servis bekukan tubuh untuk hidup semula

Dalam karya sains fiksyen, terdapat banyak contoh adegan di mana individu-individu yang disejuk bekukan mempunyai keupayaan untuk dibangkitkan semula selepas satu tempoh panjang. 

Filem seperti 'Don't Look Up,' 'Demolition Man,' 'Alien', 'Passengers' dan bermacam lagi karya lain memperkenalkan imaginasi kita kepada watak-watak fiksyen yang pernah 'ditidurkan' sebelum mereka dikejutkan bagi membolehkan kehidupan kedua mereka bermula kembali, selepas beberapa dekad atau abad berlalu. 

Idea membekukan badan untuk kehidupan kedua ini dalam aspek sains, sebenarnya dianggap sebagai salah satu cabang pseudosains yang popular.

Bagaimanapun, ketiadaan bukti tidak menghalang ribuan individu berkemampuan menggunakan fasiliti 'sejuk baku manusia' - lebih tepat lagi cyrogenics atau kriogenik dalam bahasa Melayu.

Tiga buah pusat kriogenik di dunia

pusat penyejukan tubuh alcor

Terdapat 3 buah pusat kriogenik yang dibuka di seluruh dunia dan yang paling popular di antara tiga yang ada - adalah Pusat Penyambungan Hidup Alcor, dikendalikan oleh sebuah yayasan bernama Alcor Life Extension Foundation.

Dua buah lagi pusat serupa adalah Cryonics Institute yang terletak di Michigan, Amerika Syarikat dan KrioRus yang beroperasi dari Moscow, Russia. Sementara itu Pusat Penyambungan Hidup Alcor beroperasi dari Phoenix, Arizona yang terletak di Amerika Syarikat.

Dengan menggunakan teknik sejuk beku berasaskan nitrogen cair, individu-individu berdaftar akan disimpan dalam suhu -328 darjah celcius.  Walaupun demikian, kriogenik bukanlah dibuka hanya untuk storan manusia sahaja. Pemilik-pemilik haiwan boleh juga melakukan simpanan tubuh haiwan kesayangan mereka di pusat seperti Alcor.

Semua individu berdaftar dalam program ini akan dibahagikan kepada dua kategori. Yang pertama adalah mereka yang dianggap ahli. Semua ahli yang tersenarai perlu menunggu detik kematian mereka, untuk disejuk bekukan. Ini bermakna 'ahli' merangkumi mereka yang masih hidup dan bersetuju untuk disimpan.

Sementara itu satu lagi kategori adalah 'pesakit', di mana tubuh-tubuh individu yang telah meninggal dunia akan terus disimpan di pusat-pusat kriogenik yang ada. 'Pesakit' pula dibahagikan kepada dua bahagian - mereka yang telah bersetuju untuk disimpan dalam bentuk tubuh yang lengkap. 

Lagi satu kategori adalah mereka yang bersetuju untuk disimpan hanya organ otak mereka.

Apa yang sedikit melucukan, pusat seperti Alcor secara jelas mengakui tidak ada bukti bahawa 'kebangkitan semula' seseorang selepas proses kriogenik boleh benar-benar dilakukan. Namun ia tidak menghalang lebih 1,395 ahli dan 189 pesakit mendaftarkan diri dalam program ini.

Bagaimana seseorang disejukkan?

pesakit kriogenik cryogenics

Pasti anda tertanya-tanya bagaimanakah proses kriogenik seseorang bermula? Kriogenik adalah satu proses yang dibuat memang berasaskan kepada kajian saintifik, tanpa mempunyai bukti saintifik keberkesanannya. 

Pengamal kriogenik percaya hayat seseorang boleh dihenti dan dimulakan kembali, seandainya semua struktur tubuh individu itu berjaya dipelihara. Untuk memelihara tubuh seseorang, proses yang paling baik adalah dengan menyejukkan seseorang melalui proses vitirifikasi di mana struktur tubuh manusia boleh diubah menjadi kukuh ibarat kaca padu. 

Vitrifikasi membolehkan tiada zarah ais terbentuk pada tahap bawah beku, membolehkan tubuh mengekalkan bentuk dan struktur asal baik di bahagian luar dan dalamnya tanpa merosakkan rupa asal tubuh itu. 

Setiap ahli kriogenik yang sudah mendaftar akan diterangkan prosesnya. Semua proses hanya akan dimulakan seawal 1 ke 7  hari sebelum seseorang ahli diramalkan meninggal dunia, sebagai persediaan. 

Apa yang akan dilakukan seminggu selepas kematian seseorang?

teknik kriogenik yang diamalkan

2 jam pertama kematian seseorang, bahan khas yang dikatakan mampu mengembalikan semula pergerakan oksigen dan darah dalam tubuh akan disuntik bagi membolehkan proses perlindungan dalaman tubuh mula berjalan.

Tubuh pesakit pula akan direndamkan ke dalam air ais dan semua darah dalam badan akan dipam keluar, digantikan dengan cecair khas.

Untuk tempoh 24 jam berikutnya, ahli yang kini sudah menjadi pesakit akan diterbangkan ke Alcor, di mana pesakit akan menjalani proses perfusi (perfusion) yang akan menyalurkan cecair dikenali sebagai 'cryoprotectant' yang akan mampu menghalang tubuh daripada membeku dan selamat untuk disimpan.

Selepas keadaan pesakit stabil dan tidak ada zarah ais terbentuk, pesakit akan disejukkan pada tahap -196 darjah celcius yang akan mengekalkan rupa bentuk asal tubuh pesakit seterusnya merencatkan proses pereputan tubuh.

Pada peringkat inilah pesakit akan dimasukkan ke dalam sebuah storan vakum dipanggil 'dewar' yang mengandungi nitrogen cair, disimpan sehinggalah saintis mempunyai kemampuan kukuh untuk menghidupkan kembali jasad-jasad ini.

Berapakah bayaran program ini? 

cryonics institute

Kadar bayaran yang dikenakan untuk peserta dan pesakit program Alcor, berbeza-beza mengikut skim yang dipilih. Seseorang ahli perlu membayar di antara USD28,000 ke USD95,000 (RM116,985 ke RM396,915) serta caj bulanan untuk mendaftar bergantung kepada pakej. 

Bagi pesakit pula yang akan disimpankan di fasiliti-fasiliti, caj sekali bayar di antara USD80,000 (RM334,245) untuk menyimpan organ otak sahaja sehinggalah USD200,000 (RM835,605) untuk keseluruhan tubuh dikenakan.

Waris pesakit juga perlu membayar di antara USD525 (RM2193) hingga USD703 (RM2937) sebagai yuran bulanan, bergantung kepada apa yang disimpan.

Disebabkan oleh skim yang melibatkan tuntutan bayaran dari si mati, kebanyakan ahli memilih untuk menamakan Alcor sebagai penerima bayaran insurans sekiranya mereka meninggal dunia - sebagai satu jaminan bayaran dapat diperjelaskan.  

Semua pesakit yang didaftarkan akan disediakan dana khas bagi memastikan keperluan dan kebajikan mereka terjaga, sepanjang tubuh mereka disimpan di dalam storan.

Siapakah individu pertama menjalani kriogenik?

james bedford manusia pertama kriogenik

Ketika ini jumlah individu yang telah meninggal dunia dan telah menjalani proses kriogenik tidaklah besar. Di Alcor terdapat 189 pesakit tubuh penuh. Di Cryonics Institute pula ada 219 pesakit, tidak jelas berapa pecahannya.

Sementara di KrioRus pula sehingga tahun 2019, ada 36 tubuh, 34 kepala, 10 anjing, 17 kucing, 4 ekor burung dan seekor chinchilla. 

Individu pertama dunia yang menjalani proses kriogenik adalah seorang profesor psikologi dari University of California, bernama James Bedford selepas Bedford menerima tawaran yang dibuat sebuah gerakan bernama Life Extension Society,  menawarkan peluang kepada mana-mana individu untuk disimpan sebagai ujian pertama di dunia.

Bedford bersetuju untuk menjalani proses kriogenik, sebelum meninggal dunia pada tahun 1967 ketika berusia 73 tahun akibat kanser. Dia menamakan persatuan itu sebagai penerima wasiat USD100,000 untuk bayaran.

Tubuhnya selamat menjalani proses vitrifikasi, membolehkan pemuliharaan tubuhnya dilakukan disimpan dibeberapa lokasi berbeza sebelum dipindahkan ke Alcor pada tahun 1982, sebagai pusat storan tetap. 

Pada 25 Mei 1991, berikutan kerosakan pada tangki yang menyimpan tubuh Bedford serta kemajuan teknologi tangki yang berjaya diterokai, keputusan untuk memindahkan tubuh Bedford ke sebuah tangki lebih moden dibuat. 

Selepas mengosongkan tangki lama yang menyimpan Bedford, pasukan yang perlu menguruskan perpindahan Bedford mendapati jasad Bedford yang ketika itu telah tersimpan selama 24 tahun masih lagi berada dalam keadaan baik - menunggu tibanya detik di mana dia 'boleh dibangunkan semula'...

Asalkan penyelidik dan saintis menemui cara dan kaedahnya.

Rujukan

Fifty years frozen: The world’s first cryonically preserved human’s disturbing journey to immortality

Dear Dr. Bedford – An Open Letter to the First Frozen Man



Hakcipta iluminasi.com (2017)