Oleh pada 06 Jan 2018 kategori

sistem pendidikan di jerman 691

Setiap negara mempunyai sistem pendidikan yang unik dan tersendiri, dibentuk mengikut keperluan dan matlamat pendidikan yang ingin dicapai oleh sesebuah negara tersebut. Sebelum ini kami di iluminasi.com pernah berkongsi beberapa artikel mengenai sistem pendidikan luar negara antaranya kelemahan sistem pendidikan di Denmark dan juga perspektif lain sistem pendidikan di Finland.

Kali ini kami ingin berkongsi pula mengenai sistem pendidikan di Jerman dan kami pasti ramai yang tidak tahu mengenai sistem pendidikan disini daripada peringkat tadika hinggalah ke universiti. Pihak kami telah diberikan kebenaran oleh En. M. Hafiz Osmann untuk mengulangsiar tulisannya ini. Untuk info, beliau adalah seorang tenaga pengajar bebas Bahasa Jerman, pernah mengajar di China dan beberapa institusi terkemuka negara antaranya UiTM, GMI dan UKM. Selain itu, beliau juga satu-satunya anak Melayu yang diterima mengajar bahasa Jerman di Goethe-Institut Kuala Lumpur

Pendidikan peringkat kanak-kanak

pendidikan kanak kanak di jerman

Sistem pendidikan di Jerman bermula di peringkat kanak-kanak. Anak-anak kecil berusia sekitar 6 tahun akan memasuki Kindergarten iaitu tadika. Perkataan Kindergarten adalah istilah bahasa Jerman yang mempunyai makna literal iaitu taman permainan kanak-kanak.

Sesudah mencapai usia sekitar 7 tahun kanak-kanak di Jerman memasuki alam persekolahan iaitu dikenali sebagai Grundschule. Di Jerman sistem pendidikan berada di bawah bidang kuasa negeri persekutuan yang terdiri daripada 16 Bundesländer. Ertinya terdapat 16 kurikulum persekolahan yang menjadi garis panduan bagi sistem persekolahan di Jerman. Sebagai contoh kurikulum persekolahan di negeri Bayern, Baden-Wűrttemberg, Berlin dan Hamburg yang tersendiri.

pendidikan sekolah rendah di jerman

Subjek atau Fach yang diajarkan di Grundschule adalah subjek asas seperti bahasa Jerman, Matematik, Seni, Sukan dan Jasmani, Muzik dan Agama & Moral. Anak-anak kecil ini didedahkan dengan pengetahuan asas serta mereka dibawa melawat ke tempat-tempat awam seperti pasar, zoo, muzium, galeri dan sebagainya sebagai lawatan sekolah dikenali sebagai Ausflug.

Di bawah sistem pendidikan Jerman kanak-kanak tidak dibebankan dengan bebanan kerja rumah yang bertimbun-timbun serta peperiksaan yang sentiasa mewujudkan kasta di sekolah akan siapa yang pandai dan siapa yang kurang pandai. Percaya atau tidak di Jerman tidak ada peperiksaan seperti UPSR sewaktu sekolah rendah. Yang ada cuma Abschlussprűfung iaitu satu pengesahan peperiksaan bagi menentukan halatuju di peringkat sekolah menengah. Grundschule berlangsung selama kira-kira 5-6 tahun bergantung pada negeri.

Pendidikan peringkat menengah

gesamtschule

Sesudah itu kanak-kanak akan memasuki peringkat sekolah menengah yang mempunyai 4 jenis sistem berbeza iaitu Gymnasium, Gesamtschule, Realschule dan Hauptschule. Keempat-empat sistem persekolahan menengah ini berbeza mengikut kecenderungan pelajar.

Gymnasium khas bagi anak-anak yang mempunyai kecenderungan sains dan mereka yang bercita-cita untuk menyambung pengajian di Universität dengan mengambil peperiksaan akhir dikenali sebagai Abitur yang dianggap hampir setara dengan STPM atau A-Level di Malaysia. Pelajar akan belajar subjek seperti bahasa Jerman, bahasa Inggeris, bahasa Latin, bahasa Perancis, Sains, Matematik, Geografi, Asas Agama dan Moral, Sejarah dan Muzik.

Pendidikan teknikal

Bagi mereka yang kurang cemerlang mereka boleh menyambung pengajian di sekolah Realschule atau Hauptschule. Di Realschule dan Hauptschule mereka akan diajar asas kemahiran sewaktu di usia muda lagi. Uniknya mereka belajar di sekolah akan subjek atau Fach yang bersesuaian dengan minat mereka. 

Katakan Thomas kurang cemerlang dalam akademik dan berminat dengan baik pulih kenderaan maka Thomas akan diajar akan asas baik pulih kenderaan iaitu Fahrzeugreparatur dengan kerjasama di antara pihak sekolah dengan bengkel atau Werkstatt. Begitu juga bagi Laura yang meminati bidang pembuatan roti maka dia akan belajar sejak usia belasan tahun kaedah penghasilan roti yang diasuh oleh Bäckermeister iaitu sifu dalam bidang pastri.

realschule

Sistem pendidikan Jerman menekankan kepada keseimbangan teori dan praktikal selain fokus kepada sesuatu bidang secara terperinci iaitu bermula daripada A sampai Z. Jika belajar tentang buat roti maka Laura akan belajar tentang bahan membuat roti. Apa itu jenis tepung? Apa kandungan zatnya? Bagaimana kaedah menguli dengan betul? Bagaimana cara membakar roti dengan betul?

Mengapa Jerman tekankan sebegini rupa? Kerana Jerman mahu memastikan setiap rakyatnya mampu menyumbang kepada kemajuan negara berasaskan potensi dan keupayaan seseorang. Ertinya potensi dan keupayaan individu diasuh sejak daripada muda agar dapat menjana keperluan negara dalam memenuhi sektor industri Jerman.

Oleh itu bagi mereka yang kurang kecenderungan akademik mereka tidak akan dipaksa belajar Matematik Tambahan seperti di Malaysia. Bila pelajar tidak berminat maka mereka akan memberontak dan akibatnya dihukum sebagai malas dan dirotan di khalayak ramai oleh Cikgu Kamaruzaman.

Bagi pelajar lulusan Realschule dan Hauptschule mereka akan keluar menjadi tenaga kerja mahir yang terlatih dan mendapat sijil persekolahan Mittlere Reife yang setaraf dengan SPM jika di Malaysia. Mereka ini sudah punya asas pemahaman bidang masing-masing sejak di sekolah menengaj sebelum mengikuti program apprentice iaitu Ausbildung selama 3 tahun atau mana-mana Fortbildung dengan kerjasama industri seperti Mercedes-Benz, BMW, Siemens, Bosch dan lain lain.

ausbildung

Ertinya tiada pembaziran tenaga manusia. Yang cerdik pandai masuk Gymnasium kemudian bila keluar boleh masuk Universität jadi ahli akademik dan pakar dalam pelbagai bidang. Yang kurang cemerlang boleh jadi tenaga pekerja mahir hasil didikan Realschule dan Hauptschule. Bagi yang mahukan kombinasi boleh masuk Gesamtschule dan seterusnya belajar di Fachhocschule untuk jadi jurutera dalam pelbagai bidang.

Jika di Malaysia remaja ini akan ketinggalan dan tidak tahu hala tuju. Masuk universiti pun ikut-ikut kawan. Kawan ambil IT, dia pun ambil IT. Sudahnya dapat kursus pengurusan hutan. Sudah la tak minat tapi terpaksa ambil sebab malu bila jiran sebelah Makcik Senah asyik bertanya, kamu tak belajar ke? Apa benda pun tak tahu. Niat nak masuk universiti tapi takut silap hari bulan termasuk pusat serenti.

Yang lagi parah dah berusia baru nak masuk kursus teknikal. Nak guna kikir dan spanar pun tak tahu. Buat pula pinjaman PTPTN. Berhutang lagi. Di Jerman sistem pendidikan percuma. Kerajaan Jerman menekankan kepentingan pendidikan sebagai asas keperluan manusia.Kerana itu di Jerman sukar ditemukakan universiti swasta sebab Jerman menganggap pendidikan ialah tanggungjawab kerajaan.


tags : , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)