Oleh pada 28 Feb 2018 kategori

Kredit foto: Instagram Nabila Razali

Penyanyi yang mencipta fenomena menerusi lagu Pematah Hati, Nabila Razali, 26, menegaskan dia bukanlah individu yang menari sakan di sebuah kelab ternama, dalam satu video yang menjadi tular baru-baru ini.

Pemilik nama sebenar Nur Nabila Mohd Razali ini jelas terkejut apabila ditanyakan dakwaan berkenaan.

Malah, hakikatnya, dia juga tidak hadir ke acara tersebut, mahupun berada di sekitarnya.

"Saya bukan individu itu dan kini, jadual saya pun padat kerana terikat dengan urusan kerja sendiri yang lebih penting.

"Buat apa saya ke kelab. Saya tidak ada urusan kerja di situ pun. Namun, dakwaan ini terjadi mungkin kerana gaya tudung dan pemakaian 'wanita itu' seakan-akan saya.

"Jadi, secara tidak langsung ada penonton yang mendapat kiriman video itu terlepas pandang dan mereka ingatkan 'wanita itu' saya," katanya.

Bercerita lanjut, Nabila memberitahu dia tidak pernah menjejakkan kaki ke kelab hiburan atas tujuan berseronok.

Katanya, jika ada sekalipun, itu hanyalah babak dalam penggambaran muzik video single Pematah Hati.

Dalam masa sama, Nabila akui tidak terasa hati dengan tuduhan yang dilontarkan, malah dia menerima dengan jiwa positif dan terbuka.

"Memang bukan saya, jadi buat apa nak terasa. Lagi pun, saya memang tidak berada dalam acara itu.

"Apatah lagi, keadaan dalam kelab itu pun gelap. Jadi, bila video menari ini tersebar maka sesiapa saja boleh dikatakan seperti itu.

"Saya salah seorang katanya. Namun, saya tegaskan lagi itu bukan saya dan jangan serkap jarang," katanya.

Bintang Akademi Fantasia Musim 2013 seangkatan dengan Hael Husaini, Amira Othman, Indah Ruhaila dan Aisyah Aziz ini redha dengan nasib selebriti yang sering terpalit dengan gosip apatah lagi dalam kerancakan netizen berspekulasi di media sosial.

Sumber berita: Harian Metro




Hakcipta iluminasi.com (2017)