Oleh pada 12 Dec 2018 kategori

Sizzling yee mee senang dibuat dimana bahan-bahannya senang dicari. Jika anda tiada hot plate, anda tidak perlu risau kerana yang penting kuah tersebut kena padu, pekat dan likat.

Jika menggunakan plate sizzling, anda perlu faham bahawa plate tersebut dibuat daripada besi. Jadi, jika dibiarkan basah atau lembab akan menyebabkan plate tersebut berkarat.

Jika telah berkarat, janganlah dibuang, tetapi cuci bersih-bersih sehingga hilang semua karatnya.

Untuk mengelakkan plate besi tersebut dari berkarat, selepas digunakan terus dibasuh dan terus panaskan di atas api sehingga plate benar-benar kering dan sejukkan. Seterusnya, sapu minyak masak di permukaannya sewaktu masih panas. Setelah sejuk, bolehlah disimpan seperti biasa di tempat yang kering. 

Sizzling yee mee hendaklah dimakan ketika masih panas. Ia enak dimakan bersama cili api yang dipotong kecil yang direndamkan bersama kicap cair yang diperah limau nipis.

Anda tidak perlu tunggu sehingga ada hot plate terlebih dahulu untuk mencubanya. Guna kuali biasa di rumah pun tiada masalah.   

Sizzling Yee Mee Cantonesse Style

Bahan-bahan:

  • 1 labu bawang putih (diketuk atau dihiris)
  • 1 labu bawang holland
  • 2-3 inci halia (dihiris nipis)
  • 5-6 tangkai cili kering (dipotong dua)
  • Sebelah dada ayam atau campur
  • Sebungkus cendawan shitake (ikut suka)
  • 3 -4 sudu besar sos tiram
  • 3-4 sudu besar kicap pekat
  • 2-3 sudu besar kicap cair
  • Serbuk lada hitam (ikut citarasa mahu lebih atau kurang)
  • Sesudu kecil minyak bijan
  • 4-5 cawan air (ikut citarasa pun boleh)
  • 3-4 sudu besar tepung jagung untuk pemekat (harus dibancuh dengan air)
  • Sayur sawi / pak choy
  • Yee mee

Cara penyediaan:

1. Perap ayam dan cendawan shitake dengan sos tiram, kicap hitam atau kicap pekat, kicap cair, lada hitam, garam dan perasa secukupnya selama sejam di dalam peti ais.

2. Tumis bawang putih, halia, bawang hollad dan cili kering sehingga kekuningan.

3. Masukkan ayam dan cendawan goreng dalam 5 minit biar ayam keluarkan jusnya dan masukkan air. Biarkan seketika sehingga ayam masak.

Tips: Pemilik resepi inginkan kuah yang manis dari isi ayam, jadi beliau masak selama sejam dengan api sederhana dan selalu tambahkan air.

4. Rasakan kuahnya biar secukup rasa.

5. Masukkan minyak bijan dan tutup seketika.

6. Pastikan cendawan dan ayam betul-betul masak barulah masukkan cecair tepung jagung untuk memekatkan kuah.

7. Tutup api.

Penyediaan di hot plate:

1. Masukkan mee atas hot plate, letakkan sayur di atasnya, kemudian curahkan kuahnya sesenduk di atas mee tersebut. Jika tiada hot plate, masukkan mee diikuti dengan kuah dan sayur.

2. Pecahkan telur jika mahu dan teruskan mencurahkan kuah beserta lauk dan cendawan secukupnya.

3. Boleh sahaja satukan, masukkan yee mee bersama kuah dalam kuali.

Tips:

➡ Jika mahu yee mee rangup, teruskan masuk dalam pinggan dan curahkan kuah ke atas yee mee.

➡ Jika mahu yee mee lembut, celur di dalam air yang panas sebentar, jangan terlalu lama.

➡ Jika mahu sedap kuahnya, perlu masak lama. Lebih lama, lebih sedap. Jika ada tulang ayam, boleh campurkan sekali. Selepas itu, baru keluarkan. Biar jus manis ayam bercampur dengan kuah tadi.

Resepi Bonus: Homemade Sizzling Yee Mee Simple dan Jimat

homemade sizzling yee mee

➡ Sesuai untuk ibubapa yang mempunyai ramai anak, kos kurang dari RM15.

➡ Masak dalam frying pan, pindahkan dalam pinggan.

➡ Hidangan untuk 6-7 orang.

Bahan-bahan kuah:

  • 2 ketul bahagian dada ayam (seekor ayam potong 4, amik semua bahagian dada kecuali sayap)
  • Cendawan shitake
  • 2 inci halia (diketuk)
  • 5 ulas bawang putih (diketuk)
  • 8 tangkai lada kering (dipotong)
  • 2 ketul kiub ayam
  • Kicap
  • 2.5 air
  • Tepung jagung

Cara penyediaan kuah:

1. Tumiskan halia dan bawang putih sehingga wangi. Kemudian, masukkan cili kering.

2. Masukkan ayam, kacau sehingga ayam separuh masak. Kemudian, masukkan pula cendawan. Apabila ayam hampir masak, masukkan kicap ikut dalam setengah cawan. Kacau sebentar.

3. Masukkan air dan kiub ayam. Renehkan sehingga ayam empuk. Bagi yang mahu jadi Paris blackpepper, tambah lada hitam yang ditumbuk.

4. Apabila telah agak masak, bancuhkan tepung jagung dengan air ikut kepekatan yang anda mahukan dan masukkan dalam kuah tadi. Pemilik resepi buat dalam 3 sudu besar.

Bahan sizzling yee mee:

  • Sebungkus yee mee direndam dalam air suhu bilik selama 10-15 minit
  • Telur
  • Sayur

Cara penyediaan sizzling yee mee:

1. Panaskan kuali.

2. Letak mi.

3. Tuang kuah.

4. Pecahkan telur.

5. Letak sayur.

6. Agak-agak telur sudah masak, pindahkan ke dalam pinggan.

Sumber:

1. Nita-nvoo Daniels [1, 2]

2. Azilawati Rozaimee [1, 2]

3. Kathyjem (kathyjem.blogspot.com) [1, 2]

4. Resepi Cikgu Ani (resepicikguani.blogspot.com) [1, 2]

5. Fitrie Zahir (fitriezahir.blogspot.com) [1, 2]

6. Fiza's Cooking (fizalgk.blogspot.com) [1, 2]




Hakcipta iluminasi.com (2017)