Rom secara tradisinya akan memperingati peristiwa kematian manusia manakala perayaan kedua ialah hari untuk memperingati Pomona iaitu dewi buah-buahan dan pokok Rom. Simbol dewi Pomona ialah buah epal dan penggabungan sambutan ini dengan Samhain mungkin menjelaskan tradisi menggigit epal terapung yang masih dipraktikkan dalam perayaan Halloween hari ini.

hukum menyambut halloween jack o lantern ukiran labu

All Saints Day

Pada 13 Mei 609 Tahun Masihi, Pope Boniface Keempat mendedikasikan Pantheon di Rom bagi menghormati para mubaligh Kristian yang mati menderita kerana memperjuangkan agama serta mengadakan jamuan pada hari All Martyrs Day di gereja Barat. Pope Gregory Ketiga kemudian mengembangkan sambutan ini bukan hanya kepada para 'syahid' malah meliputi para santo dan mengubah tarikh sambutan menjadi 1 November dan dipanggil All Saints Day.

Menjelang kurun ke-9, pengaruh Kristian tersebar ke wilayah Celt di mana ia akhirnya bergabung dan mengambil alih ritual lama Celt. Pada 1000 Tahun Masihi, pihak gereja memilih 2 November sebagai Hari Roh untuk memperingati mereka yang telah mati. Dipercayani pihak gereja membuat percubaan ini untuk menggantikan festival sambutan orang mati yang disambut Celt dengan cuti yang dipersetujui pihak gereja sahaja.

sambutan all saints day pope

Hari Roh, atau All Souls Day, disambut mirip dengan Samhain, iaitu dengan pembakaran unggun api besar-besaran, perarakan dan pemakaian kostum sebagai santo, malaikat dan syaitan.

All Saints Day juga dikenali sebagai All-hallows atau All-hallowmas yang disadur daripada penggunaan Bahasa Inggeris lama "Alholowmesse" yang bermakna All Saints Day. Malam sebelumnya pada mulanya digelar All-Hallows Eve yang akhirnya menjadi Halloween pada hari ini.

Hukum Menyambut Halloween bagi Umat Islam

Sudah terang lagi nyata bahawa sejarah sambutan perayaan Halloween ini bertentangan dengan nilai syariah dan prinsip Islam. Pada tahun 2015, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan melalui Irsyad Al-Fatwa ke-91 telah menjelaskan bahawa hukum menyambut Halloween adalah haram di sisi Islam.

Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah S.A.W yang melarang umat Baginda daripada meniru atau membuat sesuatu menyerupai orang kafir:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم : مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ 

Maksudnya: "Telah berkata Rasulullah S.A.W : Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka mereka tergolong dalam golongan itu." Riwayat Abu Daud (4031)

orang islam diharamkan menyambut halloween

Gambar sekadar hiasan. Tiada kaitan dengan halloween

Tambahan pula, tradisi dan sambutan Hari Halloween ini mengandungi unsur tasyabbuh (menyerupai orang kafir) yang boleh merosakkan akidah tanpa kita sedari. Segala perbuatan dan perkataan yang diamalkan semasa sambutan perayaan ini akhirnya boleh menjadi ibadat dan adat yang menyimpang daripada ajaran Islam.

Menurut Dr. Maza, amalan tasyabbuh ini jika ia diikuti dengan iktikad seperti golongan ini, maka boleh jatuh kufur. Namun, jika ia dibuat sekadar suka-suka atau melakukan tanpa niat yang kufur, amalan tersebut tetap haram dan berdosa jika disambut.

Mungkin kita melihat sambutan Halloween ini hanyalah sekadar suka-suka memakai kostum, menonton filem seram dan bergembira mengumpulkan manisan bersama anak-anak. Walau bagaimanapun, harus diingatkan bahawa sebagai orang Islam, kita dilarang meniru atau menyerupai apa-apa sahaja yang dikhususkan untuk agama lain atau sesuatu yang khusus bagi mana-mana puak yang menimbulkan imej negatif terhadap Islam.

Janganlah kita terlalu ingin mengikut budaya Barat sehingga sanggup membenarkan perkara yang dilarang.




Hakcipta iluminasi.com (2017)