Oleh pada 16 Oct 2018 kategori

Kredit foto: Shafini Saupi (gambar bukan menggunakan resepi dibawah)

Sua Rong Hai merupakan sejenis makanan tempatan dari Timur Laut Thailand yang secara ringkasnya dimasak dari daging dada lembu, diperisa dengan rempah ratus, dipanggang dan dihiris menjadi kepingan kecil.

Menu ini juga dihidangkan bersama pulut dan hidangan lain. Namanya diberikan berdasarkan mitos tempatan yang bermaksud harimau menangis.

Jika anda masih belum mencuba daging bakar harimau menangis yang tular, anda perlu cuba. Untuk pengetahuan anda, harimau menangis ini merupakan bahagian daging lembu yang memang lembut dan mempunyai sedikit lemak.

Secara ringkasnya, daging tersebut diperap dengan sos tiram, bawang putih, gula perang, garam dan lada sulah. Kemudian, ianya dibakar atas arang. 

Kemudian, potong nipis dan cicah dengan air asam yang masam-masam, manis dan pedas itu. Kelembutan dagingnya sehingga cair di mulut. Diganding pula dengan nasi beras wangi, memang kecur air liur dibuatnya.

Cuma, resepi ada diubah sedikit oleh pemiliknya untuk sedapkan tekaknya. Biasanya jika beliau bakar daging untuk BBQ memang begini, tidak perlu banyak bahan. Cuma boleh tukar sos ikan kepada kicap biasa kalau tiada.

Resepi perapan daging ini memang sangat sedap dan sesuai untuk daging dan ayam. Apa-apa pun, selamat mencuba.

Bahan-bahan:

  • 2 kg daging dipotong kecil atau sesuka hati tidak kisah bahagian mana
  • 5 sudu besar sos cili Maggi
  • 5 sudu besar sos tiram
  • 6 sudu besar sos blackpepper
  • 6 sudu besar sos ikan (jika tiada ganti dengan kicap biasa)
  • 1 1/2 sudu besar lada hitam tumbuk
  • 2 sudu gula
  • 1 sudu kecil garam tidak perlu banyak
  • 1/2 cawan minyak masak

Cara penyediaan:

1. Campur kesemua bahan di atas kecuali minyak masak dalam 30 minit.

2. Kemudian baru tuang minyak masak dan gaul sebati. Perap lagi dalam 2 jam.

3. Sedia untuk dibakar.

Nota: Tujuan letak minyak masak untuk bagi daging lembut dan juicy.

Sos cili ala Thai viral

Bahan-bahan:

  • segenggam asam jawa*
  • 1 cawan air suam* - campur keduanya hanya ambil air asam jawanya sahaja
  • 3 sudu sos ikan
  • 1 biji limau nipis
  • 1 keping gula melaka ditumbuk halus
  • 10 biji cili api tumbuk halus (nak pedas boleh tambah lagi)
  • 8 biji bawang merah kecik dihiris nipis
  • beras di sangrai (digoreng tanpa minyak dan tumbuk halus)
  • daun ketumbar dipotong halus
  • garam

Nota: Sos ini tidak terlalu manis. Masam-masam manis pedas menyengat.

Cara penyediaan:

1. Air asam jawa, sos ikan, gula melaka, cili api tumbuk, bawang merah, beras tumbuk dan daun ketumbar dicampur bersama dalam satu bekas.

2. Tambah sedikit air masak jika adunan kelihatan terlalu pekat.

3. Perah limau nipis dan perasakan dengan sedikit garam.

Sos blackpepper mushroom

Bahan-bahan:

  • 2 sudu besar mentega
  • 2 sudu besar tepung gandum
  • 1 sudu kecil lada hitam
  • 5 sudu besar sos lada hitam
  • 1 kiub stok ayam
  • 2 sudu besar sos tiram
  • 1/2 cawan sos perapan daging
  • 1 sudu kecil kicap pekat
  • 1/2 cawan whipping cream (jika tiada gantikan dengan susu segar)
  • 2 cawan air (jika pekat adunan boleh tambah air)
  • mushroom dalam tin dihiris nipis

Cara penyediaan:

1. Panaskan mentega dalam periuk.

2. Masukkan tepung gandum dan kacau sekata.

3. Masukkan 2 cawan air dan kacau menggunakan whisker sehingga sebati.

4. Masukkan sos lada hitam, sos tiram, lada hitam tumbuk, stok ayam, sos perapan daging, kicap pekat dan whipping cream.

5. Kacau sekata dan jika adunan pekat boleh tambah sedikit air sehingga dapat kepekatan yang diingini.

Anda juga boleh pergi ke kedai Grillsmoke Reko di Food Valet. Daging bakar di sini lain macam punya sedap. Ada rasa manis-manis buah. Selain Harimau Menangis, ada juga daging Wagyu dan Sadao. Mesti berbaloi punya. 

Lokasi: Taman Ramal Suria, 43000 Kajang, Selangor 

https://goo.gl/maps/KQoHWN4dW2A2

daging bakar harimau menangis 2

Kredit foto: Shafini Saupi (gambar bukan menggunakan resepi di atas)

Sumber:

1. Tahrunnisah Jali [1, 2]

2. Kamarul Ariffin Nor Sadan [12]

3. Wikipedia Sua Rong Hai




Hakcipta iluminasi.com (2017)