Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, satu kecenderungan aneh telah berkembang di seluruh dunia terutamanya di China. Ia dikenali sebagai pergerakan "meniru hasil seni bina antarabangsa yang terkenal".

Di Tianducheng yang tidak jauh dari Shanghai, terdapat satu taman tiruan telah dibina sama seperti yang terdapat di Paris. Taman itu siap mempunyai replika Menara Eiffel setinggi 354 kaki, satu pertiga daripada ketinggian menara sebenar di Perancis.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Malah, bangunan kediaman yang dibina mengelilingi kawasan itu juga hampir sama seperti yang ada di Paris dan boleh menempatkan sebanyak puluhan ribu orang. Akan tetapi, pembangunan perumahan itu dilaporan masih kosong setakat ini.

replika eiffel tower

Selain itu juga, beberapa tempat lain di China juga dilaporkan mempunyai replika antarabangsa terkenal yang lain seperti mercu tanda bersejarah, bandar dan kampung cantik yang terdapat di seluruh Eropah. China dilaporkan menghabiskan ratusan billion untuk membina replika-replika ini.

Replika bandar-bandar terkenal ini bukanlah perkara yang begitu mengejutkan kerana China merupakan sebuah negara yang terkenal dengan kapasiti pengeluaran secara besar-besaran dalam industrinya.

Apa yang lebih mengejutkan ialah seni bina replika atau tiruan di tempat lain, terutamanya di Bangladesh. Walaupun China menunjukkan minat mendalam dalam meniru mercu tanda dan bandar yang terkenal di benua Eropah, Bangladesh pula meniru mercu tanda negara jirannya iaitu Taj Mahal yang terletak di India.

taj mahal india

Taj Mahal di Agra, India.

Taj Mahal dalam bahasa Hindi bermaksud "Mahkota Istana" dan merupakan makam marmar berwarna putih yang terletak di bahagian selatan Sungai Yamuna di Bandar Agra, India.

Bangunan yang megah itu telah mula dibina atas arahan Maharaja Mughal Shah Jahan yang berkuasa pada tahun 1628 hingga 1658 untuk menempatkan makam isteri kesayangannya, Mumtaz Mahal.

Selain itu, ia juga menjadi makam kepada Shah Jahan sendiri. Makam itu merupakan sebuah kompleks seluas 42 ekar yang meliputi sebuah masjid dan sebuah rumah tetamu yang dikelilingi oleh taman yang indah. Kompleks itu juga dibatasi oleh tiga sisi tembok mengelilinginya.

shah jahan 210

Shah Jahan

Pembinaan Taj Mahal pada dasarnya siap pada tahun 1643 tetapi kerja pembangunan masih diteruskan pada fasa lain selama 10 tahun lagi. Kompleks itu dipercayai siap sepenuhnya pada tahun 1653 dengan perbelanjaan bernilai RM 3.37 billion (anggaran nilai pada tahun 2015).

Projek pembinaan Taj Mahal telah melibatkan kira-kira 20,000 tenaga tukang ukir yang mahir di bawah seliaan jurubina istana, Ustad Ahmad Lahuri. 

Pada Disember 2008, Bangladesh telah memulakan pembinaan replika yang hampir sama dengan Taj Mahal. Setahun sebelum ianya ditiru, Taj Mahal yang terletak di Sungai Yamuna ini baru sahaja diisytiharkan sebagai salah satu daripada tujuh keajaiban dunia yang baru.

ahsanullah moni

Ahsanullah Moni di hadapan Taj Mahal replikanya

Usaha pembinaan replika Taj Mahal itu dimulakan dan dibiayai oleh penerbit filem Bangladesh yang kaya iaitu Ahsanullah Moni. Moni menjelaskan bahawa salah satu sebab dia memulakan projek itu ialah kerana Bangladesh tidak mempunyai sebarang tempat pelancongan yang terkenal.

Dia juga mengatakan bahawa kebanyakan penduduk Bangladesh tidak mampu pergi ke Agra di India untuk melihat Taj Mahal dari jarak dekat, jadi dia memutuskan untuk "membawa" Taj Mahal kepada mereka.

Pada hakikatnya, Bangladesh adalah sebuah negara yang bergelut dengan kemiskinan. Dengan melaksanakan projek replika ini, Moni berharap agar ia bukan sahaja menjadi tumpuan pengunjung tempatan tetapi juga meningkatkan industri pelancongan negara dengan menarik lebih banyak pelancong asing dari luar negara.

taj mahal bangladesh 2

Taj Mahal Bangladesh

Bahan binaan yang digunakan untuk membina replika Taj Mahal ini seperti marmar, gangsa dan batu granit diimport dari Itali manakala berlian pula dibawa masuk dari Belgium. Replika besaiz penuh ini terletak hanya 16 km di luar Dhaka, ibu negara Bangladesh. 

Walau bagaimanapun, kawasan tempat Taj Mahal tiruan ini dibina hanyalah bersaiz empat ekar sahaja dan pembinaannya dilaporkan bernilai kira-kira RM 228 juta. Moni yang memiliki studio filem dan panggung wayang telah membayangkan agar Taj Mahal tiruannya itu dapat digunakan sebagai set pengambaran filem.

Dia pertama kali jatuh cinta dengan Taj Mahal ketika berkunjung ke Agra, India, pada awal tahun 1980-an. Selepas itu dia beberapa kali pergi ke Agra untuk melawat tapak bersejarah dunia itu.

taj mahal bangladesh 3

Bagi menjadikan hasratnya membawa Taj Mahal ke Bangladesh menjadi satu kenyataan, Moni telah menghantar satu pasukan pakar untuk mengambil ukuran bangunan bersejarah itu. Dia juga memastikan pembinaan Taj Mahal replikanya menggunakan marmar dan batu yang sama seperti bangunan asli.

Apabila replika itu siap, hasilnya kelihatan begitu cantik sekali. Akan tetapi, replika Taj Mahal di Bangladesh ini tidak menyenangkan hati pihak kerajaan India. Malah ada yang mengatakan bahawa Ahsanullah telah melanggar undang-undang hak cipta.

Tambahan pula, Taj Mahal mencerminkan pencapaian seni bina Mughal pada zaman kemuncaknya dan mengambil masa selama hampir dua dekad untuk disiapkan pada abad ke-17. Manakala pembinaan Taj Mahal di Bangladesh hanya mengambil masa selama lima tahun sahaja untuk disiapkan.

Selain itu, Taj Mahal dibina oleh maharaja India sebagai peringatan kepada isteri keduanya yang meninggal dunia semasa melahirkan anak. Salah seorang wakil kerajaan India mengatakan bahawa, anda tidak boleh sewenang-wenangnya pergi melawat sesuatu mercu tanda bersejarah sesebuah negara dan menirunya apabila pulang.

Selain itu, terdapat beberapa lagi replika Taj Mahal lain yang dibina di seluruh dunia. Walaupun tidak sehebat replika yang dibangunkan di Bangladesh, beberapa replika lain yang terletak di United Kingdom, Dubai, China dan Amerika tetap dikunjungai ramai pelancong. Namun, Taj Mahal asli di India tetap yang terhebat dan dikunjungi kira-kira 8 juta pelancong setahun.

Rujukan:

1. Scroll In Magazine

2. The Guardian

3. Definition




Hakcipta iluminasi.com (2017)