Sekali lihat, anda mungkin menyangka bahawa pangkalan data di Pionen ini adalah sebuah pejabat rahsia bawah tanah yang dipaparkan dalam filem James Bond. Pusat data bawah tanah ini mempunyai tanaman rumah hijau, air terjun, enjin kapal selam Jerman, simulasi siang hari dan dapat menahan serangan bom hidrogen.
Kawasan bawah tanah ini sememangnya wujud di Sweden. Ia adalah pusat data keselamatan tinggi yang baru dibuka yang dikendalikan oleh salah satu ISP terbesar di Sweden yang terletak di sebuah bunker nuklear lama jauh di bawah batuan dasar kota Stockholm, ditutup dari dunia dengan pintu masuk setebal 40 cm.
BESARKAN TEKS A- A+
Pionen adalah bekas pusat pertahanan awam yang dibina di wilayah White Mountains Södermalm di Stockholm, Sweden pada tahun 1943 untuk melindungi fungsi-ungsi penting kerajaan. Alamat pusat data Pionen adalah Renstiernas gata 35 dan 37. Ia dibuka pada 11 September 2008 dan masih digunakan sehingga ke hari ini.
Dahulunya pusat perlindungan nuklear
Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa pusat pangkalan data ini adalah antara yang paling selamat di dunia, bahkan mungkin terselamat sekiranya diserang dengan bom nuklear. Hal ini disebabkan lokasi ini asalnya dahulu merupakan pusat perlindungan senjata nuklear.
Ya, pusat data ini ditempatkan di tempat yang awalnya merupakan bunker tentera dan tempat perlindungan nuklear semasa era Perang Dingin. Kemudahan ini masih mempunyai nama kod dari zaman ketenteraannya iaitu Pionen White Mountains.
Lokasinya terletak di pusat Stockholm di bawah 30 meter (hampir 100 kaki) daripada batuan permukaan. Pusat pangkalan data ini memiliki ruang seluas 1110 meter persegi dan terletak di bawah 30 meter batuan permukaan granit di dalam bandar.
Pionen dirancang semula rekabentukya sepenuhnya pada 2007-2008 untuk menjadi pusat data seperti sekarang. Lebih dari 4,000 meter padu batu diletupkan ketika proses untuk menyiapkannya bagi membolehkan lebih banyak ruang dimiliki untuk pusat pangkalan data ini.
Antara pangkalan data paling selamat
Kerana ciri-ciri keselamatan yang ada padanya, Pionen menempatkan pusat operasi rangkaian atau NOC (Network operations center) untuk Bahnof. Bahnof adalah penyedia perkhidmatan Internet Sweden (ISP) yang ditubuhkan pada tahun 1994 oleh Oscar Swartz di Uppsala, Sweden dan merupakan ISP bebas pertama di negara ini.
Idea untuk menggunakan dan menukarkan bunker nuklear bawah tanah ini merupakan idea Ketua Pegawai Eksekutif Bahnof sendiri, Jon Karlung. Malah, beliau jugalah yang mencadangkan rekabentuknya diubah seperti rekabentuk dalam filem sci-fi tahun 1970 kerana minatnya yang mendalam terhadap latarbelakang filem sebegitu.
Bahnof mempunyai lima pusat data di Sweden dan Pionen menjadi yang terbesar. Kemudahan ini juga berfungsi sebagai pusat hosting lokasi bersama, jadi anda sebenarnya boleh menyewa ruang Pionen untuk meletakkan pelayan anda sendiri di sini.
WikiLeaks satu ketika dahulu dikatakan pernah meletakkan data mereka di pusat data Bahnhof di dalam bunker Pionen ini kerana yakkin dengan keselamatannya. Bagi yang tidak tahu, WikiLeaks adalah organisasi bebas antarabangsa yang pernah popular kerana membocorkan maklumat rahsia sesebuah organisasi, individu atau negara.
Ciri-ciri futuristik
Bagi memastikan pusat pangkalan data ini sentiasa boleh beroperasi tanpa sebarang masalah, ianya juga mempunyai kuasa sandaran yang dikendalikan oleh dua enjin diesel Maybach MTU yang menghasilkan tenaga 1.5 Megawatt. Mesin ini pada asalnya dibina untuk kapal selam Jerman.
Jurutera di Pionen juga telah memasang sistem amaran dari kapal selam Jerman yang asli. Sementara itu, sistem penyejukan pula dikendalikan oleh kipas Baltimore Aircoil yang berkeupayaan menghasilkan kesan penyejukan 1.5 megawatt, cukup untuk kesemua pelayan yang ada di sini.
Bagi memastikan akses data yang pantas dan dipercayai, ianya mempunyai kabel sambungan "triple-redundancy". Rangkaian ini mempunyai kelebihan sepenuhnya dengan kedua-dua gentian optik dan garis tembaga disambungkan dengan tiga cara fizikal yang berbeza untuk menyalurkan data.
Tempat kerja kondusif untuk manusia
Rekabentuk pusat pangkalan data kebiasaanya amat membosankan dan tidak kondusif untuk manusia. Walau bagaimanapun, rekabentuk dalaman Pionen sangat unik dan difokuskan untuk manusia dengan menggunakan kitaran siang-malam buatan dan penuh dengan tanaman rumah hijau, beberapa air terjun dan tangki ikan 2600 liter.
Apabila berada di dalam Pionen ini, anda mungkin tidak merasakan anda berada dalam ruangan terkurung di sebalik bukit. Lebih menarik, idea dan keperluan agar rekabentuk dalaman Pionen difokus untuk persekitaran kerja yang kondusif untuk manusia ini ditekankan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bahnof sendiri.
Berapakah jumlah staf yang bekerja di Pionen? Terdapat 15 orang pekerja tetapi hanya kakitangan teknikal yang sudah berpengalaman sahaja bekerja sepenuh masa di Pionen.
Kredit: