Oleh pada 20 Jan 2018 kategori

Sumber foto: Forum CARI

Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) menyambut baik saranan Kementerian Kesihatan bagi memendekkan tempoh operasi restoran mamak dan kedai 24 jam di seluruh negara.

Menurut Presiden MITA, Uzaidi Udanis, tindakan tersebut dapat memberikan gaya hidup seimbang di kalangan pengguna, serta menambahkan kualiti kebersihan berhampiran kawasan restoran mamak dan kedai 24 jam.

Selain itu, beliau pasti bahawa pelaksanaan had tempoh operasi restoran dan kedai 24 jam tersebut tidak akan memberi impak negatif terhadap industri pelancongan negara.

"Ramai yang pergi ke kedai mamak adalah belia, tak ramai pelancong. Lagipun di kawasan tumpuan pelancong terutama di pusat bandar pun tak banyak kedai mamak.

"Jika kita lihat di negara lain, kedai tidak beroperasi sehingga 24 jam. Di Australia misalnya, kedai tutup pada jam 5 petang.

"Sebelum ini, banyak kafe di hotel beroperasi 24 jam. Namun, kewujudan restoran dan kedai 24 jam memaksa mereka mengehadkan tempoh perkhidmatan bufet dan menghentikan 'supper' kepada pelancong kerana tidak lagi menguntungkan," ujarnya.

Kelmarin, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam memberitahu waktu operasi restoran mamak dan gerai 24 jam akan dihadkan jika memperoleh kata sepakat ramai pihak demi menjamin amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

Tambah Uzaidi, beliau selaku pemain dalam industri pelancongan risau isu kebersihan yang selalu terjadi kepada restoran mamak 24 jam bakal memberi tanggapan buruk kepada pelancong asing.

"Faktor kesihatan, gejala sosial, kebersihan dan lain-lain juga perlu dipertimbangkan untuk mengehadkan tempoh operasi, khususnya membabitkan kedai mamak."

Pada masa yang sama, Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab, yang turut datang di majlis berkenaan, merasakan tawaran lebih banyak variasi makanan adalah bersesuaian dengan gelaran 'syurga makanan' yang diberikan kepada negara kita.

Bagaimanapun, beliau turut menegaskan kepentingan rakyat bagi menjaga kesihatan. 

Kesemua mereka ditemui setelah berakhirnya pelancaran Festival MITA 2018 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) semalam.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)