Oleh pada 25 Feb 2018 kategori

Sumber foto: pixabay.com (Gambar sekadar hiasan)

 

Sebuah pusat hiburan menyediakan pelbagai jenis kenderaan mewah untuk pelanggan yang berbelanja paling banyak dalam setahun diserbu pihak berkuasa, setelah dikesan beroperasi secara haram menerusi Operasi Bersepadu Banteras Aktiviti Haram Kuala Lumpur (Ops BAH) Siri 42 Kementerian Wilayah Persekutuan awal pagi semalam.

Menerusi serbuan di sebuah premis di Jalan Kampung Pandan, Kuala Lumpur itu mendapati, antara kereta mewah yang dihadiahkan kepada pelanggannya ialah Lamborghini Huracan (tempat pertama), Toyota Vellfire (tempat kedua) dan Mini Cooper S (tempat ketiga).

Premis hiburan elit tanpa lesen yang turut dipercayai dikunjungi oleh ramai ahli perniagaan dan golongan atasan itu mengenakan caj dari RM20,000 hingga RM50,000 untuk pelbagai jenis bilik, di samping menyediakan khidmat gadis pelayan pelanggan (GRO).

Premis itu yang telah beroperasi selama 5 tahun itu dikesan mengaut keuntungan berjuta ringgit dalam setahun, tetapi masih aktif tanpa lesen perniagaan.

Ketua Penyelaras Ops BAH Siri 42, Azman Mahmood memberitahu, menurut siasatan awal, keuntungan premis terbabit mampu mencapai RM150,000 sehingga RM300,000 sehari.

“Pemeriksaan lanjut terhadap lesen premis mendapati memang benar pemiliknya tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah termasuk lesen menjual minuman keras walaupun sudah beroperasi hampir 5 tahun.

“Tindakan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri turut dikenakan melalui Notis Seksyen 81 kerana premis berkenaan berupaya mengaut keuntungan jutaan ringgit serta berani beroperasi tanpa lesen perniagaan sah,” ujarnya kepada pemberita.

Tambah beliau, serbuan dilakukan disebabkan aduan orang ramai yang mendakwa premis berkenaan juga menggaji sekitar 50 warganegara China sebagai GRO dengan memberikan caj langganan sehingga RM30,000 satu malam.

 

Sumber berita: Kosmo Online & Utusan Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)