Salah satu watak kartun yang paling dikenali ramai ialah Hello Kitty. Watak kucing yang menjadi simbol kawaii (comel) itu mempunyai die hard fan yang ramai di banyak negara. Hasil daripada populariti yang diperolehi selama beberapa dekad, Hello Kitty dilabel sebagai rangkaian media kartun kedua paling laris selepas Pokemon.

Gambar Fan Man Yee

Di sebalik popularitinya yang luar biasa, terdapat kisah asal-usul menyeramkan yang menyelubungi kartun Hello Kitty tersebar di internet. Berikut adalah kisahnya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Urban legend Hello Kitty

Menurut legenda, Hello Kitty sebenarnya dicipta oleh seorang wanita dari China pada sekitar tahun 1970-an. Dikatakan bahawa wanita itu mempunyai seorang anak perempuan yang didiagnosis dengan penyakit kanser mulut.

Doktor memberitahu wanita itu bahawa kesihatan anaknya semakin merosot dan tiada apa yang mereka mampu lakukan untuk menyelamatkan nyawa anak kesayangannya itu.

Si ibu tidak berputus asa dan dia melawat setiap kuil yang ada untuk mendoakan kesihatan anaknya. Namun, tiada sebarang perubahan positif membuatkan si ibu semakin hilang harapan.

Ibu yang terdesak itu kemudian mencuba ikhtiar terakhir iaitu dengan menggunakan ilmu hitam. Dia mula terlibat dengan upacara dan pemujaan syaitan. Menurut legenda lagi, dia telah membuat perjanjian dengan iblis dalam usaha untuk menyelamatkan anaknya.

Perjanjian dengan iblis

hello kitty pernjanjian dengan syaitan 768

Untuk memulihkan anak perempuannya, iblis telah meminta sesuatu sebagai balasan. Si ibu diminta mencipta satu watak yang menarik minat kanak-kanak di seluruh dunia. Iblis mahu menggunakan populariti watak itu bagi memperdaya seramai mungkin orang untuk menyembahnya.

Apabila anak perempuannya pulih daripada kanser, si ibu menunaikan janjinya kepada iblis dengan mencipta watak Hello Kitty.

Wanita itu mencipta Hello Kitty tanpa mulut, kononnya bagi melambangkan anaknya yang menghidap kanser mulut. Dikatakan sesiapa yang membeli barangan Hello Kitty sebenarnya mempelawa iblis ke dalam hati mereka.

Malah, Hello Kitty juga sering digunakan oleh golongan pemuja syaitan sebagai lambang rahsia logo watak itu ditatukan pada kulit mereka. Pemuja syaitan juga memberi gelaran kepada Hello Kitty sebagai "Anak Perempuan Syaitan".

Kisah sebenar Hello Kitty

hello kitty

Sebenarnya, kisah legenda tadi adalah mitos semata-mata dan tidak berasas. Watak fiksyen Hello Kitty sebenarnya dicipta oleh artis bernama Yuko Shimizu untuk syarikat Sanrio pada tahun 1974.

Pada mulanya, Hello Kitty merupakan watak bagi hiasan pada beg tangan. Sanrio adalah sebuah syarikat yang khusus dalam produk berkaitan budaya kawaii (comel) Jepun sejak awal 1960-an lagi.

Yuko mencipta Hello Kitty tanpa mulut supaya peminat dapat mengekspresikan perasaan mereka pada patung itu. Jika anda sedih maka patung boleh digambarkan turut bersedih dan jika anda gembira, maka patung itu juga sedang bergembira.

Hello Kitty menjadi kegilaan ramai dalam sekelip mata. Bukan sahaja ia popular di Jepun tetapi juga di seluruh dunia. Ia menjadi aset terbesar syarikat Sanrio dan francais Hello Kitty berjaya memperoleh lebih daripada RM 330 bilion sepanjang 47 tahun penciptaannya.

hello kitty fans

Walaupun Senrio mempunyai lebih 400 watak fiksyen lain, Hello Kitty merupakan watak paling berjaya sehingga menjadi trademark syarikat itu. Populariti watak itu semakin melonjak naik pada akhir 1990-an apabila Mariah Carey menggunakan Hello Kitty sebagai fesyennya. 

Kisah Pembunuhan Fan Man Yee

Walaupun kisah Hello Kitty yang dikaitkan dengan iblis tadi adalah mitos, namun terdapat satu kisah hitam yang benar-benar berlaku dikaitkan dengan watak kucing comel itu.

Pada tahun 1999, satu pembunuhan kejam telah berlaku di Hong Kong yang dikenali sebagai Pembunuhan Hello Kitty. Kisahnya bermula apabila seorang wanita yang bekerja sebagai pelayan kelab malam telah mencuri dompet salah seorang pelanggannya. 

Dia kemudian diculik, dikurung dan diseksa oleh tiga orang lelaki selama sebulan di sebuah pangsapuri. Wanita itu kemudian dibunuh (atau mungkin mati disebabkan kecederaan). Kepalanya kemudian dipotong dan disembunyikan dalam sebuah patung Hello Kitty besar berbentuk ikan duyung.

hello kitty fan man yee

Kejadian itu dilaporkan oleh seorang remaja yang juga merupakan teman wanita kepada salah seorang suspek. Gadis yang turut bersekongkol dalam pembunuhan itu mendakwa bahawa dia sering diganggu hantu wanita yang mati itu sehingga tidak tahan dan memberitahu pihak berkuasa.

Rujukan:

1. Sejarah Hello Kitty

2. Watak kartun kucing comel yang menjadi kegilaan ramai

3. Urban Legend Hello Kitty

4. Pembunuhan Hello Kitty




Hakcipta iluminasi.com (2017)