Kredit foto: Instagram Azian Mazwan Sapuwan
Penyanyi Azian Mazwan Sapuwan meluahkan rasa ralat rentetan tidak berpeluang berada di sisi Mohammad Aqil Zulkarnain, 19, yang juga merupakan anak keempatnya ketika remaja itu meninggal dunia di Hospital Selayang, jam 11.30 pagi pada Isnin.
Azian berkata, sehari sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir, dia seakan dapat merasai arwah bakal pergi buat selamanya memandangkan sudah tiga minggu terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Saya sedikit ralat apabila tidak dapat bersama arwah ketika dia menghembuskan nafas terakhir.
“Sehari sebelum menghadap Ilahi, dia sedarkan diri apabila dapat membuka matanya sedikit.
“Ketika itu saya berada di hospital sedikit lama sehingga ditegur jururawat kerana sudah melebihi waktu lawatan.
“Keesokan harinya saya dimaklumkan anak sudah meninggal dunia namun saya dan suami sempat mengajarnya mengucap. Saya reda dengan pemergiannya,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Jenazah yang disembahyangkan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya kira-kira 10.30 pagi, semalam.
Dalam pada itu, Azian berkata, dia sempat mendengar cerita daripada mulut arwah sendiri berhubung kemalangan yang dialami pada 22 November lalu.
Kredit foto: Instagram Azian Mazwan Sapuwan
“Arwah asalnya tidak koma tapi selepas kemalangan dia perlu menjalani pembedahan pada anggota badan yang mengalami kecederaan parah.
“Disebabkan itu, dia perlu ditidurkan atas nasihat doktor bagi memastikan anggota badannya segera pulih. Namun mungkin ajalnya sudah tiba,” katanya.
Terdahulu, Aqil yang cedera parah di bahagian abdomen dan beberapa organ, susulan kemalangan jalan raya, terpaksa ditahan di ICU.
Azian turut mempunyai enam lagi zuriat iaitu Mohammad Ashraf, Nur Athirah Hanim, Mohammad Azrail, Mohammad Amil, Mohammad Adib dan Anastasia Ayra.
Sumber berita: Azian ralat tak bersama arwah anak di saat akhir