hidupan di musytari

Ketika kajian mengenai eksplorasi angkasa lepas lebih tertumpu kepada kajian di planet Marikh (antaranya kemungkinan untuk membina penempatan manusia di planet Marikh), tiba-tiba kita dikejutkan pula oleh dakwaan terbaru oleh sekumpulan saintis yang mengatakan kemungkinan terdapatnya hidupan di planet Zuhrah.

Apaka faktor yang menyebabkan dakwaan ini wujud?

Penemuan gas Phosphine

permukaan planet musytari 214

Pengumuman ini secara rasminya telah dikeluarkan oleh pihak Royal Astronomical Society berdasarkan bukti penemuan gas Phosphine di dalam kawasan atmosfera planet Zuhrah. 

Phosphine merupakan sejenis gas yang jarang ditemui dan bertoksik. Gas ini mempunyai bau yang tidak menyenangkan dimana segelintir manusia menyamakan baunya dengan bau bangkai ikan yang sudah membusuk.

Gas ini biasanya boleh ditemui di kawasan yang dipenuhi najis penguin dan lendir kolam yang berkulat. Walaupun gas ini boleh dihasilkan melalui proses industri, ianya juga boleh dihasilkan secara semulajadi oleh organisma anaerobik seperti bakteria dan mikrob.

Maka, berdasarkan fakta dan penemuan inilah sesetengah saintis berpendapat tentang kemungkinan wujudnya hidupan lain di planet Zuhrah. Sebelum ini, para saintis pernah mendakwa bahawa kewujudan gas Phosphine dalam kuantiti yang banyak di planet lain mungkin memberi indikator wujudnya hidupan di planet tersebut.

Kini, para saintis mengatakan terdapatnya gas ini di planet Zuhrah bermakna mungkin wujudnya hidupan lain di planet tersebut.

Keunikan planet Zuhrah

sistem solar

Sistem solar kita mempunyai 8 bulan planet (atau 9 jika Pluto dianggap sebagai sebuah planet) dan Bumi merupakan salah satu daripadanya. Daripada segi kedudukannya pula, Bumi berada di tempat ketiga jaraknya daripada Matahari sementara Zuhrah pula di tempat kedua.

Kedudukan Bumi dianggap unik dan optimum untuk membolehkan pelbagai hidupan hidup padanya. Planet-planet lain yang berada lebih hampir dengan matahari (Utarid dan Zuhrah) mempunyai suhu yang terlalu panas dan tidak sesuai untuk didiami oleh hidupan.

Sementara itu, planet-planet lain yang berada lebih jauh daripada Matahari (berbanding Bumi) secara umumnya menerima kurang pancaran matahari, menjadikan permukaannya berada dalam keadaan sejuk ekstrim seterusnya menyebabkannya tidak sesuai didiami oleh hidupan.

Walaupun para saintis sudah lama mengkaji kemungkinan terdapatnya hidupan di planet Marikh,  dakwaan terdapatnya kemungkiann hidupan di Zuhrah ini sudah tentunya mengejutkan dan menarik minat ramai pihak.

Secara umumnya, permukaan Zuhrah adalah panas dan sangat berasid. Keadaan yang boleh dianggap ekstrim ini sudah tentulah menyukarkan pelbagai hidupan untuk hidup di permukaannya. Namun, di lapisan atmosfera yang lebih atas, sekitar 35 batu daripada permukaan, ianya dipercayai kurang ekstrim dan berkemungkinan sesuai menjadi habitat bagi hidupan.

Di lapisan atmosfera inilah gas Phosphine ini telah ditemui. Kawasan ini tersangatlah berasid sehinggakan ianya akan menghapuskan gas Phosphine yang wujud disini. Walau bagaimanapun, penemuan gas Phosphine di kawasan ini menandakan terdapatnya "sesuatu" yang menghasilkan gas ini dalam kuantiti yang cukup banyak.

Belum konklusif

gas phosphine 101

Penemuan ini telah dilaporkan oleh sekumpulan saintis dan pengkaji antarabangsa yang telah diketuai oleh Jane Greaves dari Cardiff University. Laporan yang menyatakan penemuan gas Phosphine di lapisan atmosfera planet Zuhrah ini telah diterbitkan di laman Nature Astronomy pada 15 September 2020.

Walau bagaimanapun, mereka cukup berhati-hati dalam membuat konklusi terdapatnya hidupan di planet tersebut dengan membuat konklusi bahawa penemuan ini tidak membolehkan sebarang konklusi bahawa terdapatnya bukti hidupan lain di planet tersebut, ianya mungkin terhasil (merujuk pada gas Phosphine) oleh satu tindak balas kimia yang belum dapat dijelaskan.

Oleh itu, kajian lanjut perlu dilakukan bagi mengenalpasti bahawa kewujudan gas ini benar-benar menjadi bukti terdapatnya hidupan di planet ini. 

Drabek-Maunder, salah seorang saintis dari Royal Observatory Greenwich yang menganggotai kumpulan pengkaji ini dan penulis laporan tersebut mengatakan gas Phosphine ini berkemungkinan juga dihasilkan oleh satu tindakbalas kimia atau geologi yang belum pernah ditemui dan diketahui sebelum ini. Mungkin juga terhasil melalui proses biologi.

Menurutnya lagi, kajian yang diterbitkan dalam laporan itu belum konklusif mengenai terdapatnya hidupan lain di Zuhrah. Walau bagaimanapun, penemuan gas yang jarang ditemui ini di lapisan atmosfera atas di planet ini cukup mengujakan bagi mereka.

Buat masa ini, kumpulan pengkaji ini tidak dapat menerangkan secara terperinci bagaimana kuantiti gas Phosphine yang banyak itu terhasil. Percubaan para pengkaji ini menghasilkan model khas daripada aktiviti gunung berapi, sinaran matahari dan petir untuk menghasilkan jumlah gas Phosphine dalam kuantiti yang banyak seperti di Zuhrah juga nampaknya gagal.

Lebih banyak kajian diperlukan

james clerk maxwell telescope

Sementara itu, beberapa pakar yang tidak terlibat dengan kajian ini mengatakan penemuan ini cukup mengujakan, sekurang-kurangnya ia membuka lembaran baru mengenai kajian terhadap planet lain dalam sistem solar kita.

Penemuan ini menjadi bukti terdapat satu proses unik yang berlaku di Zuhrah (yang belum dapat dijelaskan oleh sains). Planet tersebut yang berasid dan panas (cukup panas untuk meleburkan plumbum) sebelum ini kurang mendapat perhatian para saintis berbanding dengan Marikh.

Lebih menark, penemuan gas Phosphine di Zuhrah ini adalah penemuan secara tidak sengaja. Kumpulan pengkaji ini yang sedang membuat kajian mengenai Phosphine secara "suka-suka" terkejut apabila menemui gas Phosphine yang jarang ditemui ini di lapisan atmosfera atas Zuhrah.

Penemuan mengejutkan ini dibuat menggunakan teleskop berteknologi tinggi James Clerk Maxwell Telescope (JCMT) di Amerika Syarika dan hasil penemuan itu dibuktikan sekali lagi dengan menggunakan teleskop "Alma" di Chile. "Alma" merupakan teleskop terbesar di dunia.

Dakwaan terhadap kemungkinan wujudnya hidupan di Zuhrah setelah penemuan gas Phosphine ini timbul kerana pada tahun lalu, satu laporan yang diterbitkan oleh pasukan pengkaji dari MIT menyatakan bahawa penemuan gas Phosphine merupakan indikator kuat bahawa terdapat wujudnya hidupan di kawasan tersebut.

Kredit:

  1. NY Times
  2. National Geographic
  3. The Independent


Hakcipta iluminasi.com (2017)