Jenama Alibaba sememangnya satu jenama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam dunia perniagaan dalam talian (e-commerce) terutamanya di rantau Asia. Hal ini membolehkan pengasasnya Jack Ma mengaut keuntungan berbilion-ringgit seterusnya tersenarai dalam senarai orang terkaya di dunia keluaran Forbes.
Dengan jualan ratusan ribu barangan yang dijual, maka semestinya Alibaba mempunyai gudang penyimpanan barangan yang sangat besar untuk menyimpan kesemua stok barangan sebelum dihantar kepada pembeli. Gudang penyimpanan barang Alibaba ini terletak di Huiyang di daerah Guangdong yang terletak di Selatan China dan mempunyai keluasan seluas 3000 meter persegi. Ianya diuruskan oleh syarikat T-Mall, iaitu anak syarikat Alibaba Groups.
BESARKAN TEKS A- A+
Dengan keluasan sebesar ini, maka mereka mestilah mempunyai pekerja yang ramai dan sistematik bagi memastikan barang-barang mudah diangkut daripada rak penyimpanan ke ruang pembungkusan.
Bagi memastikan segalanya bergerak lebih pantas dan efisien, maka Alibaba telah menggunakan bantuan 60 buah robot yang dikenali sebagai Zhu Que dalam gudangnya ini.
Robot Zhu Que
Robot yang dihasilkan oleh syarikat Quicktron ini diberi nama Zhu Que. Dengan saiz 90cm (panjang), 70cm (lebar) dan 30cm (tinggi), robot ini mampu mengangkat barang seberat 600 kg dan bergerak sepantas 1.5m dalam satu saat. Robot ini akan menerima arahan daripada signal WiFi. Setelah arahan diterima, ianya akan menuju ke tempat sesuatu barang itu disimpan berdasarkan kod barangan tersebut.
Selain itu, robot ini dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan untuk mengelakkan kemalangan dengan robot-robot lain dalam gudang tersebut. Setiap robot mempunyai sensor yang akan mengesan halangan atau pergerakan robot lain, seterusnya mengelakkan mereka bertembung sesama sendiri.
Selain itu, robot ini juga mempunyai pengesan bateri yang canggih dan sistematik. Apabila paras bateri sudah rendah, robot ini akan berhenti bekerja dan bergerak menuju ke ruang pengecasan bateri. Dengan sekali cas, ianya mampu bekerja selama 8 jam tanpa henti!
Meningkatkan Efisiensi
Penggunaan robot ini sememangnya dapat meningkatkan efisiensi seseorang pekerja manusia dalam gudang tersebut, Sebagai contoh, sebelum penggunaan robot ini, seseorang pekerja perlu bergerak sebanyak 27924 langkah dalam 7.5 jam waktu bekerja dan hanya mampu membungkus 1500 barangan sahaja.
Dengan penggunaan robot ini, mereka hanya perlu bergerak secara purata sebanyak 2563 langkah sahaja sementara jumlah barang yang mampu dibungkus adalah sebanyak 3000, iaitu satu kali ganda tanpa penggunaan robot pengangkut barangan!
Quicktron iaitu penghasil robot ini juga berkata Alibaba juga telah bercadang untuk menambah 40 buah robot lagi bagi menampuang keperluan kapasiti tenaga kerja mereka.
Kredit: Daily Mail