Tahun 2020 genaplah 38 tahun pembukaan Lebuh Raya Timur Barat yang menghubungkan Gerik (Perak) dan Jeli (Kelantan). Dengan siapnya lebuh raya ini pada Julai 1982, maka jarak perjalanan dari Utara ke Pantai Timur dapat dipendekkan.

Penduduk dari kedua bahagian Malaysia ini tidak lagi perlu turun ke selatan dahulu sebelum sampai destinasi. Pemandu hanya perlu melalui kawasan Gerik sebelum sampai ke destinasi masing-masing. Bagi kebanyakan daripada kita, lebuh raya ini tidak banyak bezanya dengan lebuh raya lain yang dibina di Malaysia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun bagi mereka yang hidup pada zaman pembinaan lebuh raya ini serta yang terlibat secara langsung dalam pembinaan lebuh raya ini, projek ini sebenarnya merupakan lambang pengorbanan generasi terdahulu untuk keselesaan generasi pada masa kini.

Objektif serampang dua mata

sejarah lebuh raya timur barat

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa sebenarnya terdapat 2 objektif dalam pembinaan projek ini. Pertama, seperti yang dijelaskan di atas, bagi memendekkan jarak perjalanan antara kawasan Utara dan Pantai Timur.

Kedua, objektif projek ini adalah bagi mengekang kegiatan komunis di Tanah Melayu terutamanya di kawasan Gerik pada waktu itu. Dengan kewujudan pengganas komunis pada waktu itu, ternyata bukanlah tugas yang mudah untuk membina lebuh raya ini. Malah, ramai juga yang terkorban dek serangan komunis.

Kerja-kerja pembinaan telah bermula pada tahun 1970 dan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sendiri yang telah diamanahkan untuk menyiapkan projek berskala mega dan penuh risiko ini.

Ancaman komunis di Tanah Melayu

ancaman komunis

Antara tahun 1967 hinggalah Perjanjian Hatyai pada 2 Disermmber 1989, Gerik merupakan kawasan hitam. Ini bermakna, kawasan ini merupakan paling berisiko dengan ancaman komunis dan sering diawasi oleh pasukan keselamatan bagi melindungi penduduk setempat.

Gerik merupakan kawasan yang strategik bagi komunis memandangkan kawasan ini terletak di sempadan Thailand selain mempunyai akses darat dan sungai untuk ke negara jiran. Dalam usaha memerangi pengganas komunis ini, maka tercetuslah idea pembinaan lebuh raya ini yang mempunyai misi serampang dua mata. 

Tidak seperti lebuh raya biasa, lebuh raya ini dianggap sebagai lebuh raya pertahanan yang akan memudahkan akses pasukan keselamatan negara pada ketika itu. Projek lebuh raya ini juga sejajar dengan usaha kerajaan dalam meningkatkan keselamatan penduduk melalui Program Keselamatan dan Pembangunan (Kesban).

Pembersihan kawasan hutan bagi pembinaan lebuh raya ini juga akan memutuskan laluan pengganas komunis ini untuk melarikan diri ke Thailand. Dengan pembinaan ini juga, kawasan-kawasan hutan yang biasanya menjadi kawasan persembunyian juga akan terjejas. 

Projek ini juga menghadapi kesukaran kerana bentuk muka bumi bergunung-ganang di kawasan ini. Bagi yang tidak tahu, lebuh raya ini akan melintasi dua buah banjaran di Malaysia iaitu Banjaran Bintang dan Banjaran Titiwangsa. Selain itu, para pekerja juga perlu merentasi kawasan hutan belantara yang sangat tebal.

Walau bagaimanapun, serangan daripada pengganas komunis adalah cabaran utama dalam projek ini. Selain serangan terhadap pekerja, mereka juga banyak melakukan sabotaj termasuk memusnahkan segala peralatan dan mesin yang digunakan. 

Kawalan keselamatan ketat

jentolak jkr

Bagi melindungi para pekerja dan segala peralatan yang digunakan, kerajaan telah mengadakan kawalan ketat di sepanjang tapak pembinaan lebuh raya ini dengan mewujudkan pos-pos kawalan pada setiap kilometer lebuh raya ini.

Projek ini dimulakan dengan pembinaan serentak dari arah Jeli dan Gerik. Bagi memudahkan pergerakan pekerja dan menjaga keselamatan keluarga mereka, maka telah diwujudkan 2 buah kem pangkalan di Jeli dan Gerik. Malah, kem pangkalan di Gerik juga dikatakan masih wujud sehingga ke hari ini.

Apabila jarak lebuh raya semakin bertambah, maka kem-kem kecil pula dibina memandangkan jarak dengan kem pangkalan utama semakin jauh. Dalam tempoh pembinaan lebuh raya ini, kerajaan juga telah mengarahkan pihak tentera mengetatkan kawalan melalui `Ops Pagar’.

pekerja jkr

Antara peristiwa hitam yang pernah terjadi di tapak pembinaan projek ini adalah pada 23 Mei 1974 yang menyaksikan 63 buah jentolak telah dimusnahkan oleh pengganas komunis ini. Serangan tersebut bermula pada pukul 8 malam dan berlarutan ke pagi. Kemusnahan jentera-jentera ini sekaligus telah menyebabkan kerja-kerja pembinaan tergendala.

Satu lagi tragedi hitam berlaku pada tanggal 27 Ogos 1974. Serangan hendap komunis menyebabkan 3 orang pekerja JKR terkorban dan beberapa orang yang lain tercedera. Serangan ini berlaku ketika pekerja ini dalam perjalanan ke Banding dari kem pangkalan mereka di Gerik.

Pembukaan lebuh raya TImur Barat

tasik temenggor

Cabaran bentuk muka bumi dan ancaman komunis menyebabkan projek ini lambat siap daripada jangkaan awal dan hanya siap selepas 12 tahun. Kos projek ini juga telah meningkat daripada bajet awal sebanyak RM85 juta kepada RM396 juta. Akhirnya pada 1 Julai 1982, lebuh raya ini siap dan secara rasminya dibuka kepada orang ramai.

Namun, memandangkan laluan ini berada dalam kawasan keselamatan, pihak tentera masih lagi menggalas tanggungjawab memastikan keselamatan pengguna lebuh raya ini. Ketika itu, lebuh raya ini hanya boleh digunakan pada waktu pagi sahaja memandangkan terdapat risiko serangan komunis pada waktu malam. 

sejarah lebuhraya barat timur grik jeli

Tiada kenderaan dibenarkan melaluinya selepas pukul 6 dan terdapat beberapa pos keselamatan di lebuh raya ini. Pos kawalan keselamatan ini akhirnya ditamatkan perkhidmatannya pada tahun 1989 selepas termeterainya perjanjian damai komunis di Hatyai dan yang menyaksikan Parti Komunis Malaya (PKM) meletakkan senjata,

Pada masa kini, terdapat 5 kawasan Rawat dan Rehat (R&R) di sepanjang lebuh raya iaitu di Perah (Gerik), Pulau Banding, Air Banun, Titiwangsa dan Tasik Pergau. Pengguna yang melalui lebuh raya ini juga dapat menyaksikan sendiri keindahan Tasik Temenggor yang terhasil daripada pembinaan Empangan Temenggor.

Kredit:

  1. MStar
  2. Wikipedia
  3. Orang Perak



Hakcipta iluminasi.com (2017)