Kredit foto: Instagram Firman Siagian

Penyanyi Indonesia, Firman, menjelaskan sebab sebenar dia tampil berkaca mata hitam setiap kali membuat persembahan.

Menurut Firman atau nama sebenarnya, Firman Siagian, 39, dia tidak mempunyai keyakinan diri kerana merasakan matanya kurang menarik.

"Sebenarnya, inilah imej saya sejak 2005, ketika awal pembabitan saya dalam industri muzik Indonesia.

"Tidak tahu kenapa, saya kurang suka dengan mata saya. Mata saya ini terasa seperti memberikan reaksi wajah yang garang dan jahat.

"Sedikit sebanyak ia mengganggu tumpuan saya kerana kurang keyakinan diri," katanya menurut laporan BH Online.

Penyanyi kelahiran Balige, Toba Samosir, Indonesia, ini mendedahkan penglibatan dalam Gegar Vaganza 4 (GV4) membuka ruang untuk mengembangkan lagi kerjayanya dalam industri muzik tempatan.

Malah sudah ada beberapa syarikat rakaman menawarkan kontrak untuk menguruskan kariernya di sini.

"Alhamdulillah, GV4 ialah program besar dan saya tahu, ia memberi impak kepada karier nyanyian. Walaupun masih dalam pertandingan, saya sudah mendapat lamaran daripada beberapa syarikat rakaman.

"Malah, syarikat rakaman di Indonesia juga turut melamar saya untuk menjadi artis naungan mereka.

"Tak kisahlah mana-mana, janji saya mahu tampil dengan single baharu untuk pasaran Malaysia selepas ini," katanya lagi.

Minggu keenam GV4 Ahad ini bakal menyaksikan Firman membawa lagu 'Terakhir' nyanyian asal Sufian Suhaimi, dalam konsert bertemakan 'Jangan Kata Tak Tahu'.

Konsert GV4 yang dikemudi pasangan hos Nabil Ahmad dan Jihan Muse, bersiaran setiap Ahad, jam 9 malam di saluran Astro Ria.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)