Oleh pada 14 Apr 2019 kategori

Bakso ialah sejenis hidangan Indonesia yang merupakan bebola daging.

Ia lazimnya dibuat daripada campuran daging lembu dan tepung ubi kayu, namun boleh juga dibuat daripada daging ayam, ikan atau udang.

Lazimnya, bakso dihidangkan dalam sup lembu dengan mi kuning atau bihun dan mengandungi sayur jeruk, taufu, kailan, taugeh, siomai (sejenis dim sum), kulit wanton goreng dan disajikan dengan bawang goreng dan daun saderi.

Bakso ada dijual di seluruh Indonesia oleh penjaja dan restoran.

Sekarang, ia turut dijual dalam bentuk makanan beku yang mudah diperolehi di pasaraya di seluruh Indonesia.

Bakso turut boleh dihiris dan dimasak dalam hidangan mi goreng, nasi goreng atau cap cai (sayur campur).

Ia dipercayai datangnya daripada hidangan peranakan Tionghoa Indonesia.

Sekarang, terdapat dua jenis bakso yang popular iaitu bakso solo dan bakso malang.

Bakso solo berasal dari Jawa Tengah, sementara bakso malang pula berasal dari Jawa Timur.

 

Bakso

 

Bahan-bahan:

 

Bahan A (dikisar halus):

  • Bawang kecil (12 biji)
  • Bawang putih (6 biji)
  • Buah pala (1 biji) - dibuang kulitnya dan diketuk dengan lesung
  • Buah keras (1 paket) - berharga RM1 di kedai runcit
  • Lada hitam (1/2 sudu)
  • Lada sulah (1 sudu serbuk)

 

Bahan B (diketuk sahaja):

  • Serai (2 batang)
  • Halia (2 inci)
  • Lengkuas (3 inci)

 

Bahan C:

  • Air rebusan daging/tulang (1 liter) - jika tiada, boleh gunakan kiub pati daging
  • Bebola daging (400g)

 

Bahan-bahan lain:

  • Bihun - dicelur
  • Kubis - dipotong nipis
  • Daun sup
  • Daun bawang
  • Bawang goreng
  • Sos cili
  • Kicap
  • Sambal kicap

 

Cara penyediaan:

1. Kisar halus kesemua bahan A dalam pengisar.

2. Ketuk kesemua bahan B. 

3. Panaskan minyak dan tumis bahan B yang telah diketuk tadi.

4. Kemudian, tumis bahan A yang siap dikisar tadi sehingga pecah minyak atau garing.

5. Masukkan air rebusan daging, bahan yang siap ditumis tadi dan bebola daging.

6. Masak sehingga empuk. Jangan lupa masukkan garam. Boleh juga masukkan Ajinomoto mengikut citarasa masing-masing.

bakso 1

 

Nota:

✔ Resepi ini untuk hidangan 2-3 orang. Jika mahu buat banyak, gandakan.

✔ Pemilik resepi belajar membuat hidangan ini dari pembantu rumahnya yang berasal dari Jawa Tengah.

 

Sumber:

1. Siti Aisah Rafee [12]

2. Wikipedia Bakso




Hakcipta iluminasi.com (2017)