Apabila anda berasa letih, nasihat pertama ialah sentiasa mendapatkan tidur yang lebih banyak. Adalah masuk akal bahawa sekiranya anda tersengguk-sengguk pada waktu petang di pejabat adalah disebabkan waktu kerja yang panjang atau mungkin anak-anak kecil yang menangis di rumah mengganggu waktu rehat anda.
Akan tetapi, sesetengah daripada kita masih lagi berasa letih dan lesu sepanjang hari walaupun selepas mendapatkan tidur selama tujuh jam dan ke atas setiap malam seperti yang disarankan. Jadi, bagaimana perkara ini boleh berlaku?
BESARKAN TEKS A- A+
Seperti yang dijelaskan dalam episod AsapSCIENCE ini, sebenarnya terdapat banyak sebab yang boleh membuatkan anda sentiasa berasa penat walaupun anda fikir anda sudah mendapat rehat yang secukupnya.
sebagai permulaan, anda mungkin seorang yang banyak menghabiskan masa bekerja anda dalam pejabat dengan duduk di meja sahaja. Keadaan ini akan membuatkan anda lebih cepat keletihan.
Walaupun kebanyakan daripada kita beranggapan bahawa aktiviti fizikal adalah sesuatu yang memenatkan, namun ternyata bahawa melakukan senaman ringan hanya beberapa kali dalam seminggu dapat membuatkan anda berasa lebih bertenaga.
Credit : shape
Anda hanya perlu melakukan perkara yang mudah sahaja seperti berjalan kaki atau menaiki basikal dalam taman perumahan anda atau melakukan senaman berpandukan video atau televisyen di rumah. Perkara mudah ini juga anda dapat lakukan bersama-sama keluarga anda.
Dengan melakukan senaman sebegini, kemungkinan besar anda dapat tidur dengan lebih nyenyak pada malam itu. Orang yang kerap bersenam sering menikmati tidur malam yang lebih baik, walaupun bilangan jam tidurnya tetap sama.
Satu lagi perangkap yang biasa membuatkan kita selalu berasa letih ialah pergantungan kita terhadap kafein untuk terus terjaga. Walaupun kita rasa sudah biasa mengambil kafein setiap hari dan sukar meninggalkannya, sebenarnya meninggalkan pengambilan kafein adalah lebih mudah daripada meninggalkan ketagihan lain.
Kafein akan menyekat adenosine iaitu neurotransmitter yang terkumpul di otak sepanjang hari dan akan membuatkan kita berasa mengantuk pada waktu petang.
Sekiranya anda meminum secawan kopi walaupun seawal enam jam sebelum waktu tidur anda, ia sebenarnya akan mengganggu penghasilan adenosine anda dan membuatkan anda sukar untuk tidur atau mendapatkan tidur yang nyenyak.
Caffeine menyekat Adenosine. Credit : coffeeandhealth
Selain itu, kajian lain juga telah menunjukkan bahawa kafein sebenarnya boleh mengganggu ritma sirkadian (proses dalaman semula jadi yang mengawal kitaran tidur-bangun dan berulang kira-kira setiap 24 jam ) anda.
Walau bagaimanapun, kadang-kadang keletihan anda bukanlah bergantung kepada pemilihan gaya hidup anda semata-mata tetapi ia berkait juga dengan kesihatan mental.
Sebagai contoh, masalah gangguan kebimbangan (anxiety disorder) secara umumnya juga boleh menyebabkan keletihan. Begitu juga dengan tekanan dan kerisauan tahap tinggi. Ia boleh menyebabkan anda kehabisan tenaga dengan begitu cepat.
Kemurungan atau depresi juga boleh memberi kesan terhadap kualiti tidur seseorang, bahkan boleh menyebabkan berlakunya simptom insomnia dalam sesetengah kes.
Selain daripada pilihan gaya hidup dan kesihatan mental, keadaan fizikal seseorang itu juga memainkan peranan penting dalam menjadi punca yang menyebabkan keletihan berlebihan.
Antara keadaan fizikal yang boleh menjurus kepada masalah keletihan ialah mereka yang mengalami perkara-perkara seperti kekurangan zat besi, masalah tiroid dan juga diabetes atau kencing manis.
Oleh itu, tiada jalan penyelesaian yang cepat untuk menangani masalah keletihan yang berterusan. Namun, AsapSCIENCE sekurang-kurangnya memberikan anda satu senarai semak yang berguna untuk anda lihat.
Banyak nasihat yang mereka berikan dalam video ini seperti petua tentang senaman. Kebanyakannya adalah mudah untuk dilakukan kecuali sekiranya anda berhadapan dengan keadaan "Sosial Jetlag" seperti yang diterangkan secara terperinci dalam video.
Sekiranya anda antara orang-orang yang tidak sesuai untuk bekerja dalam waktu 9 pagi hingga 5 petang, anda mungkin perlukan nasihat atau terapi lain daripada pakar.