Pada tahun 1939, telah timbul tanda-tanda akan berlakunya perang di Eropah. Menjelang 1940, keadaan menjadi semakin runcing apabila Belanda dan Belgium telah jatuh ke tangan Jerman.

Dengan serangan ke atas England dijangka berlaku pada pertengahan bulan Jun 1940, Winston Churchill selaku Perdana Menteri pada ketika itu telah melancarkan satu operasi besar-besaran untuk memindahkan rizab simpanan dan sekuriti British ke Montreal, Kanada. Operasi ini dikenali sebagai "Operation Fish".

Operasi ini dikatakan telah berjalan bermula dari musim panas 1939 sehingga awal 1940. Sepanjang tempoh Operation Fish ini, dikatakan 1500 tan emas dan sekuriti dengan jumlah keseluruhan $300 bilion (dalam nilai kini)  berjaya dipindahkan ke Montreal.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Objektif Operation Fish

Dengan kekuatan yang dimiliki oleh pihak Nazi, Winston Churchill bimbang England akan jatuh ke tangan Jerman. Objektif utama Operation Fish adalah sekiranya England ditawan oleh Nazi, maka Winston Churchill ingin memimpin negara-negara Commonwealth daripada Ottawa.

Oleh itu, Winston Churchill ingin memindahkan sebanyak mungkin sekuriti dan rizab emas ke Montreal agar ianya boleh digunakan kelak membeli kapal terbang, kereta kebal, peluru dan keperluan senjata daripada Kanada dan Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun, ianya bukanlah satu perkara yang mudah kerana terdapat risiko kapal-kapal pengangkutan ini akan ditenggelamkan oleh pihak Nazi.

Operasi yang hampir sama pernah dilakukan pada era Perang Dunia Pertama namun malangnya ianya gagal. Pada ketika itu, 43 tan emas telah cuba dipindahkan daripada Liverpool ke Halifax menggunakan kapal SS Laurentic. Misi tersebut gagal apabila kapal tersebut berjaya ditenggelamkan oleh kapal selam Jerman di sekitar perairan Ireland.

Strategi Operation Fish

Memindahkan jongkong emas dan sekuriti sebanyak itu bukanlah satu perkara yang mudah. Mengambil kira jarak yang jauh antara England dan Kanada serta laluan di lautan terbuka, konvoi mereka mempunyai risiko besae diserang oleh pihak musuh.

Strategi yang digunakan pada ketika itu adalah menggunakan kapal yang banyak dimana hanya segelintir sahaja daripada kapal ini dimuatkan dengan jongkong emas dan sekuriti manakala selebihnya bertindak untuk mengelirukan pihak musuh.

operation fish

Konvoi ini juga akan diiringi oleh beberapa kapal perang British antaranya HMS Revenge, HMS Resolution, HMS Enterprise, HMS Emerald dan HMS Bonaventure. Selain itu, 3 buah bot pelancongan yang telah diubahsuai turut terlibat dalam operasi ini. Bot pelancong yang lebih laju ini bertindak untuk memintas kapal-kapal pihak musuh.

Keadaan ombak besar dan laut bergelora hampir menggagalkan misi ini apabila bot-bot terpaksa bergerak lebih perlahan. Hal ini memudahkan mereka dikejar dan diserang oleh pihak musuh. Setibanya di pelabuhan Montreal, kesemua jongkong emas dan sekuriti tersebut telah dimuatkan ke dalam kereta api dan bertolak ke Montreal. Perjalanan ke Montreal ini juga telah diiringi oleh 300 orang pengawal keselamatan sebagai langkah berjaga-jaga.

bank of canada 941

Setibanya di Montreal, kesemua sekuriti telah dipindahkan ke tempat yang selamat sementara jongkong emas telah meneruskan perjalanan ke Ottawa. Di Montreal, kesemua sekuriti tersebut yang dianggarkan bernilai $230 bilion pada masa kini telah ditempat dalam peti simpanan bawah tanah 3 tingkat di bangunan syarikat Sun Life Assurance. Bangunan ini dikawal ketat oleh pegawai Royal Canadian Mounted Police setiap masa.

Di Ottawa pula, 1500 tan jongkong emas telah ditempatkan di peti besi di bawah bangunan Bank of Canada. Beberapa ratus pekerja bank yang sudah bersara diambil bekerja untuk mengira dan menyusun kesemua simpanan jongkong emas dan sekuriti ini. Setelah Operation Fish tamat, Bank of Canada pada masa itu merupakan antara lokasi penyimpanan jongkong emas terbanyak di dunia.

Adakah misi Operation Fish berjaya?

jongkong emas 933

Bagi Winston Churchill, Operation Fish merupakan satu operasi yang sangat besar dan berisiko tinggi. Mengikut rekod, 134 bot telah berjaya dimusnahkan oleh pihak musuh sepanjang operasi ini. Menariknya, tiada satupun bot atau kapal yang mengandungi jongkong emas dan bot ini berjaya ditenggelamkan oleh pihak Nazi. Dalam erti kata mudahnya, Operation Fish dianggap berjaya kerana simpanan emas dan sekuriti yang berjaya dipindahkan itu boleh digunakan untuk membina kembali kekuatan ketenteraan pihak England.

Operation Fish merupakan satu operasi sulit yang tidak diketahui banyak pihak. Malah, ada pihak yang mendakwa nilai keseluruhan rizab emas dan sekuriti yang dipindahkan ini jauh lebih tinggi daripada jumlah yang dilaporkan di media massa.

Kredit:

  1. WikiPedia
  2. Naval History



Hakcipta iluminasi.com (2017)