Oleh pada 07 Nov 2017 kategori

Kredit foto: Instagram Gegar Vaganza & Instagram Haida Hafiz

Peserta Gegar Vaganza 4 (GV4), Haida Hafiz mengambil positif kritikan yang dilontarkan netizen dengan anggapan setiap individu mempunyai pendapat berbeza.

Bagaimanapun penyanyi ini akui lebih mempercayai keputusan juri kerana kredibiliti yang dimiliki mereka.

“Terpulanglah kepada pendapat masing-masing kerana saya positif dan mengambil setiap komen sebagai pembakar semangat dan cabaran.

“Tak puas hati dengan markah yang diberi oleh juri... siapalah kita untuk mempertikaikan kredibiliti mereka yang arif dalam arena ini,” katanya menurut laporan portal Astro Gempak.

Haida mengulas isu markah kedua tertinggi yang diperolehnya di konsert kedua GV4 pada Ahad, yang menjadi pertikaian ramai.

Sementara itu, Haida berkata, dia tidak menjangkakan kedudukan itu kerana lebih memberi fokus kepada kualiti persembahan.

“Saya tidak pernah meletakkan sebarang target untuk setiap persembahan saya. Setiap minggu saya cuma fikirkan tentang yang terbaik untuk dipersembahkan kepada penonton.

“Sebagai seorang performer, ‘nombor’ bukanlah sesuatu yang penting untuk diberi perhatian,” jelasnya.

Mengulas komen juri, Datuk Ramli MS yang menyifatkan vokalnya 'sengau' ketika menyampaikan lagu Gubahan Rindu Puisi Syahdu, penyanyi ini bagaimanapun berlapang dada menerima teguran.

“Saya terima teguran Tok Ram (Ramli), dengan hati yang terbuka sebab dia master of music dan saya telah belajar banyak daripada dia dan masih lagi belajar sehingga hari ini,” tuturnya.

Konsert GV4 ke udara secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, setiap hari Ahad, jam 9 malam di saluran Astro Ria.

Sumber berita: Astro Gempak




Hakcipta iluminasi.com (2017)