Siapa kat sini sukakan pulau? Pulau merupakan salah satu lokasi paling popular di dunia apabila bercakap mengenai percutian yang menenangkan dan menyeronokkan.
Tak perlu untuk ke luar negara, di Malaysia sendiri kita mempunyai pelbagai pulau yang tersangat indah sehinggakan menarik terkenal dalam kalangan pelancong dari luar.
Dan kebanyakan daripada pulau-pulau ini mempunyai kisah unik yang tersendiri menjadikannya lebih menarik dan mengujakan. Jika sebut tentang Pulau Besar, pasti ramai yang akan mengaitkannya dengan Pulau Besar di Melaka.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun, tak ramai yang begitu tahu mengenai sebuah lagi Pulau Besar yang terletak di Johor dan mempunyai kisah lagenda menarik.
Pulau Besar yang dimaksudkan adalah sebuah pulau terletak di Laut Cina Selatan, lebih tepat di Daerah Mersing, Johor.
Pulau yang satu ketika dahulunya bernama Pulau Babi Besar ini dikelilingi oleh beberapa buah pulau lain termasuk Pulau Mensirip, Pulau Sibu, Pulau Hujung, Pulau Tinggi dan juga Pulau Rawa.
Kesemua pantai di pulau-pulau ini dikelilingi dengan air yang tersangat jernih disebabkan kerana gugusan pulau ini menghadap ke laut lepas, di mana ombak-ombak yang datang membersihkan pantai dengan menghilangkan lumpur dari pasir.
Kerajaan Johor telah mewartakan perairan pulau ini sebagai "Taman Laut" dalam usaha memelihara dan memulihara kehidupan laut di kawasan sekitar.
Usaha ini dilakukan bertujuan untuk menjaga kira-kira 60 spesis hidupan laut daripada terancam oleh kepupusan disebabkan oleh pelbagai aktiviti manusia yang mampu merosakkan habitat semulajadi di sini termasuklah selaman skuba, memancing dan macam-macam lagi.
Tak cukup dengan itu, keunikan tambahan seperti sayuran liar, ulam-ulaman dan pepohon kelapa serta pelbagai tumbuhan yang terdapat dalam hutan tropikanya memperkayakan khazanah alam di pulau ini.
Dan sudah tentu terdapat penduduk yang mendiami pulau ini, terdiri daripada kira-kira 7 hingga 8 perkampungan kecil yang menempatkan sekitar 100 orang. Para penduduk tempatan meneruskan kelangsungan hidup di pulau ini sebagai nelayan.
Ketinggian 2,000 kaki dari aras laut menjadi puncak tertinggi di Pulau Besar ini.
Kisah lagenda ikan duyung di Pulau Babi Besar
Pasti anda tertanya-tanya mengapa pulau ini diberi nama Pulau Babi Besar kan?
Jika Pulau Langkawi terkenal dengan kisah lagenda Mahsuri, Pulau Besar juga mempunyai kisah lagenda tersendiri yang sangat popular dalam kalangan penduduk tempatan.
Kisah menarik tersebut berkisarkan tentang sepasang nelayan yang dikatakan telah bertukar menjadi ikan duyung. Ya, ikan duyung!.
Penduduk tempatan mempercayai bahawa isteri kepada si nelayan tersebut yang sedang sarat hamil mengidamkan rumpai-rumpai laut untuk dimakan.
Dan seperti yang anda boleh jangkakan, isteri nelayan tersebut telah bertukar menjadi seekor ikan duyung selepas memakan rumpai-rumpai laut tersebut.
Si suami yang melihat kejadian yang menimpa isterinya itu berasa tersangat berang lalu melepaskan kemarahannya dengan memaki hamun "babi! babi! babi!" lalu memanggil pulau tersebut dengan panggilan pulau babi.
Sejak itu, nama pulau babi kekal digunakan sehingga sekarang. Kisah ini hanya kisah yang dibawa dari mulut ke mulut penduduk Johor. Kesahihan kisahnya masih diragui. Namun bagi iluminasi.com kisah ini sangat menarik untuk dikongsikan.