Kredit foto: mynewshub.cc

Sesi persekolahan yang membuka tirai, memberikan tanggungjawab berat buat aktres Rita Rudaini untuk menguruskan kedua anaknya, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna masing-masing di Tahun Tiga dan di Tahun Satu.

Mengulas perkara itu, Rita memberitahu dia terpaksa mengambil cuti dua minggu untuk melangsaikan hal ehwal persekolahan mereka.

"Bukan senang jadi ibu tunggal. Saya kena kerja lebih untuk membahagiakan anak-anak, termasuk mengatur perbelanjaan sekolah mereka.

"Jauh lagi perjalanan ini. Iyalah, saya bukan ada orang 'bela'. Saya sendirian menanggung dan membela anak.

"Tapi, alhamdulillah, rezeki anak ada saja. Cukup makan dan pakai untuk kami anak beranak, saya sudah bersyukur," jelasnya menurut portal BH Online.

Rita berkata, dia berasa lega kerana Arjuna yang baru menapak di tahun satu itu sudah pandai berdikari.

saya bukan ada orang bela rita rudaini 2

Kredit foto: Instagram Rita Rudaini

"Arjuna suruh saya balik rumah dan tak perlu menunggunya di sekolah. Dia memang tampak berdikari.

"Namun, saya tetap tunggu sebab sudah mengambil cuti bagi meluangkan masa dengan anak," katanya.

Sementara itu, Rita menghargai momen yang dilalui dalam kehidupannya kini.

"Masa beginilah paling bernilai kerana dapat tengok mereka membesar depan mata. Maklumlah, saya tak ada pembantu rumah mahupun pembantu peribadi," katanya.

Dalam pada itu, Rita berkata, dia tidak berasa ralat menyelesaikan kesemua tanggungjawab termasuk yang berkaitan dengan anak-anaknya.

"Saya memang jenis yang 'mak-mak' sikit. Hendak semua diuruskan di depan mata. Alhamdulillah, semua masih terkawal. Saya akan beri yang terbaik untuk mereka. Rayyan dan Arjuna adalah 'syurga' saya," katanya.

Mengenai perkembangan kerjaya seni, Rita kini diberi peranan sebagai hos program WOW Sangat yang ke udara setiap Ahad di saluran TV9.

Menurut Rita, dia semakin selesa menceburi bidang pengacaraan selepas pengalaman yang diraih sewaktu mengemudi malam kemuncak Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) tahun lalu.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)