kedai ini hidang makanan sepantas kilat

Mencari restoran atau kedai makan yang menghidangkan makanan yang sedap dan pantas biasanya satu perkara yang sukar. Biasanya kedai yang mempunyai makanan yang sedap dikunjungi orang ramai, menyebabkan makanan anda mungkin mengambil masa sedikit lama untuk dihidangkan kepada anda.

Namun, sebuah restoran di Mexico boleh berbangga apabila restoran mereka merupakan pemegang rekod dunia bagi masa terpantas menghidangkan makanan. Anda mungkin tidak menyangka seberapa pantaskah tempoh masa yang diambil sebaik sahaja pesanan anda diambil sehinggalah makanan tersebut tiba di meja anda.

Karne Garibaldi, rangkaian kecil restoran yang berpangkalan di Guadalajara, Mexico memegang Rekod Dunia Guinness untuk perkhidmatan makanan terpantas dengan para pelayan menyediakan menu penuh dalam masa 13.5 saat sahaja! Ya, kurang daripada 20 saat sahaja anda boleh menikmati makanan anda. 

Sebaik anda mendapat tempat duduk di restoran Karne Garibaldi di Guadalajara ini, anda hampir tidak akan mempunyai masa untuk melihat pelbagai mural yang menghiasi dinding restoran ini sebelum pinggan makanan yang dikenali "carne en su jugo" (terjemahannya bermaksud "daging dalam jusnya") diletakkan atas meja anda. 

Bermula sebagai sebuah pertandingan

restoran terpantas dunia

Kebanyakan daripada kita pastinya pernah merasai pengalaman terpaksa menunggu lama sebelum pelayan restoran mengambil pesanan daripada anda sebelum anda terpaksa menunggu sekali lagi sehinggalah makanan anda siap dihidangkan. 

Namun, di restoran ini masa anda tidak akan dibazirkan untuk menunggu makanan. Menurut Daniel Flores, pengurus salah satu daripada enam cawangan Karne Garibaldi, ia bermula sebagai satu cabaran antara pelayan di restoran itu untuk melihat siapa yang boleh membawa makanan ke setiap meja paling cepat.

Persaingan itu membawa kepada usaha mereka untuk mencuba mencatatkan Rekod Guinness. Hampir 20 tahun kemudian, para pelayan masih berbangga dengan kepantasan perkhidmatan mereka dan kebanyakan pelanggan akan mendapati makanan mereka tiba dalam masa kurang satu minit selepas memesannya. 

Selepas pelanggan selesai memberikan pesanan mereka kepada para pelayan, ia hanya mengambil masa lebih sedozen saat sebelum pinggan mencecah meja mereka, sesuatu yang sangat mengagumkan bagi kebanyakan pengunjung yang pernah menjamu selera di restoran ini.

Restoran Karne Garibaldi telah memegang rekod dunia untuk perkhidmatan makanan terpantas di dunia (13.5 saat) sejak tahun 1996. Sejak itu beberapa restoran telah cuba merampas rekod Guinness ini dari Karne Garibaldi selama bertahun-tahun tetapi sehingga kini tidak ada yang berjaya.

Apakah rahsianya?

Bagaimanakah restoran ini dapat menghidangkan makanan dengan sebegitu pantas? Terdapat beberapa faktor dan antara faktor utamanya adalah kerana restoran ini hanya menghidangkan menu "carne en su jugo", hidangan popular tempatan yang berasal dari Guadalajara dan negeri barat Jalisco.

Hidangan ini secara tradisinya dibuat oleh ibu-ibu yang menggunakan resipi keluarga yang diwarisi turun-temurun tetapi sejak ditubuhkan pada 1970, Karne Garibaldi telah menjadi sinonim dengan hidangan ini.

Hidangan tradisional Mexico ini juga memerlukan masa memasak yang lama kerana perlu dimasak secara perlahan, jadi ia sudah sedia dimasak apabila restoran ini mula beroperasi setiap hari. Walau bagaimanapun, proses mennyiapkan makanan, mendapatkannya dari dapur dan menghantarnya ke meja makan dalam masa kurang dari 15 saat tetap memerlukan kordinasi dari setiap pekerja. 

Oleh itu, kepantasan pelayan restoran ini bukanlah faktor paling penting untuk menjadikan perkhidmatan mereka terpantas. Setiap pekerja dilatih untuk belajar cara menjadi cekap, tetapi terdapat keseluruhan proses di sebalik penyediaan makanan yang membolehkan aliran kerja menjadi pantas dan berkesan.

"Carne en su jugo"

carne en su jugo

Dihidangkan dalam pinggan tanah liat yang dibuat oleh tukang-tukang di daerah Tonaláda di bandar ini, ia pada asasnya adalah kuah daging dengan ketulan daging lembu yang berair dan daging rangup. Ia disertakan dengan tortilla jagung buatan sendiri yang disalut sedikit lemak babi, yang bertujuan untuk digulung dan dicelup ke dalam sup.

Pengunjung juga boleh menyedapkan hidangan dengan pilihan salsa berasaskan tomato, jus limau nipis, ketumbar cincang, bawang mentah potong dadu, bawang besar panggang dan toreados cili. Makanan ini biasanya dilengkapkan denggan secawan horchata, air bunga raya atau bir sejuk.

Resipi "Carne en su jugo" di restoran ini adalah rahsia yang disimpan rapi, tetapi kebanyakan resipi bermula dengan menggoreng daging cincang dalam kuali sehingga ia garing. Selepas mengeluarkannya dan meletakkannya di sebelah, daging lembu cincang atau stik potong dadu akan digoreng dalam kuali sehingga perang.

Selepas itu ditambah kacang pinto dan campuran tomato atau tomatillos yang telah dikisar bersama bawang putih, lada serrano, air, sedikit stok ayam, garam dan lada sulah secukup rasa. Tutup kuali dan biarkan ia mendidih selama kira-kira sejam sebelum mengacau daging rangup tersebut dan menghidangkannya.

Kredit:

  1. Vice


Hakcipta iluminasi.com (2017)