Amplang merupakan sejenis makanan ringan berasaskan ikan. Ia pada kelazimannya adalah berbentuk bulat dan berwarna putih.

Amplang adalah produk yang dikenali berasal dari ketapang Provinsi Kalimantan Barat di Indonesia.

Kerupuk ini dibuat daripada ikan tenggiri yang dicampur tepung kanji dan ditambahkan bahan-bahan lain, yang kemudiannya digoreng.

Berikut ialah langkah-langkah yang terlibat dalam pemprosesan amplang: 

➡ Mengadun: Isi ikan diadun bersama tepung kanji serta ramuan lain untuk membentuk doh.

➡ Membentuk: Doh dibentuk menjadi ketulan silinder besar seberat 500 gram, lalu dipotong kecil secara melintang. Setiap potongan kecil tadi dibentuk silinder sekali lagi dengan saiz yang lebih kecil sebelum dipotong halus.

➡ Memasak: Amplang yang dipotong halus-halus digoreng di dalam minyak yang banyak selama lebih kurang 30 minit sehingga betul-betul rangup. Amplang sentiasa dikacau ketika digoreng untuk mengelakkannya menjadi hangit. 

➡ Mengetos: Setelah digoreng, amplang ditoskan untuk membuang sisa-sisa minyak. 

➡ Pembungkusan dan penyimpanan: Amplang yang telah siap, dibungkus dalam plastik kedap udara lalu disimpan pada suhu bilik. Ia dijauhkan daripada pancaran cahaya matahari dan selamat daripada serangan serangga.

 

Keropok Amplang Sabah

  

keropok amplang sabah

Kredit foto: Shafiq Abd Latif‎ (Gambar bukan menggunakan resepi dibawah)

 

Bahan-bahan:

  • Ikan parang (300gm)
  • Tepung ubi (280gm)
  • Tepung gandum (20gm)
  • Telur (1 biji)
  • Minyak (30ml)
  • Garam dan gula (secukup rasa)

 

Cara membuatnya:

1. Rebuskan ikan dan ambil isinya.

2. Kemudian, campurkan isi ikan dengan telur dan minyak. Gaul rata.

3. Masukkan tepung ubi, tepung gandum, garam dan gula secukup rasa.

4. Uli sehingga menjadi doh. Selepas itu, bentuk menjadi bebola kecil dan rebus sehingga masak.

5. Kemudian, jemur bebola sehingga kering. Apabila sudah kering, ia sedia untuk digoreng.

6. Panaskan minyak dan goreng amplang sehingga kembang. Angkat dan toskan. Setelah sejuk, simpan di dalam bekas kedap udara untuk dinikmati ketika santai.

  

keropok amplang sabah 1

 

Nota:

✔ Jika sukatannya betul, amplang yang dihasilkan akan menjadi rapuh, rangup dan enak untuk dinikmati.

✔ Sekiranya terlebih sukatan atau sebaliknya, amplang akan menjadi sedikit keras dan rasanya kurang sedap.

 

Sumber:

1. Facebook Koleksi Resepi-Resepi Unik Dan Kreatif [1, 2]

2. Wikipedia Amplang



Hakcipta iluminasi.com (2017)