Oleh pada 20 May 2017 kategori

Kalau kita tonton drama atau filem sains fiksyen, kebiasaannya menggambarkan planet-planet lain atau planet yang diduduki makhluk asing dalam keadaan tandus, luas tanpa sebarang makhluk dengan permukaan berasap-asap atau berkawah.

Dalam filem asal Planet of the Apes yang ditayangkan pada tahun 1968 misalnya, rakaman yang dibuat berlatarbelakangkan Ngarai Red Rocks di California itu kelihatan seakan-akan berada di planet Marikh dengan jurang dan batuan berwarna merah terang.

red rocks canyon bagai di planet lain

Tahukah anda, Ngarai Red Rocks bukanlah satu-satunya lokasi 'alien' yang berada di bumi? Kami kongsikan 10 lagi tempat yang anda pasti berasa seolah-olah berada di planet lain sekiranya berkunjung ke sana:

#10 Gurun Atacama, Chile

Gurun Atacama seluas 1,000 kilometer merupakan gurun terkering di dunia kerana tidak pernah mendapat hujan.

gurun atacama

Dengan bukit-bukit pasir dan aliran lava, landskap di sini dikatakan seiras dengan planet Marikh. Disebabkan itulah pihak NASA sering memilih gurun Chile sebagai tapak ujian.

#9 Tugu Negara dan Pemeliharaan Kawah Bulan, Idaho

Craters of the Moon National Monument and Preserve ini merupakan satu kawasan seluas 1,600 kilometer persegi yang mempunyai permukaan berkawah seolah-olah dihentam oleh meteor. 

kawah bulan idaho

Sebenarnya kawah-kawah ini terhasil akibat regangan kerak bumi sepanjang 30 juta tahun yang lalu. Apabila kerak bumi meregang, ia melepaskan tekanan ke lapisan batuan di bawahnya hingga mencair. Magma yang panas kemudian mengalir di permukaan sehingga menyebabkan aktiviti letusan kecil gunung berapi.

#8 Lembah Kering McMurdo, Antartika

Landskap terbesar di Antartika yang unik kerana tidak mempunyai sebarang ais seluas 15,000 kilometer persegi ini mungkin nampak seperti di Pluto berbanding Bumi. Permukaan lembah mengandungi sedimen lautan selain berbukit pasir dan abu.

mcmurdo dry valley antartika

Para saintis amat menyukai lembah ini kerana ketiadaan ais menyebabkan ia menjadi mudah untuk didekati bagi membuat kajian geologi di Antartika.

#7 Etosha Pan, Namibia

Lokasi ini dikatakan serupa dengan bulan planet Zuhal yang dinamakan Titan. Tasik kering ini dilapisi air cetek yang mengisi permukaannya dari dalam tanah semasa musim hujan. Pada musim kering, lapisan air cetek itu akan menyejat dan meninggalkan kesan sedimen.

etosha pan namibia

#6 Struktur Richat, Mauritania

Anda mungkin pernah melihat gambar "Pusaran Merah" di planet Musytari yang merupakan ribut gergasi yang dikatakan berukuran 2-3 kali ganda lebih besar daripada saiz Bumi. Tapi jika dilihat dari angkasa lepas, Bumi juga mempunyai ciri-ciri permukaan yang seumpama Musytari.

struktur richat mauritania

Struktur Richat merupakan pusaran gergasi dengan diameter lebih kurang 50 kilometer di tengah-tengah gurun Afrika yang tandus. Saintis percaya ia terjadi disebabkan pembentukan batu kuarzit era Paleozoik yang didedahkan oleh hakisan.

#5 Lohong Haba Laut Dalam, Galapagos, Lautan Pasifik

Pada tahun 1970-an, saintis menjumpai tempat aneh ini yang merupakan lohong hidroterma sedalam 2 kilometer berhampiran kepulauan Galapagos.

bumi alien galapagos lohong haba laut dalam

Dalam lohong ini, air yang dipanaskan oleh aktiviti gunung berapi boleh mencecah sehingga 400 darjah Celsius. Air panad yang tidak akan mendidih akibat tekanan ini akan meleburkan garam dan besi semasa ia bergerak melalui batu-batuan. Lohong-lohong ini juga mengeluarkan hidrogen sulfida, sejenis gas yang sangat beracun untuk hidupan di darat.

#4 Gunung Berapi Kilauea, Hawaii

Planet Zuhrah merupakan planet kedua paling hampir dengan matahari. Ia mempunyai bilangan gunung berapi paling banyak antara semua planet dalam sistem solar. Landskap di Zuhrah dilitupi dengan batuan basalt yang terhasil daripada aliran lava.

kilauea gunung berapi

Di Bumi, Kilauea merupakan gunung berapi paling muda yang terletak di bahagian paling selatan kepulauan Hawaii. Ia juga disenaraikan sebagai salah satu gunung berapi paling aktif dalam dunia dengan 34 letusan sejak tahun 1952. Struktur landskap Kilauea dikatakan lebih kurang sama dengan planet Zuhrah.

#3 The Pinnacles, Australia

Gurun yang terletak di Taman Negara Nambung ini memperlihatkan ribuan unjuran batu terluluhawa yang muncul dari bukit pasir kekuningan. Menara-menara ini diformasikan oleh batu kapur yang 'diukir' oleh angin, tumbuh-tumbuhan, hujan dan panas selama jutaan tahun lamanya.

the pinnacles australia

#2 Rio Tinto, Spain

Sungai Rio Tinto dikatakan menggambarkan aliran sungai di planet-planet lain. Ia pernah menjadi tempat melombong emas dan perak bagi orang Rom dan kini masih menjadi salah satu lokasi utama mendapatkan tembaga dan sulfur.

sungai rio tinto bagaikan berada di planet lain

Namun, pencemaran sejak beberapa ribu tahun yang lalu hasil aktiviti perlombongan telah menyebabkan warna air bertukar merah kerana kandungan asid yang tinggi dan bakteria yang mengoksidakan besi dan sulfur. Saintis berpendapat situasi ini seakan-akan kehidupan di planet Marikh atau Europa (bulan planet Musytari).

#1 Waiotapu, New Zealand

Bayangkan planet makhluk asing yang mempunyai permukaan menggelegak dengan warna oren terang dan kabus meruap. Begitulah suasana di Waiotapu, satu kawasan berhaba seluas 18 kilometer di New Zealand.

waiotapu

Gas dan wap panas menembusi lumpur yang berbuih panas di lokasi ini yang pernah menjadi gunung berapi suatu ketika dahulu. Walaupun Waiotapu merupakan satu tempat tarikan pelancing, para pelawat diberikan amaran agar hanya berjalan di laluan pejalan kaki yang dibina. Jika tidak, mereka berisiko untuk jatuh kerana permukaan kerak yang nipis dan boleh terbakar akibat gas geoterma yang terlalu panas.

Amacam? Bolehlah anda mulakan rancangan melawati 'planet-planet' lain ini pula kan. Asyik pergi tempat pelancongan biasa je.


tags : , , , , , ,











Hakcipta iluminasi.com (2017)