Kredit foto: Instagram Nora Danish

Pelakon, Nora Danish, 36, yang sejak kebelakangan ini memberikan fokus kepada bidang bisnes, termasuk yang terkini, Karva, dilihat ramai seakan memberi bayangan bakal meninggalkan dunia hiburan.

Kepada portal Astro Gempak, Nora, bagaimanapun memaklumkan, bidang seni masih mempunyai kepentingan tersendiri terhadapnya meskipun dalam masa sama, sibuk merencana perjalanan karier sebagai seorang usahawan.

"Bagi Nora, dunia seni itu sama penting. Sebagai selebriti saya memerlukan populariti untuk kekal dalam bisnes yang diceburi lagipun berlakon adalah minat saya, jadi belum masa untuk tinggalkannya," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Nora mengorak satu lagi langkah menerusi pelancaran bisnes salon kecantikan, Karva di Desa Pandan, Kuala Lumpur yang dikhususkan kepada kaum wanita terutamanya muslimah, untuk perkhidmatan rawatan kecantikan.

Mengenai kerjaya seni pula, pelakon yang mula dikenali menerusi siri televisyen, Puteri ini akan kembali ke set penggambaran drama selepas Aidilfitri.

nora danish tinggalkan dunia hiburan ini penjelasannya 2

Kredit foto: Instagram Nora Danish

"Sudah lama saya tidak berlakon drama di TV sebab sebelum ini terbabit dengan filem di Indonesia dan sebagainya.

"Kali ini saya nak fokus pada drama TV khas buat peminat yang sentiasa menyokong saya di televisyen," ujarnya mengulas projek drama bersiri itu.

Nora berkata, dia memberikan keutamaan kepada pemilihan watak agar dapat memberi impak besar terhadap penonton drama melayu.

Malah, beliau melihat kelebihan berbeza dalam kemunculan seseorang pelakon sama ada di layar perak ataupun kaca televisyen.

"Sebenarnya, berlakon TV dan filem memberi dua impak berbeza. Macam filem tidak semua orang menonton filem tapi di TV, kebanyakan orang menontonnya.

"Macam Nora walaupun banyak berlakon filem tapi peminat bertanya dah tak berlakon drama ke? Jadi, saya rasa perlu sekali sekala muncul di TV menunjukkan saya masih ada dalam industri ini.

"Dari segi watak dalam lakonan, untuk filem ia terlalu ‘limited’ untuk bakat tapi di TV agak lama, jadi boleh asah bakat lakonan kembali," katanya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)