rayyan tercalon rita rudaini ada masalah 1

Kredit foto: Instagram Rita Rudaini

Aktres Rita Rudaini memberitahu anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin, 9, berada dalam keadaan teruja apabila turut menyertai pencalonan Top 20 kategori Si Cilik MeleTop di Anugerah MeleTop ERA 2018 (AME2018).

Malah Rita, 42, juga menyatakan dia tidak mempunyai masalah apabila nama anaknya dipilih untuk bertanding dalam acara hiburan itu.

“Pada mulanya saya terkejut dimaklumkan perkara ini. Lagi pula, ini kali pertama anak saya tercalon acara anugerah.

“Saya okey saja dan tidak ada masalah. Tambahan pula, syarat bagi kategori ini adalah anak artis itu perlu ada akaun Instagram. Kebetulan, dua anak saya memiliki IG yang diwujudkan tahun lalu.

“Apabila saya beritahu namanya tercalon, Rayyan suka dan tidak berhenti bertanya. Malah, ketika nak menghadiri acara sidang media, Rayyan beritahu dia gementar dan tidak tahu nak cakap apa jika ada wartawan bertanya soalan. Rasa kelakar melihat gelagatnya,” kata Rita memetik laporan Harian Metro.

rayyan tercalon rita rudaini ada masalah 2

Kredit foto: Instagram Rita Rudaini

Dalam pada itu, Rita menegaskan ia bukan bererti beliau mahu anak kecilnya itu terlibat dalam industri.

Sebaliknya, aktres ini lebih menekankan soal pelajaran sebelum kedua-dua puteranya sudah mempunyai pilihan dan minat tersendiri menjelang dewasa.

Rita mendedahkan, anaknya juga diintai para pengarah dan penerbit yang bertanyakan sekiranya dia berminat untuk berlakon.

“Rayyan selalu cakap nak berlakon. Malah, kalau ada penerbit atau pengarah bertanya kepadanya, dia menyatakan berminat.

“Cuma, buat masa sekarang saya tidak mahu memberi pendedahan kepadanya. Kalau saya bagi sekali, nanti dia akan suka dan bimbang berterusan. Apa jadi kepada pelajaran dan persekolahannya?" ujar Rita.

Kata Rita lagi, pengalaman hidup sebagai anak seni membuatkannya lebih berhati-hati dalam menentukan hala tuju anak-anaknya.

“Kalau boleh, saya nak mereka berjaya dalam pelajaran dahulu. Saya sudah lalui kehidupan sebagai anak seni. Jadi, saya tidak mahu anak merasai pengalaman sama. Apabila sudah besar, terpulang pilihan masing-masing,” katanya.

Sumber berita: Harian Metro


tags : , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)