Oleh pada 08 Jan 2018 kategori

Kredit foto: Instagram Janna Nick

Pengacara baru rancangan Melodi, Janna Nick dan Ajak Shiro, mendapat kritikan hebat di laman sosial kerana aksi pengacaraan mereka yang dikatakan 'kayu' sewaktu episod pertama berlangsung tengah hari semalam.

Memberi respon terhadap kecaman itu, Janna memberitahu, dia menerima setiap pandangan yang dilontarkan netizen, namun dalam masa sama meminta mereka memberikannya ruang untuk memperbaiki mutu pengacaraan dalam episod mendatang.

“Dah tular di Twitter mengatakan kami kayu. Jangan macam itu, kami masih baru. Baru satu episod, tunggulah sampai habis.

“Apa pun, terima kasih kepada yang memberi komen dan kami akan ambil untuk buat yang lagi baik selepas ini,” katanya dalam laporan portal Harian Metro.

Tambah Janna, keputusan yang diambilnya untuk menjadi pengacara ini adalah satu langkah besar memandangkan dirinya sendiri tidak punya pengalaman bergelar hos dalam mana-mana program.

“Kalau nak tahu, saya satu-satunya pengacara Melodi yang tidak pernah mengacara dalam mana-mana program. Ini adalah penampilan pertama saya sebagai pengacara.

“Tidak dinafikan memang wujud perbandingan dan teguran. Saya okey dan tak kisah. Sebaliknya saya menjadikan ia sebagai satu bentuk pembelajaran untuk memperbaiki diri.

“Saya tak boleh kata beri peluang kerana penonton memang akan tengok muka saya setiap minggu. Cuma, saya berharap setiap teguran biarlah yang membina,” katanya.

Ekoran itu, Janna berkata, dia akan membuat persediaan termasuk membaca lebih banyak berita hiburan dan menambahkan pengetahuan am sebagai bekalan mengacara secara langsung di hadapan kamera.

“Sejak menjadi artis, saya sering jadi bahan berita. Sekarang saya juga perlu letakkan diri sebagai netizen. Dalam erti kata lain, saya kena ambil tahu kisah orang lain juga.

“Jadi, saya perlu banyakkan lagi membaca berita dan mendengar info daripada rakan wartawan. Pendek kata, saya tak boleh malas,” katanya.

Di samping itu, Janna nekad memperbaiki penggunaan gaya bahasanya sewaktu mengacara.

Terdahulu, Janna dan Ajak muncul sebagai hos buat kali pertama dalam rancangan hiburan Melodi yang sebelum ini dikendalikan Awal Ashaari dan AG.

Sumber berita: Harian Metro




Hakcipta iluminasi.com (2017)